Mana tidaknya, Jackson merupakan wanita dan orang kulit hitam pertama yang berjaya menjadi jurutera di Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA).

Bukan itu sahaja, Jackson turut digelar sebagai human computers dalam kalangan pekerja-pekerja di NASA.

Walaupun telah 12 tahun meninggal dunia, namun namanya masih lagi meniti di bibir umum sehingga ke hari ini.

Lebih-lebih lagi apabila filem Hidden Figures yang ditayangkan pada tahun 2017 mengisahkan kehidupan dan perjuangannya dalam usaha bergelar jurutera aeroangkasa di NASA dilakonkan semula untuk tontonan umum.

Pendedahan yang dibuat menerusi lakonan semula itu membuatkan Jackson diangkat sebagai idola dan dijadikan sebagai sumber inspirasi terutamanya dalam kalangan wanita kulit hitam.

Melihatkan kisah hidupnya itu, ramai yang tidak menyangka bahawa selama ini golongan wanita juga banyak menyumbang bakti untuk kemajuan dunia.

Memetik laporan yang disiarkan menerusi portal interestingengineering.com, Jackson yang pada waktu itu berumur 80 berkata, dia tidak menyangka kisah hidupnya itu akan difilemkan pada masa akan datang dan mendapat pujian daripada orang ramai.

Penyelidik matematik

Mengimbau kembali peristiwa lalu, menurut Jakson, status wanita kulit hitam yang dipegangnya ternyata memberi tamparan hebat dalam kehidupan harian.

Selain ditindas oleh individu-individu kulit putih, Jackson mendakwa sering menjadi mangsa diskriminasi hanya kerana beliau adalah seorang wanita.

Menurut wanita berusia 80 tahun itu, dia memulakan kerjayanya sebagai penyelidik matematik di Jawatankuasa Penasihat National Bagi Aeronautik (NACA) pada tahun 1951 sebelum ia ditukar kepada NASA pada 1958.

“Ketika baru bekerja di NASA, saya ditempatkan di sebuah bangunan asing yang mana bahagian tersebut dikhaskan untuk individu-individu kulit hitam.

“Saya bekerja sebagai penyelidik matematik di bahagian pengkomputeran barat. Genap dua tahun bekerja, saya dipindahkan ke bahagian kejuruteraan dan berpeluang bekerja bersama seorang jurutera handal, Kazimierz Cazarnecki.

“Di situ, saya dipertanggungjawabkan untuk membantu Cazarnecki dan didedahkan dengan kerja-kerja kejuruteraan secara mendalam,” jelasnya.

Bermula dari saat itu, minat Jackson untuk menjadi seorang jurutera mula berkobar-kobar.

Cazarnecki kemudian menyarankan Jackson untuk menyambung pelajaran bagi membolehkannya bergelar sebagai seorang jurutera.

Bagaimanapun, disebabkan isu perkauman, Jackson tidak dibenarkan untuk menyambung pengajian di University of Virginia, Amerika Syarikat iaitu universiti bagi individu kulit putih dan juga satu-satunya tempat pengajian yang menawarkan jurusan kejuruteraan aeroangkasa pada waktu itu.

Menyedari keadaan tersebut, Jackson bangkit memperjuangkan nasibnya. Jackson sanggup turun naik ke mahkamah semata-mata untuk mendapatkan haknya melanjutkan pengajian dalam jurusan Matematik dan Fizik peringkat sarjana di universiti tersebut.

Menurutnya, selepas melalui beberapa proses yang panjang, Jackson akhirnya mendapat kebenaran daripada mahkamah untuk melanjutkan pengajian di universiti tersebut.

Bagaimanapun, Jackson hanya dibenarkan menghadiri kelas pada waktu malam sahaja.

Berkat kesungguhannya itu, Jackson berjaya menamatkan pengajian dengan cemerlang dan seterusnya dinaikkan pangkat sebagai jurutera pada tahun 1958.

Sukar dapat kerja

Kenaikan pangkat tersebut sekali gus menjadikan beliau sebagai jurutera wanita kulit hitam pertama NASA pada tahun yang sama.

“Saya tidak pernah menyangka mampu pergi sejauh ini.

“Kesemua ini tidak akan dapat digapai tanpa dorongan dan sokongan daripada suami, anak-anak serta keluarga tercinta,” jelasnya.

Menurut Jackson, biarpun bergelar jurutera wanita kulit hitam pertama di NASA, namun wanita ini tidak pernah melupakan asal-usulnya.

Selain membesar dalam sebuah keluarga yang sederhana, Jackson pernah melakukan beberapa jenis pekerjaan untuk menyara hidupnya.

Percaya atau tidak, sebelum menyertai NASA, Jackson pernah bekerja di beberapa tempat di luar skop kelulusannya.

“Saya merupakan graduan lulusan Matematik dan Sains Fizik daripada Hampton Institute, Virginia, Amerika Syarikat.

“Bagaimanapun, disebabkan pada waktu itu golongan kulit hitam sering menjadi mangsa penindasan, ia secara tidak langsung menyukarkan saya untuk mendapatkan pekerjaan yang bersesuaian dengan kelulusan,” jelasnya.

Disebabkan itu, Jackson pernah melakukan beberapa jenis pekerjaan seperti menjadi guru matematik sama ada di kolej, sekolah menengah mahupun sekolah rendah, pustakawan, gadis penyambut tamu dan juga kerani.

Sepanjang berkhidmat di NASA, Jackson telah menyumbang dalam pelbagai projek terpenting. Beliau menjalankan penyelidikan dan uji kaji teknikal yang kukuh menerusi ujian terowong angin.

Selain itu, Jackson turut bekerjasama dengan Cazarnecki menjalankan kertas kerja berjudul Effects of nose angle and Mach number on transition on cones at supersonic speeds pada tahun 1961.

Perlumbaan angkasa

Beliau juga merupakan salah seorang jurutera yang membantu Amerika Syarikat memenangi perlumbaan angkasa dengan negara-negara lain.

Lebih membanggakan apabila Jackson dipercayai menyumbang secara signifikan dalam Projek Merkuri NASA.

Sepanjang lebih dua dekad berkhidmat di NASA, Jackson berjaya menjalankan tugas dalam bidang kejuruteraan dengan produktif sehingga dinaikkan pangkat beberapa kali.

Bagaimanapun, ketika usianya menginjak tua, disebabkan kecewa dengan ketidakupayaannya melakukan tugas-tugas kejuruteraan, Jackson mengambil keputusan untuk berpindah ke bahagian pengurusan dan pentadbiran pada tahun 1979.

Biarpun begitu, Jackson tetap menyumbang baktinya terhadap NASA dengan menguruskan pengambilan penyelidik matematik, jurutera dan saintis terhandal dalam kalangan wanita.

Jackson menamatkan perkhidmatannya di NASA pada tahun 1985.

Pada tahun 2005, Jackson menghembuskan nafasnya yang terakhir pada usia 83 tahun.