Oleh itu, tidak hairanlah ia berjaya menawan hati rakyat Malaysia yang kelazimannya menggemari makanan pedas. Salah seorang daripada pencinta makanan Korea ialah Siti Nur Athirah Salahudi, 25.

Menurut Siti Nur Athirah, dia tertarik dengan makanan tersebut kerana pengaruh drama-drama Korea yang ditontonnya, begitu juga penangan populariti K-pop iaitu jalur muzik Korea Selatan.

“Saya melihat makanan di dalam drama tersebut sangat menyelerakan. Ditambah lagi dengan cara mereka makan yang bersungguh membuatkan kita tidak sabar untuk mencubanya.

“Sehubungan itu, saya pergi ke restoran makanan Korea untuk mencubanya dan ternyata memang kena dengan selera saya yang suka pedas,” cerita anak kelahiran Kuala Terengganu, Terengganu itu kepada K2 ketika ditemui di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Rezeki

Tambah Siti Nur Athirah yang merupakan peniaga kosmetik, makanan Korea yang pertama dicubanya ialah topokki dan sejak itu dia sudah jatuh cinta dengan makanan dari rantau Asia Timur tersebut.

Antara makanan Korea lain yang digemari oleh anak ketiga daripada empat beradik itu ialah aneka ramen, gimbap, ayam goreng pedas dan kimchi.

Dek kerana kecintaan yang menebal terhadap makanan Korea, dia akan makan hidangan sedemikian sekurang-kurangnya sekali sebulan.

Akuinya yang boleh bertutur bahasa Korea, jika tidak berbuat demikian, seolah-olah ada sesuatu yang tidak lengkap dalam hidupnya.

Sementara itu, pengaruh K-pop dan drama Korea juga telah membuka pintu rezeki buat seorang peniaga kimchi, Nor Ain Fadzil, 34, sejak lima tahun lalu apabila orang ramai mula mengenali sajian itu.

Menurut Nor Ain, dia belajar membuat kimchi daripada rakan sekerjanya yang berasal dari Korea.

“Ketika itu saya bekerja sebagai eksekutif pemasaran di salah sebuah syarikat Korea.

“Majoriti rakan sekerja berasal dari Korea dan setiap hari saya melihat mereka makan makanan Korea lantas tertarik untuk cuba memasak hidangan dari rantau itu,” tuturnya yang berasal dari Ampang, Selangor.

Kimchi adalah sejenis makanan jeruk sayur yang biasanya dijadikan makanan sampingan.

Pada suatu hari, Nor Ain memuat naik gambar kimchi yang berjaya dihasilkannya di laman Facebook. Siapa sangka ramai yang meninggalkan komen untuk menempah makanan itu.

Bertitik tolak dari situ, Nor Ain mula berjinak-jinak berniaga kimchi dengan jenama Daebakk Kimchii yang dijual secara online dari rumahnya.

Daebakk Kimchii menawarkan tiga jenis produk iaitu kimchi kobis (baechu), timun Jepun (oisobagi) dan lobak putih (kkakdugi).

Dalam seminggu, dia menyiapkan tempahan kimchi kobis sebanyak 15 kilogram (kg), timun Jepun (10kg) dan lobak putih (5kg).

Lima tahun lalu, dia merupakan orang terawal yang menjual kimchi secara online sehingga tidak menang tangan untuk memenuhi tempahan pelanggan yang ketika itu berat sajian kimchi dihasilkannya mencecah 80kg seminggu.

Selepas itu, hari demi hari, restoran-restoran dan peniaga-peniaga makanan Korea tumbuh seperti cendawan apabila mendapat permintaan yang tinggi daripada orang ramai.

“Kemunculan restoran-restoran dan peniaga makanan Korea itu menjadi petunjuk kepada populariti hidangan tersebut dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Perkembangan itu bagaimanapun tidak melumpuhkan perniagaan saya tetapi tidak dinafikan ada sedikit penurunan berbanding sebelum ini,” jelas ibu kepada dua orang anak itu.

Bercerita lanjut mengenai bahan-bahan membuat kimchi, Nor Ain berkata, dia ada melakukan pengubahsuaian sedikit mengikut cita rasa tempatan.

Kenyal

Kimchi akan diperam selama lima hari dan ia boleh dihidangkan bersama bubur nasi dan sup panas.

Terangnya, di Korea mereka menggunakan wain untuk membuat perapan kimchi sebaliknya, Nor Ain menggantikan bahan tersebut dengan ikan bilis dan bawang putih yang dikisar.

Bahan-bahan untuk membuat kuah pedas kimchi pula ialah serbuk cili, tepung beras, gula dan sos ikan.

Dalam pada itu, berkongsi cara membuat salah satu makanan paling popular di Korea iaitu topokki, cef Jeffry Zainal berkata, ia seratus peratus menggunakan tepung beras.

Topokki yang merupakan makanan jalanan tradisional Korea juga dikenali sebagai tteokbokki, teokbokki, ddeokbokki, topokki dan dukboki.

Ia yang merupakan kek beras mempunyai tekstur yang kenyal dan resipi asalnya menggunakan sos cili pedas dan manis.

“Kek beras tersebut akan direbus kira-kira tujuh minit dan digaul bersama sos cili pedas khas dari Korea.

“Topokki akan dihidangkan bersama telur rebus, oden, biji bijan dan hirisan daun bawang,” katanya yang bertugas di restoran MyeonDong Topokki, pusat beli-belah Sunway Putra, Kuala Lumpur.

Jeffry berkata, merebus kek beras itu pula memerlukan teknik supaya teksturnya tidak rosak.

“Kita perlu sentiasa memeriksa kek beras itu ketika merebus dan tidak boleh dibiarkannya begitu sahaja.

“Jika kita tengok ia sudah kembang dan merekah sedikit di hujung, maka kek beras tersebut sudah boleh diangkat,” ulasnya.

Tutur Jeffry, permintaan yang tinggi terhadap topokki menyebabkan cara masakannya dipelbagaikan termasuklah ditambah sos soya, kimchi dan keju.

Berbicara lanjut mengenai sambutan makanan Korea di Malaysia, Eksekutif Pemasaran MyeonDong Topokki, Azizah Yusof berkata, penerimaan rakyat negara ini terhadap hidangan tersebut sangat luar biasa.

“Kombinasi rasa pedas, manis, pahit dan masam menepati selera masyarakat tempatan.

“Pelanggan kami terdiri daripada mereka yang berumur 18 hingga 30 tahun dan 60 peratus daripada mereka adalah orang Melayu,”ujarnya.

Di MyeonDong Topokki, mereka mengangkat konsep makanan jalanan Korea dan hidangan utama adalah tteokbokki atau topokki.

Selain itu, restoran tersebut turut menghidangkan 32 aneka menu masakan Korea yang diubah mengikut cita rasa tempatan.

Ditubuhkan sejak lima tahun lalu MyeonDong Topokki kini mempunyai 15 cawangan.

Melihat kepada minat orang ramai terhadap makanan Korea yang semakin meningkat, Azizah bersetuju bahawa pengaruh K-pop dan drama dari rantau itu memainkan peranan penting dalam mempopularkannya.

Hidangan Korea yang pedas menepati cita rasa rakyat Malaysia dan popularitinya seiring pengaruh kuat budaya K-pop dan drama Korea dalam masyarakat di negara ini.