Dia yang ketika itu dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Desa Vista Sepang, Selangor perlu segera mencari tempat berteduh kerana jarak penglihatan semakin terhad.

Apabila tiba di sebuah jejambat lebuh raya, dia mengambil keputusan untuk berhenti dan berteduh.

“Setiap kali hujan lebat, saya akan mencari tempat yang paling selamat untuk berteduh tetapi jika keadaan sudah terdesak, saya tidak ada pilihan lain selain berhenti di bawah jejambat lebuh raya.

“Namun, selepas meletakkan motosikal saya akan segera berada di sebalik penghadang jalan raya kerana khuatir mendapat kemalangan,” kata guru di Sekolah Rendah Islam Sri Al-Amin Nilai, Negeri Sembilan itu.

Tambah Mohamad Faizal, dia sentiasa mengingatkan diri agar tidak berada terlalu hampir dengan laluan utama kenderaan kerana jika berlaku apa-apa yang tidak diingini, sekurang-kurangnya dia boleh mengelakkan diri.

Dia sentiasa mengambil iktibar daripada kes-kes kemalangan yang melibatkan motosikal terutamanya apabila berteduh di bawah jambatan.

Katanya, kes yang melibatkan penunggang motosikal dirempuh kenderaan lain ketika berteduh di bawah jejambat lebuh raya bukan perkara baharu di negara ini.

Detik cemas

Kosmo! pada 21 April lalu melaporkan, sekumpulan penunggang dan pembonceng motosikal berdepan detik cemas apabila motosikal yang diletakkan di bawah jejambat lebuh raya ketika berteduh daripada hujan dirempuh dua kenderaan di Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) menghala ke utara.

Dalam kejadian pada pukul 2 petang di Kilometer 258, berhampiran susur keluar Port Dickson itu, 12 buah motosikal mengalami kerosakan teruk selepas terperosok di bawah sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) dan Perodua Axia.

Dua hari selepas kejadian itu, tiga buah motosikal yang berteduh daripada hujan lebat di bawah jejambat lebuh raya di jalan Sierramas menghala Damansara Damai, Petaling Jaya, Selangor rosak apabila dirempuh sebuah lori treler.

Dalam kejadian pada pukul 3.44 petang itu, lori yang dipandu seorang lelaki berusia 40 tahun hilang kawalan sebelum merempuh deretan motosikal yang diletakkan di bawah jejambat lebuh raya tersebut.

Kedua-dua insiden itu berlaku disebabkan oleh keadaan hujan lebat sehingga mengehadkan penglihatan pemanduan.

Pengerusi Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, hentian motosikal seharusnya berada dalam keadaan terang dan tidak terlindung daripada pandangan pengguna jalan lain.

“Tempat berteduh itu seharusnya tidak berada di selekoh untuk mengelakkan penunggang atau motosikal mereka dirempuh kenderaan terbabas.

“Pada masa sama, tempat berteduh terbabit perlu mempunyai ruang mencukupi serta dilengkapi penghadang untuk melindungi penunggang, pembonceng dan motosikal mereka,” katanya.

Lam Thye turut berkata, penunggang dan pembonceng motosikal perlu memastikan diri mereka boleh dilihat dengan jelas oleh pengguna jalan yang lain terutamanya ketika hujan lebat.

Pantul cahaya

“Sebagai contoh, mereka boleh memakai baju hujan berwarna terang atau yang mempunyai pemantul cahaya supaya mudah dilihat.

“Selain itu, pastikan kawasan berteduh adalah kawasan sesuai dan memang dikhaskan untuk motosikal,” ujarnya.

Tambahnya lagi, menurut Kaedah 53 dalam Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959, tiada sebarang kenderaan boleh diletakkan atau menggunakan lorong tambahan atau bahu jalan kecuali kenderaan polis, Jabatan Pengangkutan Jalan, ambulans, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Kastam serta Jabatan Penjara.

“Penunggang motosikal dan pembonceng dinasihatkan tidak berteduh atau berhenti seketika untuk memakai baju hujan di bawah jambatan atau di tepi jalan kerana boleh mengundang risiko dilanggar kenderaan lain.

“Mereka sepatutnya berhenti di kawasan rehat dan rawat, hentian sebelah atau tempat berteduh khas kerana boleh melindungi diri daripada dirempuh kenderaan lain akibat jalan licin,” katanya.