Perkara itu membuatkan sekumpulan anak muda terpanggil untuk berjuang mempertahankan kesenian tulisan tradisional Cina ini agar tidak pupus ditelan zaman.

Diperkenalkan oleh Parti Komunis Cina pada tahun 1950-an bagi meningkatkan kadar celik huruf, kini tulisan mudah itu telah digunakan sebagai sistem penulisan utama di Tanah Besar China.

Warga asing yang belajar bahasa Cina juga lebih cenderung diajar aksara mudah malah ia digunakan dalam dokumen rasmi oleh organisasi antarabangsa termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Walaupun kebanyakan orang di Taiwan masih menggunakan tulisan tradisional itu tetapi kecenderungan untuk beralih kepada tulisan lebih mudah semakin meningkat.

Peningkatan bilangan generasi muda di pulau tersebut yang menyambung pengajian dan bekerja di tanah besar telah membuka ruang kepada penggunaan tulisan lebih mudah berbanding karakter tradisional.

Pencipta permainan aplikasi di Taiwan, Zhun, berharap ia dapat membantu mengangkat keindahan seni tulisan itu. Pemain perlu mengenal pasti tulisan Cina purba dan bertanding kepantasan serta ketepatan penulisan karakter tersebut.

Warisan

Mereka perlu mengisi kotak kosong yang tertera di skrin telefon pintar. Menurut Ketua Eksekutif firma teknologi Whale Party, Kevin Ruan, mereka melihat Taiwan sebagai satu-satunya tempat untuk menyebarkan tulisan tradisional tersebut dengan membangunkan aplikasi itu bersama Universiti Soochow.

“Kami berharap aplikasi itu akan mengetengahkan keindahan warisan tulisan ini.

“Maklum balas awal mengenai aplikasi itu sangat menggalakkan apabila lebih 5,000 orang telah memuat turun versi percubaan,” katanya. Tulisan tradisional ini merupakan campuran karakter piktograf yang mewakili objek dan konsep bagi menggambarkan idea atau konsep.

Karakter yang berbeza atau sama boleh membentuk kata majmuk. Terdapat peraturan untuk pembentukan kebanyakan aksara tetapi belajar menulis karakter itu bergantung kepada kekuatan ingatan.

Pengkritik berpendapat, aksara yang mudah akan menghilangkan beberapa makna versi tradisional. Sebagai contoh, karakter ‘cinta’ yang juga mengandungi perkataan ‘hati’ dalam bentuk tulisan tradisional tetapi tidak dalam versi mudah.

Sementara itu, Ketua Jabatan bahasa Cina di Universiti Soochow, Taipei, Jung Jeng -dau berkata, huruf-huruf tradisional mempunyai kiasan dan makna di sebaliknya yang mencerminkan imaginasi orang-orang purba.

“Justeru, ia merupakan kerugian yang besar jika elemen ini dibuang.

“Penggunaan tulisan ringkas atau tradisional turut menjadi perbahasan politik pada masa kini,” tuturnya. Di Hong Kong, tulisan tradisional masih mendominasi, ada yang melihat promosi penggunaan versi mudah sebagai simbolik untuk mengetatkan cengkamannya terhadap bandar itu.

Terdapat sentimen serupa di Taiwan kerana China masih menganggapnya sebagai sebahagian wilayah yang perlu disatukan kembali.

Menyeronokkan

Duo pereka muda Taiwan, Wang Man Lin dan Wang Chieh-ying berharap ciptaan acuan pencetak yang mereka hasilkan akan menjadikan aksara tradisional Cina lebih mudah dipelajari dan menyeronokkan.

Anak muda itu menghasilkan enam set acuan pencetak yang turut mempunyai garis timbul. Apabila dicantumkan ia menghasilkan huruf Cina tradisional. Kebanyakan yang membeli setem tersebut ialah guru bahasa Cina atau peminat kraf tangan untuk mencetak aksara itu dalam kad ucapan atau poskad.

“Tulisan Cina merupakan sistem penulisan yang paling indah di dunia. Kami mahu menawarkan cara yang lebih mudah untuk belajar menulis karakter tradisi ini kerana menulis menggunakan tangan sangat sukar,” jelas mereka berdua.

Set acuan pencetak itu telah berada di pasaran online dan pratempahan sejak September lalu termasuk mendapat pesanan dari China, Malaysia dan Kanada. Salah seorang pengguna acuan pencetak tersebut, Lin Cheng, 40, berkata, set itu menjadikan proses mempelajari karakter Cina tradisional lebih menarik dan interaktif bagi anak lelakinya yang berumur empat tahun.

Seorang pelajar berusia 17 tahun, Chang Yao-Shui memberitahu, dia tidak pernah menggunakan tulisan ringkas sebaliknya menggunakan aksara tradisional itu kerana ia kelihatan lebih cantik dan ada nilai kebudayaan. “Saya berharap tulisan ini terus kekal dan tidak hilang pada masa hadapan,” ujarnya. – AFP