Alia yang kini berusia 31 tahun memberitahu, dia bersama dua orang adiknya telah bergelar anak yatim piatu selepas kematian bapa akibat kemalangan tragis di jalan raya sewaktu dia berusia 14 tahun.

Lebih malang, ketika usia Alia 18 tahun, ibu tercinta pula pergi meninggalkan dia dan adik-adik akibat derita kanser.

Sebagai anak sulung, Alia terpaksa menggantikan tugas membesarkan adik-adiknya yang masih bersekolah.

Menurut gadis itu, sejak kematian kedua-dua orang tuanya, saudara-mara yang lain sedikit pun tidak ambil kisah perihal keluarganya.

Bukan soal wang ringgit yang dipinta, tetapi cukup sekadar menjenguk mereka dan bertanyakan khabar, atau paling tidak memberi simpati terhadap adik-adik yang masih kecil.

“Namun, itu bukanlah kisah sedih yang hendak dikongsikan, tetapi apa yang menyedihkan saya, apabila selepas adik-adik meningkat dewasa mereka lupa akan pengorbanan saya. Adik-adik langsung tidak menghargai susah payah saya membesarkan mereka,” kata Alia dalam linangan air mata.

Entah di mana silapnya, tugas Alia dalam membesarkan dua orang adiknya berakhir dengan kegagalan apabila mereka terjebak dengan masalah sosial setelah meningkat dewasa.

Gantung sekolah

Dakwa Alia, dia tidak pernah mengabaikan soal asuhan dan pendidikan untuk kedua-dua orang adik lelakinya yang masing-masing kini berusia 24 dan 19 tahun.

Katanya, sebagai anak sulung, memang telah menjadi tanggungjawabnya untuk menjaga mereka sebaik mungkin agar menjadi insan berguna tatkala dewasa kelak.

Namun, Alia seolah-olah gagal memainkan peranan sebagai ketua keluarga dalam membentuk dua adiknya itu untuk menjadi insan berguna.

Adiknya yang nombor dua mula menunjukkan sikap tidak minat untuk bersekolah pada usia 14 tahun. Ketika itu, Alia tidak tahu langsung bahawa adiknya itu kerap ponteng sekolah sehingga dia dipanggil oleh pengetua untuk dimaklumkan perkara tersebut.

“Adik telah digantung sekolah selama dua minggu dan akhirnya dia mengambil keputusan untuk berhenti sekolah dan bekerja di bengkel motosikal,” katanya.

Sejak itu, adiknya mula jarang pulang ke rumah dan banyak menghabiskan masa di bengkel atau tidur di rumah rakan.

Pernah suatu hari, sepasukan polis pernah datang ke rumah mencari adiknya bagi membantu siasatan berhubung beberapa kes kecurian motosikal dan pecah rumah.

“Adik dan beberapa orang rakannya ditangkap dan dijatuhi hukuman penjara atas kesalahan tersebut,” ujar Alia.

Belum terlambat

Begitu juga dengan adiknya yang bongsu. Sehingga sekarang remaja itu masih tidak bekerja dan mengharapkan duit yang diberikan oleh Alia.

Kata gadis itu, dia pernah menyuruh adik bongsunya itu keluar mencari apa sahaja pekerjaan asalkan ada pendapatan walaupun kecil.

Tetapi nasihatnya itu bagaikan mencurah air ke daun keladi. Lebih teruk lagi, adik bongsunya itu mempunyai sikap panas baran dan akan memaki hamun Alia termasuk memecahkan barang-barang yang ada di dalam rumah.

Baru-baru ini, Alia seakan-akan dapat menghidu bahawa adik bongsunya terjebak dengan gejala penagihan dadah.

Hati kakak mana yang tidak sedih apabila tahu darah daging sendiri terlibat dengan gejala sosial.

“Telinga ini dah rasa pekak mendengar cemuhan dan kata-kata orang kampung tentang adik-adik saya.

“Saya sedar mereka (adik-adik) tidak seperti anak-anak orang lain yang pandai dalam pelajaran dan baik budi pekerti, tetapi sebagai kakak saya tidak sanggup mendengar adik-adik saya dihina,” jelas Alia lagi.

Demi adik-adiknya jugalah, Alia sehingga kini masih belum mendirikan rumah tangga kerana tidak sanggup mengabaikan tanggungjawabnya sebagai kakak.

Dia yakin belum terlambat untuk mengubah adik-adiknya.

Setiap hari, Alia tanpa jemu memohon doa dalam setiap sujudnya kepada Tuhan agar suatu hari nanti, adik-adiknya akan berubah menjadi insan yang berguna bukan untuk dirinya, bahkan kepada masyarakat.

Alia yang terpaksa memikul tanggungjawab membesarkan dua orang adiknya dihimpit rasa bersalah dalam diri kerana gagal mendidik mereka menjadi insan berguna.