Perkara itu terbukti apabila kisah seorang lelaki berusia 41 tahun dari Gua Musang, Kelantan menikahi seorang kanak-kanak pada hari raya keempat lalu di Thailand mendapat liputan meluas selain portal berita dari negara jiran turut kelihatan menyiarkan isu tersebut.

Pendek kata ia menarik perhatian pelbagai pihak termasuk aktivis, pertubuhan badan bukan kerajaan, doktor, ahli agama, pengamal undang-undang selain mendapat maklum balas komuniti setempat serta warga laman maya.

Penasihat Syariah dan Kaunselor Familyfirst Consultancy, Ustaz Mohd. Al-Amin Ab. Aziz berkata, kes seumpama itu lazimnya mendapat kecaman atau bantahan orang ramai kerana secara umumnya ia sukar diterima dan dianggap tidak relevan.

Jejas kehidupan

“Pandangan sinis masyarakat ini dikhuatiri memberi kesan emosi seperti tertekan, malu, risau bukan sahaja kepada pasangan malah ahli keluarga serta mana-mana individu yang terlibat.

“Jika dibiar terus berlarutan, ia boleh menjejaskan kehidupan sosial seperti hilang semangat atau motivasi diri, kurang produktif selain impak dari aspek mental seperti trauma dan kebimbangan,” jelasnya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Beliau yang pernah bertugas sebagai Pegawai Khidmat Nasihat di Jabatan Agama Islam Selangor dari tahun 2012 hingga 2015 berkata, bimbingan kaunseling merupakan salah satu saluran yang perlu diambil kira dalam menangani isu tersebut.

Menurutnya, pendekatan kaunseling dapat membantu pasangan dan keluarga mereka meleraikan kebuntuan bagi masalah sebenar yang dihadapi. Dalam hal ini, ia boleh membantu memulihkan semangat dan keyakinan diri untuk meneruskan kehidupan lebih baik.

Selain itu, ia turut menyediakan kemahiran penyelesaian masalah dan langkah mengatasi cabaran mendatang selain meningkatkan kefungsian diri untuk mengurus hal ehwal keluarga dan merawat perasaan serta fikiran yang membelenggu diri.

Mohd. Al-Amin turut menyarankan supaya ibu bapa serta keluarga memantau dan membimbing anak-anak mereka yang berkahwin pada usia muda sehingga mereka mampu menguruskan rumah tangga dengan baik.

Tambahnya, adalah penting tidak terburu-buru mengatur perkahwinan melibatkan bakal pengantin di bawah umur tanpa merujuk ahli-ahli agama dan mematuhi undang-undang keluarga Islam yang telah ditetapkan kerana ia selari dengan hukum syarak.

“Namun, bagi pasangan yang sudah berkahwin secara sah mengikut undang-undang berusahalah mengawal emosi, belajar ilmu berkaitan rumah tangga selain memahami tanggungjawab masing-masing.

Ketat prosedur

“Masyarakat juga usah terus menghukum dan mengeji. Tidak salah menyuarakan pandangan atau teguran cuma perlu dilakukan secara beretika dan berhikmah selain setiap perkara yang dikongsi terutamanya di media sosial adalah fakta dan bukan fitnah,” ujarnya.

Dalam pada itu, Presiden Perikatan Wanita Antarabangsa Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (Wafiq), Prof. Madya Dr. Rafidah Hanim Mokhtar berpendapat, perkahwinan bawah umur sering dikaitkan dengan kemiskinan dan tahap pendidikan seseorang.

Dalam hal ini, beliau melihat keperluan memperketatkan prosedur permohonan perkahwinan bawah umur dalam memenuhi keperluan semua segmen masyarakat.

Begitupun, ia bukan penyelesaian yang dapat digunakan dalam semua keadaan terutamanya dalam isu rumit perkahwinan yang sangat berkaitan dengan budaya dan agama seseorang.

“Disebabkan itu, Wafiq tidak menyokong gesaan menaikkan had umur kepada 18 tahun untuk usia layak berkahwin, tanpa penglibatan Mahkamah Syariah seperti yang dicadangkan oleh sekumpulan pertubuhan bukan kerajaan baru-baru ini.

“Pengharaman total bukan jalan penyelesaian kepada masalah perkahwinan bawah umur kerana ia melibatkan golongan remaja atau hampir dewasa yang mana di dalam sesetengah komuniti dianggap sudah cukup dewasa. Maka, kita perlu membezakan antara dua golongan ini, kanak-kanak dan remaja yang hampir dewasa,” ujarnya.

Di Malaysia, Enakmen Keluarga Islam yang dikuatkuasakan di semua negeri menyatakan usia perkahwinan minimum bagi lelaki adalah 18 tahun manakala bagi ­perempuan adalah 16 tahun.

Sekiranya mereka di bawah umur, perkahwinan hanya dikira mengikut undang-undang jika ada kebenaran Mahkamah Syariah dan persetujuan ibu bapa mereka.