Ada yang tidak sabar untuk bermain bola, memanjat tiang, bermain gelongsor dan berlumba lari sesama mereka.

Namun, berbeza bagi kanak-kanak perempuan berambut lurus itu yang akan berlari memasuki bilik darjah untuk membersihkan lantai dan mengemas rak buku.

Kanak-kanak yang hanya berminat dengan kerja-kerja mengemas dan menyusun barang itu ialah Marie Kondo kini merupakan konsultan mengemas barang terkemuka dunia.

Diberi jolokan sebagai Wanita Terkemas Di Dunia (The Tidiest Woman in the World) oleh banyak pihak termasuk selebriti Ellen De Generes dalam rancangan The Ellen Show pada 2016, popularitinya semakin melonjak mutakhir ini dengan rancangan kelolaannya sendiri iaitu Tidying Up with Marie Kondo yang bersiaran di Netflix.

Marie, 35, berkata, dia berminat dengan kerja-kerja mengemas dan menyusun barang sejak berusia lima tahun lagi.

Tuturnya, apabila terdapat pencalonan untuk menyandang jawatan di sekolah, dia bahkan tidak mahu memegang apa-apa jawatan sebaliknya dengan rela hati ingin menjadi tukang kemas dan membersihkan bilik darjah.

Sikapnya yang agak unik itu menjadikan Marie seorang individu yang sentiasa berdisiplin.

Perkhidmatan

Ceritanya, pernah suatu hari dia mengalami keresahan perasaan sehingga jatuh pengsan gara-gara terlalu memikirkan apakah barang yang boleh dibuang supaya kawasan rumahnya tidak semak.

“Semasa pengsan saya tidak sedarkan diri selama dua jam. Dalam tempoh itu saya mendengar suara halus yang menyuruh saya melihat sesuatu perkara dengan lebih teliti.

“Sejak itu saya sedar yang saya sebelum itu hanya mencari benda untuk dibuang, sebaliknya apa yang perlu saya lakukan ialah mencari benda yang ingin disimpan,” katanya kepada AFP.

Dengan teknik mengemas secara menyeronokkan yang diajar kepada orang ramai, wanita itu telah mengubah rumah-rumah di banyak negara di dunia seperti Jepun, Amerika Syarikat (AS) dan Australia untuk menjadi lebih bersih dan rapi. Tidak mustahillah, wanita itu pernah disenaraikan dalam kalangan 100 individu paling berpengaruh anjuran majalah Time pada 2015.

Dia menjadikan kerja-kerja mengemas rumah yang bersepah menjadi tugas yang mendamaikan jiwa. Dia juga banyak menerapkan elemen kejiwaan seperti berterima kasih kepada barangan dan menilai reaksi tubuh apabila memeluk barangan untuk menentukan sama ada ia patut disimpan atau dibuang.

Jika dakapan itu mencetuskan keterujaan barangan itu patut disimpan dan jika tubuh terasa berat maka ia patut dibuang.

“Saya meletakkan perasaan kasih sayang semasa melipat kain. Saya suka melipat kain kerana bagi saya, ia seperti berbual dengannya,” kata wanita itu yang lazim menggunakan bahasa Jepun dalam pertuturannya.

Kata Marie, sejak usia 19 tahun, dia sudah memulakan perkhidmatan mengajar dan menasihati pemilik rumah tentang kaedah mengemas selepas waktu sekolah.

Obsesi itu telah membuatkannya rasa bersyukur kerana bukan sahaja dapat hidup tenang dalam kawasan persekitaran yang bersih, kemas dan tersusun malah membantu orang ramai dalam menguruskan kehidupan.

Sikapnya itu juga terbentuk daripada penglibatannya sebagai pembantu di sebuah kuil Shinto selama lima tahun.

“Kaedah yang diperkenalkan ini sebahagian besarnya diilhamkan semasa berkhidmat di kuil Shinto. Pembersihan dan penyelenggaraan perkara dengan betul boleh menjadi amalan rohani dalam Shintoism,” ujarnya.

Pada asasnya, kaedah KonMari yang diperkenalkan Marie adalah panduan ringkas dan praktikal untuk mengemas rumah.

Buku

Melalui kaedah berkenaan, Marie telah menyenaraikan beberapa langkah mudah seperti kumpul barang daripada kategori yang sama dan letak dalam longgokan besar; asing dan simpan barang-barang kesayangan yang menggembirakan sahaja dan buang atau dermakan barang-barang yang tak diperlukan.

“Masalahnya, ramai orang yang suka menyimpan barang yang lebih kurang sama tetapi di beberapa tempat. Ini fakta. Satu jaket atau selendang diletakkan di beberapa almari,” katanya yang mengesyorkan menyusun item mengikut kategori dan bukan mengikut lokasi.

Kesemua kaedah itu juga boleh didapati menerusi buku tulisannya, The Life Changing Magic of Tidying Up. Marie pernah menghasilkan tiga judul buku sebelum ini.

Bagi Marie yang kini menetap di Los Angeles, rumah bukan sahaja berfungsi sebagai tempat perlindungan malah tempat untuk sesebuah keluarga itu mencari ketenangan, meluangkan masa dan mencipta memori bersama. Bagi sesetengah individu juga, rumah merupakan tempat untuk mencari ilham.

Dalam pada itu, apabila dia di temu bual oleh Wall Street Journal, Marie berkata, anak perempuannya yang berusia dua tahun juga sudah pandai melipat pakaiannya sendiri.

“Tidak terlalu awal pun untuk menggalakkan anak mengemaskan rumah. Anak saya sudah mula belajar mengemas sekitar setahun,” kata Marie yang mencadangkan tugas-tugas mudah seperti menggunakan mop mainan dengan padanan corak sarung kaki yang sama kepada kanak-kanak.

Ubah kehidupan

Lebih menarik, kaedah yang diperkenalkan Marie tidak hanya berkesan untuk merapikan rumah, ia juga berjaya mengubah kehidupan orang ramai ke arah lebih ideal berkait menukar pekerjaan, memulakan perniagaan sendiri dan memperbaiki gaya hidup dengan mengamalkan diet seimbang.

“Marie telah menyampaikan satu mesej yang kuat untuk wanita bahawa anda seharusnya dikelilingi oleh benda-benda yang membahagiakan seperti tempat tinggal yang tersusun dan kemas,” kata seorang wanita yang hanya dikenali sebagai Diana yang merupakan salah seorang peserta seminar anjuran Marie di AS.

Kursus yang dianjurkan Marie adalah untuk melatih pakar runding atau konsultan mengemas dan merapi. Seminar-seminar yang diadakan meliputi seluruh dunia termasuk di AS, Kanada dan Australia. Menerusi laman web KonMari, bayaran yang dikenakan untuk memasuki kursus latihan berkenaan adalah AS$1,500 (RM6,200).

Ujarnya, untuk menjadi pakar perunding, seseorang itu sendiri perlu memastikan keadaan rumahnya teratur dan kemas.

Aura positif yang dibawakan Marie telah menyelusup ke setiap negara.

Menurut laman web Dailymail, di Australia ramai yang telah mengamalkan tunjuk ajar Marie pada musim perayaan Krismas baru-baru ini.

“Mereka yang menggunakan kaedah KonMari tidak akan mempunyai sikap bersepah lagi. Jika mereka kembali ke sikap itu, secara teknikalnya saya anggap gagal,” katanya yang memasang impian mahu memastikan satu dunia kelihatan kemas, tersusun, teratur dan bersih.

Marie Kondo yang mendapat jolokan wanita terkemas di dunia ini menyimpan impian untuk melihat satu dunia kelihatan kemas, tersusun, teratur dan bersih.