Selain itu, kebanyakan pelanggan juga mengadu, barangan yang dihantar ke rumah mereka tidak sama seperti yang dipesan melalui telefon.

“Kami mengalami kerugian dalam isu kehilangan dan pembaziran makanan,” ujar Kanari.

Kini, tiga ladang yang dimiliki Kanari boleh beroperasi dengan lebih baik selepas dia mengetahui kehendak pelanggan.

Katanya, kaedah penghantaran dari rumah ke rumah yang dilakukan membantunya mengetahui corak kemahuan pelanggan.

Malah, dia turut mempunyai kalendar penanaman dan penuaian yang lebih baik, sekali gus mampu membuat perancangan untuk musim akan datang.

Kanari berkata, laman web juga membantu dia mengembangkan perniagaannya.

“Kami berjaya menghantar 200 pesanan di kedai Kalimoni Greens secara online setiap minggu pada musim panas.

“Mereka membuat tempahan bermula pada bulan September ini hingga Mac tahun hadapan,” kata Kanari.

Kanari merupakan salah seorang daripada 8,000 petani di Kenya yang menggunakan kaedah online untuk menjual hasil tani mereka kepada pelanggan berbanding menjual melalui pemborong.

Menurut Persekutuan Peladang-Peladang Kebangsaan Kenya (Kenaff), usaha yang dilakukan itu dapat meningkat hasil jualan selain mengurangkan sisa makanan di Kenya.

Pengerusi Kenaff, Mwenda M’Mailutha berkata, kaedah yang dilakukan itu memberi peluang kepada petani untuk memperoleh keuntungan yang banyak.

Katanya, industri pertanian menyumbang kira-kira satu perempat daripada AS$86 bilion (RM352,858 juta) Keluaran Dalam Negara Kasar Kenya.

“Kebanyakan petani bergantung kepada hasil tani mereka untuk keperluan makanan dan pendapatan.

“Sebenarnya, penggunaan teknologi dalam pertanian dapat membantu petani memasarkan hasil pertanian mereka, sekali gus mengelakkan daripada pemborong membeli hasil tani mereka dengan harga yang rendah,” jelasnya.

Ladang kecil Sylvia Kuria di Limuru iaitu kira-kira 30 kilometer dari laut Nairobi hanya menjual hasil pertanian mereka kepada peniaga di pasar sebelum memulakan secara online.

“Ini bermakna, margin keuntungan begitu sedikit kerana berlakunya tawar-menawar dalam setiap pembelian di pasar.

“Malah, ia belum dikira sayur-sayurannya yang telah rosak semasa dalam perjalanan ke pasar atau ketika berada di pasar.

“Penggunaan teknologi boleh membantu petani memasarkan produk mereka dan mengelakkan daripada orang tengah membeli pada harga lebih rendah,” katanya.

Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FOA) di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berkata, kerosakan adalah masalah global kerana kira-kira satu pertiga makanan akan berlaku pembaziran.

Di Kenya, kekurangan kemudahan untuk penyimpanan hasil pertanian selepas proses penuaian menyebabkan kira-kira 40 peratus makanan mengalami pembaziran sebelum dimakan.

Transaksi online

Setiausaha Agung Kementerian Penerangan Komunikasi dan Teknologi Kenya, Jerome Ochieng berkata, teknologi boleh menangani masalah itu dan kerajaan mahu petani mengurangkan jumlah pembaziran tersebut.

“Kerajaan telah mengambil langkah proaktif dengan mewujudkan transaksi jualan secara online.

“Susulan daripada itu, ia dapat mengurangkan kos pengangkutan, menghapuskan rasuah dan meningkatkan kecekapan,” katanya.

Dalam pada itu, Ochieng memberitahu, lebih ramai petani perlu menggunakan kaedah digital dalam kerja-kerja pertanian.

“Sektor pertanian di Kenya berkembang pada kadar lima peratus setiap tahun.

“Petani perlu menjadi sebahagian daripada pengguna revolusi digital bagi memastikan peningkatan jualan dan tiada lagi pembaziran makanan dalam sektor pertanian,” katanya dalam satu Persidangan Petani Digital pada Mei lalu.

Oleh yang demikian, Ochieng menjelaskan, kerajaan melancarkan satu rancangan yang diberi nama ‘Empat Agenda Besar’ pada tahun lalu.

“Pertama adalah pertumbuhan ekonomi dengan menumpukan kepada keselamatan makanan dan kedua ialah perumahan mampu milik.

“Bagi perancangan ketiga adalah pembuatan makanan dan keempat penjagaan kesihatan yang berpatutan melalui pemakanan,” ujarnya.

Selain itu, Ochieng menjelaskan, dalam usaha mengurangkan pembaziran makanan, jalan-jalan raya di bandar perlu dinaik taraf.

“Ini kerana struktur jalan raya di kawasan luar bandar sangat teruk berbanding kawasan bandar yang kini bertambah baik.

“Kebanyakan hasil pertanian dari luar bandar. Jika jalan raya tidak dibaiki, ia menyebabkan kerosakan pada hasil tani itu kerana ia perlu mengambil masa yang lama untuk sampai ke destinasi yang dituju,” ujarnya.

Dalam pada itu, Kanari berkata, penyelesaian yang baik adalah membuka sebuah kedai di Nairobi untuk memudahkan petani menyimpan dan mengedarkan hasil pertanian mereka.

Kerjasama petani dengan pengedar makanan juga amat penting untuk memudahkan urusan kedua-dua belah pihak.

“Contohnya, apabila datang ke rumah, digalakkan menaiki motosikal, bukannya lori kerana ia memberi kesan kepada alam sekitar.

“Motosikal cepat, cekap dan tidak tersekat dalam kesesakan lalu lintas, sekali gus melancarkan perjalanan,” katanya. 
– Reuters