Lelaki berkenaan yang dikenali sebagai Kalaca Skull atau nama sebenarnya Eric Yeiner Hincapié Ramírez telah menjalani prosedur pembedahan yang melampau untuk menjadikan wajahnya kelihatan seperti tengkorak sejak dua tahun yang lalu.

Pemuda berusia 22 tahun itu berkata, dia terpesona dengan tengkorak sejak masih kecil, namun hanya mula menjadikan mukanya kelihatan seperti tengkorak selepas kematian ibunya.

Semasa hayatnya, ibu Kalaca amat tidak bersetuju dengan pengubahsuaian badan yang melampau.

Selepas membelah lidahnya kepada dua bahagian, Kalaca seterusnya mentatu pada bahagian sekeliling soket matanya dengan warna hitam.

Lelaki itu kemudian mencacah keliling mulutnya dengan tatu berbentuk gigi yang besar selain mencukur rambutnya dengan gaya mohawk agar tatu pada bahagian kepalanya kelihatan dengan lebih jelas

Ahli keluarga

Kalaca merupakan individu pertama di Colombia untuk secara sukarela membuang sebahagian hidung dan cuping telinganya.

Perbuatan pemuda itu bagaimanapun mendapat pelbagai reaksi positif dan negatif dalam media sosial, malah ramai yang turut mengkritik tindakan lelaki berkenaan.

Selain memaparkan gambar-gambarnya yang dipenuhi tatu, akaun Instagram Kalaca turut memaparkan gambar dia bersama peminat-peminatnya yang ditemui di jalanan.

Menurut Kalaca, salah satu sebab dia memilih untuk menjadikan dirinya kelihatan seperti tengkorak kerana semua manusia berkongsi tulang rangka termasuk tengkorak baik semasa hidup mahupun selepas mati.

“Pengubahsuaian tubuh adalah keputusan peribadi dan tidak patut dihakimi.

“Ia sama seperti menilai seorang wanita yang melakukan implan untuk membesarkan payudara atau punggung,” katanya kepada laman web Rio Noticias di Colombia.

Jelas Kalaca, tengkorak juga dianggap seperti sebahagian daripada ahli keluarganya.

“Tengkorak seperti kakak saya dan saya berasa amat rapat dengannya,” tambah Kalaca.

Impain jadi nyata

Kalaca berkata, pembedahan itu merupakan ‘impian jadi nyata’ dan walaupun hangat diperkatakan di seluruh Amerika Selatan, dia bercadang melakukan prosedur pembedahan lain bagi menyelesaikan transformasinya menjadi ‘tengkorak hidup’.

Pemuda itu mengakui penampilannya yang luar biasa membuatkan ramai yang tidak selesa, malah ada individu yang menjauhinya dengan menyeberangi jalan ketika bertentang dengan dirinya di kaki lima jalan.

“Saya seorang yang normal yang hanya kelihatan berbeza jauh daripada kebanyakan orang lain.

“Ia seperti cara pemikiran yang berbeza, berpakaian, gaya muzik yang berbeza.

“Saya hanya berasa baik dengan cara saya,” tambahnya.

Kalaca merupakan salah seorang daripada ramai orang yang melakukan pengubahsuaian pada tubuh badan mereka dan trend itu kini dilihat menjadi semakin popular.

Awal bulan lepas, salah seorang lelaki yang terkenal dengan mentatu dirinya agar kelihatan seperti zombi mengambil nyawanya sendiri.

Rick Genest, 32, yang merupakan teman lelaki kepada penyanyi Lady Gaga membunuh diri dengan melompat dari balkoni tingkat di sebuah pangsapuri di Montreal, Kanada.

Lelaki Colombia berusia 22 tahun potong hidung, buang cuping telinga dan mentatu mata.