Rombongan tersebut datang ke satu-satunya sekolah agama Islam di Phuket itu dengan bas setelah kapal persiaran yang dilayari berlabuh di lokasi persinggahan di Phuket.

Kunjungan ke sekolah itu adalah untuk melaksanakan aktiviti kemasyarakatan bersama penghuni sekolah tersebut yang rata-ratanya merupakan golongan fakir miskin.

Kemesraan terpancar di segenap sekolah tersebut yang dihuni oleh 2,200 murid yang berumur antara enam tahun hingga 18 tahun.

Murid-murid sekolah agama itu yang berbaju uniform sekolah dan berkopiah berbaris panjang di depan sekolah meraikan kehadiran rombongan dari Malaysia.

Bahasa Melayu

Mengalunkan selawat sambil bersalaman dengan jemaah rombongan, mereka turut menyampaikan kalungan tangan kuntuman bunga kepada para tetamu.

Menariknya, kedatangan jemaah Malaysia ke sekolah itu turut disambut dengan ucapan alu-aluan bahasa Melayu oleh pengacara majlis yang merupakan tenaga pengajar di sekolah yang terletak di wilayah tengah Thailand itu.

Bahkan, kanak-kanak yang membuat persembahan juga mempersembahkan nasyid dalam bahasa Melayu.

Pengurus Sekolah Muslim Wittaya, Sodri Islam amat berbesar hati dengan kunjungan rombongan dari Malaysia itu yang hadir dengan semangat persaudaraan Islam.

“Mungkin tidak ramai yang tahu bahawa di Phuket mempunyai komuniti Islam walaupun minoriti iaitu hanya 30 peratus daripada penduduknya. Di sini ada kira-kira 67 masjid atau surau.

“Sekolah ini merupakan satu-satunya sekolah agama Islam di Phuket. Di sekolah inilah anak-anak kami menuntut ilmu agama dan al-Quran.

“Sekolah ini telah ditubuhkan sejak 41 tahun lalu dan selama ini tidak mendapat bantuan kerajaan. Sekolah ini dimajukan hasil ihsan dan sumbangan komuniti Islam di sini atau masyarakat Islam luar. Antaranya bangunan wakaf yang kami terima daripada seorang ahli perniagaan dari Dubai,” katanya yang fasih berbahasa Melayu.

Tabung

Turut hadir pada majlis itu Yang Dipertua Yayasan Sekolah Muslim Wittaya, Muhammad Rasyid Mohd. Noor; pengetua sekolah, Yusof Muhsin dan Pengerusi Eksekutif Andalusia, Datuk Ustaz Md. Daud Che Ngah.

Pada majlis itu juga, sebuah tabung telah dilancarkan bagi mengutip dana membantu sekolah tersebut. Md. Daud memanjatkan kesyukuran kerana berpeluang menjadi tetamu sekolah tersebut bersama jemaah dari Malaysia.

“Kami tinggalkan rumah, belayar dengan kapal untuk datang ke sekolah ini yang merupakan sebuah sekolah Islam di sebuah negara bukan Islam.

“Kepada jemaah dari Malaysia, mari ringankanlah tangan ini untuk menyumbang kepada sekolah ini, moga-moga ia menjadi sekolah yang berprestasi cemerlang,” katanya.

Meskipun serba kekurangan, pihak sekolah itu tetap mengusahakan apa yang termampu untuk menjamu para hadirin sajian nasi putih, tom yam dan juadah-juadah lain.

Terasa eratnya persaudaraan sesama Islam dalam kunjungan itu. Betapa akidah tauhid yang satu telah menyatukan insan-insan meskipun dipisahkan oleh geografi.– ADHAM SHADAN