“Saya sangat takut apatah lagi melihatkan haiwan itu seekor lembu jantan,” katanya.

Dia sanggup melalui risiko patah kaki akibat dihempap haiwan berat itu, dirodok malah dirempuh tanpa belas kasihan.

Bagaimanapun, Li telah menjalani latihan intensif untuk mengatasi ketakutan itu.

Li merupakan salah seorang ahli wusyu, kung fu dan atlet gusti lembu jantan yang berlatih di Pusat Seni Mempertahankan Diri Haihua, Jiaxing yang terletak kira-kira 100 kilometer di selatan barat Shanghai.

Ia merupakan sukan tradisi etnik minoriti China Muslim Hui yang mendapat kritikan di negara terbabit.

Hal ini kerana amalan sukan tradisi itu dikatakan penganiayaan terhadap haiwan.

Biarpun mendapat kritikan hebat oleh masyarakat, guru di pusat berkenaan, Han Haihua tidak bersetuju dengan tekanan itu.

“Gusti lembu jantan kami tidak kejam mahupun menumpahkan sebarang darah,” kata guru berumur 65 tahun itu.

Katanya, jika dibandingkan dengan tradisi gusti lembu jantan di Sepanyol, ia lebih teruk sehingga akhirnya akan mengorbankan nyawa haiwan berkenaan.

Cabaran

Bagaimanapun jelas Han, gusti lembu jantan di China itu diangkat menjadi tarikan utama sehingga menarik pelancong asing untuk ke negara terbabit.

“Kami gunakan ilmu dan teknik wusyu yang mendalam untuk menumbangkan lembu jantan tanpa menyakitkan mereka,” ujarnya.

Dalam sesuatu perlawanan, mata dikira apabila peserta berjaya menjatuhkan lembu jantan ke tanah.

Kata peserta dari Anhui, China, Li Bo, 23, menjatuhkan seekor lembu jantan bukan suatu perkara mudah.

“Hal ini kerana, cabaran utama yang kami perlu hadapi ialah menundukkan lembu jantan yang beratnya jauh berbeza daripada manusia.

“Bagaimanapun, setelah anda mengenali haiwan itu dengan lebih dekat, ia sebenarnya lembut dan jinak,” tambahnya.

Latihan bertahun-tahun dalam seni mempertahankan diri jelas membuahkan hasil apabila sekumpulan lelaki berjaya berpaut pada tanduk lembu jantan itu.

Seluruh keringat dikerahkan demi menundukkan haiwan rakus itu sambil beberapa kali cubaan mengelak hentakan kaki lembu jantan tersebut dapat dilihat.

Gelagat aksi sekumpulan pemuda itu tidak ubah seperti seni kung fu mabuk.

Sukan Olimpik

Sepanjang perlawanan gusti itu, lembu jantan tersebut menunjukkan emosi tidak berminat, bingung malah jengkel apabila diasak bertalu-talu oleh peserta.

Adakalanya haiwan tersebut tersembam ke tanah, tidak menghiraukan peserta serta berlari ke pintu keluar.

Han mahu menyebarkan ilmu berkaitan gusti lembu jantan menerusi pertandingan tahunan yang akan dianjurkan.

Ketika ini, sukan itu sudah pun berjaya menarik ribuan atlet dari disiplin pertahankan diri yang pelbagai antaranya seni pertahankan diri campuran, judo dan taekwondo.

Harapannya cuma satu iaitu berharap sukan itu dapat dipertandingkan dalam Olimpik.

“Selain beradu kekuatan dan keberanian peserta, sukan gusti lembu jantan itu juga mencerminkan teknik dan kebijaksanaan individu.

“Sekiranya ia dipertandingkan sebagai sukan Olimpik, pastinya ia akan jadi lebih hebat,” katanya. – AFP