Pasangan yang berusia 70-an itu telah mengembara ke 23 buah negara daripada hasil pendapatan menjual teh tarik di perkampungan kecil, Kochi, India.

Antara negara yang pernah mereka jejaki ialah Britain, Perancis, Australia, Mesir and Arab Saudi, Singapura, Argentina, Peru, Malaysia dan Brazil.

Vijayan berkata, dia tidak menyangka perniagaan teh tarik secara kecil-kecilan yang diusahakan sejak 1963 itu mampu memenuhi impiannya.

“Sejak kecil lagi, saya sudah memasang cita-cita untuk ke luar negara. Melihat negara-negara yang maju untuk mengenal budaya orang.

“Jadi, saya dan isteri mencari jalan untuk mencapai impian itu dengan mengumpul duit melalui hasil jualan teh tarik ini,” katanya kepada KalingaTV.

Kini, gerai teh tarik yang diberi nama Sree Balaji Coffee House itu antara yang popular di daerah Kerala kerana aroma serta rasanya sukar digambarkan membuatkan pelanggan tidak pernah jemu apabila menikmatinya.

Biasanya orang ramai akan memenuhi ruang kedai mereka seawal 7 pagi apabila melihat perkakasan membuat teh tarik sudah tersedia di atas meja dapur.

Menurut Vijayan, dia sengaja membuat konsep dapur secara terbuka agar dapat mencuri perhatian pelanggan semasa membancuh teh tarik tersebut.

“Saya rasa, cara terbuka itu dapat menarik minat pelanggan untuk datang di kedai lebih-lebih lagi mereka suka melihat saya menarik air teh.

“Di samping itu juga, ia memberi peringatan kepada saya dan isteri agar selalu menjaga kebersihan di dapur,” ujarnya yang mendapat keuntungan perniagaannya hampir 3,000 rupee (RM174) setiap hari.

Selain teh tarik, mereka turut menjual makanan dan minuman lain seperti muruku, roti canai, idli, wade dan kopi.

Gerai mereka menerima antara 300 hingga 350 pelanggan setiap hari. Malah, ia menjadi tempat kegemaran warga di daerah Kerala melepak sambil menikmati teh tarik.

Kaedah mengembara

Menceritakan mengenai pengalamannya melancong, Vijayan berkata, kejayaan mereka mengembara hampir seluruh dunia itu adalah hasil simpanan yang dibuat oleh isterinya.

“Formulanya adalah Mohana akan menyimpan 300 rupee (RM17) setiap hari selama tiga tahun. Sepanjang itu juga kami mengehadkan perbelanjaan harian.

“Setelah genap tiga tahun, simpanan itu digunakan untuk mengembara ke tempat-tempat yang kami rasa mahu berkunjung tanpa menyentuh perbelanjaan harian.

“Malah, saya tidak akan pergi mengembara tanpa isteri di sisi kerana dia sahaja yang boleh membuatkan saya gembira,” katanya.

Tambahnya lagi, sekiranya duit yang dibelanjakan untuk melancong itu masih berbaki, mereka akan menggunakannya untuk menyelesaikan hutang perniagaan ataupun pinjaman.

“Itu adalah kaedah yang membolehkan kami mengembara dan kami akan mengumpulnya kembali selama tiga tahun untuk pergi ke destinasi seterusnya.

“Biarpun perbelanjaan melancong ke luar negara sangat mahal, tetapi ia tidak mematahkan semangat saya untuk meneruskan impian melihat negara luar,” kongsinya yang tidak menggunakan tenaga pekerja di kedai mereka.

Pelik

Ujarnya, pada awal pengembaraannya ke luar negara, orang kampung pelik kerana kedainya tutup hampir seminggu tanpa khabar berita.

Vijayan berkata, ia menimbulkan kerisauan kepada para pelanggan kerana khuatir tempat mereka melepak sudah tiada.

“Namun, kini pelanggan sudah tahu, setiap kali kedai kami tutup dalam tempoh yang lama, pasti saya dan isteri pergi melancong ke luar negara.

“Bukan sekadar melancong, tujuan kami juga adalah untuk menimba ilmu perniagaan di luar sana dengan cara melihat dan merasai makanan di kedai-kedai luar negara,” tuturnya yang memilih negara Mesir sebagai destinasi pertama untuk mengembara.

Menceritakan mengenai perniagaan, Vijayan berkata, perniagaan teh tarik itu adalah peninggalan ayahnya yang menjual secara kecil-kecilan di tepi jalan.

“Ayah meninggal pada tahun 1963 secara mengejut dan pada masa itu, saya mula mengambil alih perniagaannya ketika berusia 15 tahun.

“Selepas 10 tahun kemudian, saya berkahwin dengan Mohana. Sejak daripada itu perniagaan mula berkembang sedikit demi sedikit,” ujarnya yang juga telah melawat seluruh tempat menarik di India.

Tambah Vijayan, semangatnya untuk mengembangkan perniagaan teh tarik itu adalah bagi memenuhi impiannya ketika kecil yang suka melawat ke tempat baharu.

“Sejak mengambil alih perniagaan teh tarik, saya mula berfikir untuk melancong ke luar negara biarpun sekadar menjual teh tarik,” katanya yang telah berkahwin selama 45 tahun dengan Mohana.

Suntik semangat

Katanya, hasrat itu dikongsikan dengan Mohana apabila mereka berkahwin dan sejak daripada itu, isterinya mula menyimpan wang agar impian mereka tercapai.

Lebih unik, apabila pasangan berkenaan meletakkan satu glob di ruang dapur mereka untuk menyuntik semangat menjelajah ke seluruh dunia.

Bertanya mengenai negara yang paling disukai, Vijayan menyatakan Singapura, Switzeland dan New York, Amerika Syarikat.

“Pendapat saya, negara-negara tersebut sangat menarik dari segi adat, budaya dan bangunannya cukup tinggi.

“Destinasi seterusnya, kami bercadang berkunjung ke Sweden, Denmark, Belanda, Greenland dan Norway,” katanya.

Katanya, setiap kehidupan manusia perlu diakhiri dengan ketenangan dan menikmati segala yang diusahakan di dunia.

Luah Vijayan, sehingga hari ini, dirinya seakan-akan tidak percaya kedai teh tarik miliknya itu mendapat perhatian dunia.

Setelah tular di laman sosial, Vijayan dan isterinya Mohana turut mendapat perhatian daripada ahli-ahli perniagaan berpengaruh di India antaranya, Anand Mahindra seorang jutawan bagi perusahaan automotif dan kelengkapan pembinaan.

Pengerusi Kumpulan Mahindra itu berkata, mereka mungkin tidak tersenarai orang terkaya dalam Forbes tetapi pada pandangannya, pasangan tersebut antara orang terkaya di India.

“Kekayaan mereka adalah sikap yang ditunjukkan dalam kehidupan dan saya juga berhasrat untuk singgah di kedai teh tarik itu suatu hari nanti,” katanya di laman Twitter miliknya.

Menurut Vidayan, untuk memenuhi impian yang sukar tidak memerlukan wang berjuta-juta tetapi cukup sekadar mempunyai kesungguhan untuk melaksanakannya.