Tambahan pula apabila sukan tersebut lebih sinonim dengan golongan itu, berbanding kaum wanita.

Bagaimanapun, baru-baru ini, nama Majiziya Bhanu, 23, menjadi sebutan masyarakat dunia apabila dia dinobatkan sebagai wanita pertama yang memenangi gelaran wanita terkuat dalam Kejohanan Kerala anjuran Pertubuhan Badan Angkat Berat di Kerala, India baru-baru ini.

Masing-masing melahirkan rasa kagum mereka apabila kemenangan tersebut digapai oleh seorang wanita Muslimah yang membawa imej bertudung.

Biarpun memiliki raut wajah yang lembut dan memakai tudung, namun gadis yang berasal dari Kozhikode, Kerala itu berjaya membuktikan jantina dan agama yang dianuti langsung tidak menghalangnya daripada terus maju dalam sukan tersebut.

“Ini merupakan kali pertama saya memasuki pertan­dingan angkat berat.

“Saya sendiri tidak me­nyangka memenangi anugerah wanita terkuat dalam kejohanan tersebut dan seterusnya mengalahkan pesaing-pe­saing yang le­bih lama me­nyertai sukan ini,” jelasnya.

Cerita wanita itu lagi, dia mula berminat melibatkan diri dalam sukan angkat berat selepas diinspirasikan oleh tunangnya.

Masyarakat konservatif

“Sebenarnya saya merupakan seorang yang aktif dalam sukan sejak di bangku sekolah lagi.

“Bagaimanapun, saya hanya mula menjinakkan diri dalam sukan angkat berat setahun yang lalu selepas mendapat sokongan dan galakkan daripada tunang, Nour Ahmad.

“Sepanjang setahun yang lalu, dia sering menunjukkan gambar-gambar ahli bina badan dalam kalangan wanita di negara-negara luar. Dari situ saya mula mencabar diri untuk menyertai sukan ini,” jelasnya.

Ujar Majiziya lagi, bukan mudah baginya untuk me­libatkan diri dalam sukan tersebut.

Lebih-lebih lagi Majiziya dilahirkan dalam kelompok masyarakat yang kuat pegangan kepada agama.

Justeru, dia terpaksa berde­pan dengan pelbagai cabaran sejak menyertai sukan itu .

“Saya sering dikritik dan dihina oleh masyarakat sekeliling setiap kali ingin pergi berlatih.

“Boleh dikatakan setiap hari, ada sahaja jiran yang akan datang ke rumah dan menasihati keluarga agar menghalang penglibatan saya dalam sukan tersebut,” jelasnya.

Pelindung diri

Biarpun begitu, Majiziya ber­syukur kerana mempunyai ibu dan bapa yang begitu memahami minatnya.

Keluarganya tidak menghalang Majiziya untuk berlatih mahupun melibatkan diri dalam sukan tersebut secara serius, malah mereka menyokong penuh minatnya itu.

“Biarpun mendapat sokongan daripada keluarga, namun lokasi kediaman kami yang jauh dari bandar menyebabkan saya menghadapi kesukaran untuk berlatih.

“Keadaan tersebut bagaimanapun tidak melemahkan diri memandangkan saya akan berusaha sedaya upaya untuk berlatih di sebuah gimnasium di bandar sekurang-kurangnya tiga kali se­minggu,” jelasnya.

Mengulas lanjut mengenai imej bertudung yang dibawanya, menurut wanita ini lagi, dia tidak akan sesekali membuka pelindung wanitanya itu biarpun jika didesak oleh pihak-pihak tertentu kelak.

“Saya merasa istimewa dan berbangga dengan pelindung hijab yang tersarung di atas kepala.

“Setiap kali tampil di atas pentas dengan memakai hijab, saya berasa unik.

“Bukan itu sahaja, saya juga bangga apabila disebut dalam akhbar-akhbar Indonesia sebagai ‘Pembawa Kuasa Wanita Islam Pertama di Dunia’ yang mengangkat berat dengan berhijab,” jelasnya.

Ujar Majiziya lagi, dia berasa gembira dengan gelaran wanita pa­ling kuat yang diperolehnya.

“Walaupun ramai yang berpendapat bahawa hijab adalah halangan dalam sukan seperti itu, namun saya yakin mampu mara ke hadapan biarpun mengekalkan imej wanita bertudung sehingga ke hari ini,” jelasnya.

Wanita berusia 23 tahun yang menetap di Kerala, India berjaya memecahkan rekod sukan angkat berat yang dimonopoli oleh golongan lelaki apabila dianugerahkan gelaran wanita terkuat dalam satu kejohanan anjuran Pertubuhan Angkat Berat di Kerala, India baru-baru ini.