SEWAKTU neneknya me­manggil Ely Susiawati, dia sedang sibuk membasuh pinggan mangkuk di dapur. Seraya itu juga, dia cepat-cepat berlari ke bilik bagi mendapatkan warga emas tersebut yang terlantar di atas katil di rumahnya di Desa Wanasaba, Lombok Timur, Indonesia.

Ely, 17, sudah menjaga orang tua itu sejak enam tahun lalu selepas ibunya berhijrah ke Arab Saudi untuk beker­ja sebagai pembantu rumah di sana.

Dalam tempoh tersebut juga, Ely tidak bersua muka dengan ibunya dan memikul tanggungjawab menjaga kebajikan nenek serta dua orang adiknya.

“Ayah dan ibu bercerai semasa saya masih kecil. Ketika itu, saya berusia lima tahun dan keadaan tersebut membuatkan saya amat tertekan.

“Saya sentiasa merindui ibu dan mahu dia di sisi kami. Apabila saya melihat kawan-kawan lain bersama ibu bapa masing-ma­sing, situasi itu membuatkan saya bertambah sedih,” katanya seperti dipetik portal BBC Indonesia.

Apabila Ely semakin meningkat dewasa, dia mula memahami alasan mengapa ibunya meninggalkan mereka sewaktu masih kecil.

“Kehidupan sehari-hari perlu dibiayai dengan wang dan itu menjadi masalah kami sejak dahulu. Keadaan bertambah baik selepas ibu bekerja di Arab Saudi kerana dia selalu mengirim wang,” tambahnya.

Kelas khas

Keadaan itu mendorong Ely untuk belajar bersungguh-sungguh dan menjadi antara pelajar cemerlang di sekolahnya.

“Ibu bapa saya menjalani kehidupan sukar sebelum ini. Hal itu memberi motivasi kepada saya untuk berusaha keras bagi mengubah nasib kami ke arah lebih baik pada masa akan datang.

“Saya tidak mahu ibu saya berte­rusan bekerja di negara orang. Andai kata saya berjaya suatu hari nanti, saya mahu ibu duduk di rumah dan menjaga adik-beradik lain,” ujarnya.

Ely merupakan salah seorang daripada beratus-ratus anak di Desa Wanasaba yang ditinggalkan ibu bapa masing-masing kerana terpaksa mencari rezeki di luar negara.

Berdasarkan penelitian Yayasan Tunas Alam Indonesia (Santai) pada tahun 2015, terdapat lebih 350 kanak-kanak berusia sebulan hingga 18 tahun yang ditinggalkan ibu bapa masing-masing untuk bekerja di negara seperti Malaysia, Singapura, Hong Kong dan Arab Saudi.

Di Sekolah Menengah Wanasaba, hampir 52 peratus daripada 470 jumlah pelajar adalah anak-anak Tenaga Kerja Indonesia (TKI).

“Kalau sebuah desa ada lebih 300 anak-anak yang ditinggalkan, saya tidak dapat membayangkan keadaan di tempat lain. Di Lombok Timur sahaja ada kira-kira 250 buah desa, jadi anda boleh bayangkan berapa jumlah kese­luruhan anak-anak yang hidup begini,” kata pengarah Santai, Suharti.

Sebagai rekod, Lombok Timur merupakan daerah yang membekalkan TKI terbesar ke luar negara dengan jumlah lebih 15,000 pada tahun 2016.

Menyedari hakikat itu, Santai mengasaskan Smart Class Dua Bersaudara untuk memberi perhatian, sokongan dan galakan bagi mem­bela nasib mereka.

“Kami mengadakan kelas khas setiap hari dan berharap ia menjadi saluran yang baik kepada anak-anak ini agar mereka tidak terlalu bersedih kerana ditinggalkan ibu bapa masing,” katanya.

Kurang pengawasan

Suharti mengakui bahawa kanak-kanak yang membesar tanpa perhatian serta kasih sayang ibu bapa meninggalkan impak negatif terhadap tumbesaran mereka.

“Kami mendapati anak-anak buruh imigran di Lombok Timur me­nunjukkan kecenderungan untuk berkahwin di bawah umur iaitu 16 tahun bagi perempuan dan 19 tahun bagi lelaki,” katanya.

Bertutur lanjut, Suharti berkata, terdapat sebanyak 136 kes remaja yang bernikah pada usia tersebut direkodkan pada tahun lalu.

Menurutnya, salah satu faktor penyumbang adalah disebabkan kekurangan pengawasan daripada orang tua kerana ketiadaan mereka di samping anak-anak kerana perlu bekerja di luar negara.

“Tanggungjawab menjaga dan membesarkan anak-anak diletakkan di atas bahu orang dewasa lain sama ada datuk dan nenek atau saudara-mara.

“Hal ini menyebabkan pengawasan terhadap anak-anak menjadi longgar dan seterusnya mempe­ngaruhi mereka untuk bergaul bebas serta bernikah pada usia muda.

“Selain itu, anak-anak yang terhimpit masalah kewangan terdorong untuk bernikah awal kerana merasakan perkahwinan tersebut dapat mengubah nasib mereka kelak,” katanya.