Kisah jodoh tidak kesampaian acapkali kita dengar. Ada pasangan kekasih yang bercinta bertahun-tahun terputus hubungan beberapa minggu sebelum majlis persandingan dilangsungkan.

Pada masa inilah kesabaran seseorang itu diuji dan sejauh mana mereka dapat menerima ujian sebegitu.

Kisah seorang jejaka yang turut diuji selepas hubungannya dengan wanita dicintai berakhir menjadi tular baru-baru ini apabila dia bertindak memuat naik barangan yang sepatutnya menjadi hantaran untuk dijual di Twitter.

Lelaki berkenaan mengiklankan dua bentuk cincin untuk dijual setelah perkahwinan yang dirancang tidak menjadi. Turut dijual ialah barangan hantaran lain antaranya kasut, set mandian, pewangi dan seluar.

Segelintir netizen turut mengusik pemuda berkenaan dengan bertanya sama ada dia sudi menjadi suami mereka, namun ditolak pemuda berkenaan.

Pemuda itu turut diajukan pertanyaan bagaimana dia boleh menjadi begitu tabah selepas tujuh tahun bercinta, namun hubungannya putus di tengah jalan. Bagaimanapun, pemuda itu mengakui dia tidak mempunyai jawapan untuk soalan berkenaan.