Disebabkan itu tidak hairanlah jika dilihat syarikat-syarikat telekomunikasi berlumba-lumba mengeluarkan pelan-pelan internet yang menarik bagi memenuhi keperluan harian individu.

Biarpun begitu sebagai seorang pengguna, umum pasti akan memilih pakej yang bersesuaian dengan keperluan harian mereka. Biasanya, langganan pelan tersebut akan mengambil kira faktor kecukupan data bagi kegunaan tempoh sebulan selain bayaran yang setimpal dengan perkhidmatan yang ditawarkan.

Bagaimanapun, kemudahan jalur lebar tanpa wayar atau Wi-Fi hampir di segenap penjuru kawasan pada hari ini menyebabkan penggunaan data individu kebiasaannya tidak luak dan terbazir begitu sahaja.

Melihat pada situasi tersebut, seorang anak muda kelahiran Sarawak, Tay Yen Pei tampil dengan sebuah platform yang dikenali sebagai Simplify, bagi membolehkan individu menjual lebihan data internet mereka kepada umum.

Menariknya, platform Simplify yang merupakan perkongsian internet rakan ke rakan (peer-to-peer) ini bukan sahaja membolehkan pengguna telefon pintar menjual lebihan data mudah alih, tetapi juga membeli dengan hanya menggunakan aplikasi yang dimuat turun pada telefon pintar masing-masing.

“Idea ini terbit sewaktu saya menghadiri Global Entrepreneurship Bootcamp di Massachusetts Institute of Technology (MIT), Amerika Syarikat beberapa tahun lalu.

“Saya selalu lihat masyarakat pada hari ini berhadapan dengan dua situasi utama apabila menggunakan internet. Satu, golongan yang mempunyai lebihan data dan terbazir begitu sahaja hampir setiap bulan, manakala kedua pula mereka yang berhadapan dengan masalah ketidakcukupan data.

“Dari situ saya terfikir apa yang boleh dilakukan untuk mengoptimumkan penggunaan data yang dilanggan. Daripada membazirkan langganan data bulanan yang dibayar, lebih elok jika data tersebut dijual kepada golongan yang memerlukan.

“Setidak-tidaknya, ia bukan sahaja membantu mereka yang terdesak untuk mendapatkan akses internet dengan mudah, tetapi juga membolehkan individu menjana pendapatan secara tidak langsung,” jelas Yen Pei yang juga merupakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Simplify.

Selamat diakses

Menurut pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer di Monash University, Australia itu lagi, selain menjadikan lebihan data internet peribadi sebagai satu pendapatan, objektif utama platform yang dibina sejak tahun 2016 itu juga bertujuan untuk memberikan kemudahan internet mudah akses kepada masyarakat di seluruh pelosok dunia.

Lebih-lebih lagi apabila menerusi pemantauan yang dilakukan oleh pihaknya, dianggarkan kira-kira 4 bilion masyarakat di luar yang masih tidak mempunyai akses kepada internet biarpun ia kini menjadi satu keperluan asas.

“Sekarang ini memang pelbagai Wi-Fi wujud di luar sana tetapi tidak semuanya boleh digunakan dan mempunyai kelajuan yang bagus, selain memerlukan kata laluan sebelum internet disambungkan. Justeru kewujudan aplikasi yang selamat ini membolehkan mereka mengakses internet tanpa was-was dan mudah kerana menggunakan teknologi khas yang dibangunkan oleh kami,” jelasnya yang memberitahu aplikasi tersebut telah mencecah lebih 60,000 orang pengguna dengan jumlah penjual data sebanyak 1,505 individu.

Bercerita lanjut, menurut Yen Pei lagi, menerusi platform tersebut, orang ramai kini boleh menjual lebihan data mudah alih mereka dengan harga yang berpatutan yang ditetapkan mengikut harga psaran semasa iaitu serendah RM10 bagi satu gigabit (GB) data internet.

“Orang ramai yang mempunyai lebihan data dan berminat untuk menjualnya kepada individu yang memerlukan boleh mendaftar pada aplikasi Simplify yang dimuat turun pada telefon pintar masing-masing.

“Mereka kemudian boleh tentukan jumlah data yang ingin dijual sama ada 1GB, 5GB atau tanpa had sebelum dibeli dan digunakan oleh orang awam pada telefon pintar masing-masing.

“Di pihak pembeli pula, mereka boleh memilih senarai jualan Wi-Fi yang berdekatan dan memilih pelan yang ingin dilanggan sebelum ia disambung secara automatik tanpa memerlukan kata laluan,” jelasnya.

Lebih menarik apabila kedua-dua penjual dan pembeli boleh memantau data yang telah digunakan. Bagaimanapun, biarpun kadar yang ditetapkan adalah sebanyak RM10 bagi 1GB data, namun pengguna hanya perlu membayar jumlah yang digunakan sahaja.

Bukan sekadar telefon pintar, penjualan data ini juga boleh dilakukan pada broadband yang dipasang pada kediaman masing-masing. Biarpun begitu menurut Yen Pei lagi, jarak antara penjual dan pembeli hendaklah kurang daripada 100 meter.

“Sebagai seorang pelancong misalnya, sudah tentu sukar bagi mereka untuk membeli kad prabayar sementara. Jika mahu menggunakan data roaming pula, harga yang dikenakan kadangkala tidak munasabah. Justeru, platform Simplify merupakan salah satu jalan penyelesaian bagi mereka yang ingin menggunakan internet sepanjang berada di negara orang,” jelasnya.

Ubah skeptikal

Menjadikan pemandu kereta sewa seperti Grab dan Uber sebagai contoh, menurut Yen Pei lagi, perkongsian data berbayar kepada pelancong secara tidak langsung membolehkan mereka menjana pendapatan.

Bukan itu sahaja, ia juga membolehkan golongan tersebut mendapatkan akses kepada internet dengan mudah.

Dalam pada itu menurut Pengurus Pemasarannya, Matthew Ooii, biarpun platform tersebut mampu memudahkan urusan orang ramai untuk mendapatkan akses internet dengan mudah, namun pihaknya mengakui sukar untuk mengubah skeptikal orang terhadap penggunaan Wi-Fi.

“Dalam dunia digital hari ini, internet dan Wi-Fi merupakan komponen yang paling penting untuk setiap individu. Justeru dengan kewujudan platform seperti ini, ia membantu memperluaskan rangkaian internet dan memudahkan lagi urusan mengakses data.

“Biarpun begitu tidak dinafikan ramai yang masih lagi ragu-ragu untuk mencubanya memandangkan ia masih lagi baharu. Isu keselamatan menjadi antara perkara yang dibangkitkan.

“Bagaimanapun jika dilihat sekitar awal kemunculan Grab dan Uber, ramai yang sukar untuk menerima perkhidmatan yang ditawarkan. Bagaimanapun selepas lima tahun, servis tersebut kini semakin dipercayai dan menjadi salah satu pengangkutan awam yang sering digunakan oleh orang ramai,” jelasnya yang memberitahu platform tersebut bukan sahaja membantu individu yang dalam memerlukan, tetapi juga menjana pendapatan mereka dengan mudah.

Anak muda hasilkan platform Simplify bagi membantu orang ramai mendapatkan akses internet tanpa batasan dengan mudah pada harga yang berpatutan iaitu serendah RM10 bagi satu gigabit data internet.