Tindakan nekad itu sebagai tanda kasih sayang, sekali gus memberi tumpuan penuh terhadap isterinya itu.

Bagaimanapun, fikirannya tetap runsing mengenangkan perlu membawa isterinya, Aida Yusof, 36, ke Hospital Enche Besar Hajah Kalsom dekat Kluang, Johor untuk mendapatkan rawatan susulan secara berkala.

Masalahnya akhirnya selesai dengan kewujudan perkhidmatan ambulans komuniti iaitu Kluang Street Medic yang beroperasi berdekatan rumahnya.

Sejak itu, Ishamuddin menjadi pelanggan setia perkhidmatan ambulans komuniti itu yang sentiasa siap siaga apabila diperlukan oleh masyarakat.

“Saya sangat bepuas hati dengan perkhidmatan yang ditawarkan. Pengerakan membawa isteri saya dari rumah ke hospital menjadi mudah dengan ambulans yang dilengkapi dengan pelbagai kelengkapan pemindahan pesakit.

“Tanpa mengira masa, mereka tetap datang membawa isteri saya untuk mendapatkan rawatan susulan di Hospital Kluang termasuk di beberapa buah hospital lain di Batu Pahat dan Johor Bahru.

“Tambahan pula, perkhidmatan mereka tidak berorientasikan kepada keuntungan seperti syarikat ambulans lain. Kadar bayaran dikenakan mengikut kemampuan pelanggan. Saya selesa menggunakan perkhidmatan mereka,” jelasnya.

 

Tanggungjawab

Bagi Pengasas Kluang Street Medic, Noor Hisham Yusop, 47, berkata, idea untuk memulakan perkhidmatan itu timbul atas dasar tanggungjawabnya dalam membantu golongan yang memerlukan.

“Sebelum ini saya aktif dalam Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM). Bermula dari situ saya belajar kursus-kursus asas mengendalikan pesakit sebelum mengambil keputusan untuk menubuhkan komuniti sendiri.

“Keputusan itu dibuat berikutan saya ingin membantu orang ramai tanpa sebarang sekatan daripada mana-mana pihak.

“Sejak itu, saya mula menjalankan perkhidmatan pengangkutan orang awam ke hospital menggunakan kenderaan persendirian. Alhamdulillah permintaan sangat memberangsangkan,” jelasnya.

Menurut Noor Hisham, dia kemudiannya mengambil keputusan untuk membeli sebuah ambulans terpakai jenama Iveco pada penghujung tahun lepas dengan harga sekitar RM27,000.

Dia telah menambah beberapa peralatan asas lain seperti siren, tangki oksigen, pam Ambu (pam pernafasan kecemasan) serta beberapa peralatan lain pada harga sekitar RM20,000.

“Ambulans ini berada pada kategori C. Kategori ini dikelaskan mengikut kelengkapan yang ada pada ambulans itu. Ambulans kelas B dan A yang mempunyai lebih banyak kelengkapan dan mesin kecemasan,” katanya.

Perkhidmatan ambulans kelas C tidak respons kepada kes kecemasan atau kritikal kerana ia diuruskan oleh ambulans hospital kerajaan.

Kluang Street Medic menyediakan perkhidmatan seperti penghantaran pesakit dari hospital ke hospital, rumah pesakit ke hospital, hospital ke rumah pesakit, penghantaran pesakit untuk dialisis atau temu janji pakar.

Selain itu, mereka turut menyediakan perkhidmatan untuk sebarang majlis, program atau sukan serta kelas pembelajaran dan pentauliahan pertolongan cemas asas.

 

Sukarelawan

Noor Hisham menambah, sejak bergiat aktif dalam ambulans komuniti, dia mempunyai 50 hingga 60 orang sukarelawan terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk penjawat awam.

Jelasnya, sukarelawan tersebut rata-ratanya terdiri daripada pelajar dan penjawat awam yang mempunyai asas latihan pertolongan kecemasan. Mereka bagaimanapun, datang dan pergi dan menolong sekiranya mempunyai kelapangan.

Perkhidmatan ambulans tersebut yang ditawarkan ke seluruh negara beroperasi di rumah Noor Hisham atau restoran miliknya di Kluang.

Menurutnya lagi, perkhidmatan ambulans yang ditawarkannya tidak berasaskan keuntungan semata-mata berbanding dengan syarikat-syarikat yang menyediakan perkhidmatan ambulans secara tetap.

“Saya menyediakan perkhidmatan ini lebih kepada hobi untuk menabur bakti kepada komuniti. Saya sebaliknya mempunyai pekerjaan tetap lain dalam bidang telekomunikasi.

“Lazimnya, bagi syarikat perkhidmatan ambulans, kos yang ditanggung pesakit mengikut jarak perjalanan. Sebagai contoh, kos perjalanan dari rumah sekitar Kluang ke hospital di daerah itu menelan belanja sebanyak RM200 ke RM250 sehala.

“Bagaimanapun, bagi kami, kos yang ditanggung pesakit atau waris pesakit bergantung kepada kemampuan mereka. Kami tidak boleh menawarkan perkhidmatan secara percuma kerana bimbang pengguna mengambil kesempatan.

“Bagaimanapun, kos yang dikenakan amatlah rendah berbanding syarikat perkhidmatan ambulans sepenuh masa,” jelasnya.

 

Puas hati

Sepanjang berkecimpung, dalam perkhidmatan tersebut, Noor Hisham memberitahu, pengalaman yang paling tidak boleh dilupakan adalah ketika menghantar pesakit dari Kluang menuju ke Perak.

“Pesakit pada ketika itu berada dalam keadaan nazak dan memerlukan bantuan pernafasan secara manual menggunakan pam Ambu. Sepanjang empat jam perjalanan kami terpaksa memberi bantuan pernafasan itu secara manual menggunakan tangan.

“Setelah sampai, saya meminta persetujuan keluarga pesakit untuk berhenti memberi bantuan pernafasan. Sesudah itu, pesakit meninggal dunia. Melihat kepada situasi-situasi seperti ini, ia banyak memberi pengajaran kepada kami,” jelasnya.

Dalam pada itu, seorang lagi pelopor kepada komuniti Kluang Street Medic, Mohd. Astura Firdaus Mohd. Muhkriz, 41, berkata, dia mula terjun ke dalam bidang itu selepas sama-sama dengan Noor Hisham sewaktu menyertai PBSM dahulu.

“Saya juga sebelum ini berpengalaman mengendalikan adik saya, orang kelainan upaya (OKU) yang lumpuh seluruh badan. Pengalaman tersebut digunakan sebaik mungkin untuk berkecimpung dalam bidang ini.

“Saya juga nekad untuk membantu orang lain selepas merasai pengalaman menjaga adik OKU. Pada masa yang sama, rasa puas hati timbul selepas urusan menghantar pesakit berjaya diselesaikan,” katanya.

Mohd. Astura berkata, selain menyediakan perkhidmatan ambulans, komuniti Kluang Street Medic juga terlibat dalam pelbagai program dan aktiviti sosial termasuk di peringkat antarabangsa.

Kluang Street Medic yang diasaskan oleh Noor Hisham Yusop menyediakan perkhidmatan ambulans ke seluruh Malaysia sejak setahun lalu.