Daripada namanya sahaja, pengunjung sudah dapat meneka bahawa Jurassica merupakan sebuah taman tema dinosaur.

Memandangkan kaunter pendaftaran Jurassica terletak agak jauh dari pintu masuk, kru Jurnal bersama jurugambar terpaksa berjalan melintasi satu laluan gelap sebelum tiba di kaunter tersebut.

Laluan itu cukup menarik memandangkan ia hanya disinari cahaya malap daripada lampu berwarna ungu.

Setiba di kaunter, kru Jurnal disambut baik oleh Pengurus Operasi Jurassica yang hanya mahu dikenali sebagai Nik Justin.

Menurutnya, Jurassica membuka pintunya kepada pengunjung pada Disember tahun lalu.

“Apabila orang ramai mendengar nama Jurassica, ramai yang menyangka bahawa ia merupakan satu lagi pusat pameran dinosaur.

“Jurassica diwujudkan untuk mengubah tanggapan tersebut kerana ia sebenarnya merupakan sebuah pusat permainan dalam dewan bertemakan dinosaur.

Interaktif

“Di sini, pengunjung boleh mencuba pelbagai aktiviti bersifat interaktif yang membolehkan mereka bermain sambil belajar beberapa perkara menarik tentang dinosaur serta reptilia lain yang ditempatkan di sini,” ujar Nik Justin panjang lebar.

Lebih menarik, dengan bayaran masuk serendah RM48, pengunjung boleh menghabiskan masa sepanjang hari di dalam premis itu.

“Kami mahu pengunjung bermain sepuas-puasnya dan oleh kerana itulah kami tidak meletakkan had masa,” jelasnya.

Lelaki tinggi lampai itu kemudian membawa kru Jurnal untuk memulakan aktiviti meneroka alam dinosaur di Jurassica.

Menariknya, bagi setiap aktiviti yang disertai, pengunjung boleh mengumpul mata dan jumlah mata terbanyak akan menerima hadiah pada penghujung permainan.

“Semasa mendaftar masuk, pengunjung akan diberikan sehelai jaket berwarna coklat cair dan juga gelang tangan yang perlu disentuh pada setiap tempat pemeriksaan di Jurassica.

“Mata akan diberikan kepada pengunjung setiap kali mereka berjaya menyelesaikan sesuatu tugasan dan pengumpul mata terbanyak akan menerima hadiah istimewa daripada kami,” tutur Nik Justin.

Permainan akan dimulakan di Containment Centre dan pengunjung akan diberikan penerangan tentang bagaimana permainan dimulakan di premis yang memiliki keluasan sekitar 1,393 meter persegi itu.

Selepas itu, pengunjung akan dibawa ke ruangan Time Vortex yang menempatkan beberapa unit replika dinosaur.

Replika

Menariknya, dinosaur Tyrannosaurus atau lebih dikenali sebagai T-Rex yang ada di situ adalah mengikut saiz sebenar reptilia tersebut.

Selesai melihat replika dinosaur, kru Jurnal dibawa pula ke Jurassica Gym dan pengunjung berpeluang mencuba aktiviti mencari fosil dinosaur.

Pengunjung dikehendaki mencari fosil dinosaur yang tersembunyi di celah-celah pasir yang diletakkan di situ dan meneka jenis haiwan prasejarah tersebut.

Menurut Nik Justin, pengunjung cukup sukakan aktiviti itu kerana ia mencabar dan menguji minda.

Bahagian seterusnya ialah Cretacious Camp yang merupakan bahagian kegemaran kru Jurnal. Di sini, staf Jurassica yang juga merupakan seorang zoologi akan mengambil salah satu reptilia yang dipamerkan di situ dan mengadakan sesi reptile talk.

Ia memberi peluang kepada pengunjung untuk mendekati serta menyentuh spesies reptilia yang ada di situ.

Staf Jurassica juga akan memberi fakta tentang reptilia yang dipilih pada sesi tersebut kepada pengunjung sebagai salah satu proses pembelajaran.

Di sebelah Cretacious Camp pula, terdapat sebuah kafe mini, sesuai untuk pengunjung yang mungkin mahu menghilangkan lapar dan dahaga selepas seharian menghabiskan masa di dalam Jurassica.

Penuh pengisian

Seksyen seterusnya yang juga merupakan seksyen terakhir adalah sebuah bengkel mencipta dinosaur dinamakan Design-A-Dino.

Di sini, pengunjung akan diberikan sekeping gambar dinosaur dan diminta untuk mewarnakannya mengikut cita rasa masing-masing.

Selesai diwarnakan, dinosaur tersebut akan diletakkan di sebuah mesin imbasan dan imej haiwan tersebut akan dipaparkan di skrin besar.

Usai menghabiskan semua aktiviti, pengunjung bolehlah melihat-lihat cenderahati yang dijual di Jurassica untuk dijadikan sebagai kenangan.

Selepas menamatkan permainan, pengunjung perlu memulangkan semula jaket dan gelang tangan yang diberi untuk proses pengiraan mata.

Aktiviti-aktiviti yang ditawarkan di Jurassica sememangnya penuh dengan pengisian dan tidak membosankan.

Pengunjung juga boleh bermain berulang-ulang kali memandangkan Jurassica tidak meletakkan had masa pada pengunjung.

Ia dibuka setiap hari daripada pukul 10 pagi hingga 10 malam.