Konsultan Keselamatan Teknologi Maklumat yang berdarah keturunan Serani itu tanpa berfikir panjang telah memilih Roslaili Abdul Rahim untuk mengisi kekosongan jawatan setiausaha di pejabatnya.

Itulah kali pertama dalam hidupnya dia memilih seorang wanita Islam untuk membantu menguruskan tugas-tugas di pejabat.

Anehnya, setiap kali wanita berkenaan meminta izin untuk menunaikan solat apabila azan berkumandang, hatinya membuak-buak ingin mengetahui tentang rukun Islam kedua itu.

Dia mula mengajukan pelbagai persoalan tentang solat sehinggalah kewajipan menutup aurat kepada Roslaili.

Setiap kekeliruan dirungkai dengan penuh kelembutan oleh Roslaili dan persoalan yang sukar untuk dijawab telah dirujuk pada ahli agama.

Ternyata, dirinya begitu terpesona dengan akhlak yang ditunjukkan wanita itu sebagai seorang muslimah sejati.

Keadaan tersebut berlangsung selama beberapa bulan dan kecenderungannya terhadap Islam semakin terserlah. Pada 29 Januari 2013, James Arnold telah membuat keputusan yang paling bersejarah dalam hidupnya dengan memeluk Islam.

Dia yang menggunakan nama Muhammad Roger Arnold kemudiannya mengahwini Roslaili disebabkan akhlak Islam yang ditunjukkan wanita itu.

“Saya langsung tidak terlintas untuk memeluk Islam dan mendirikan perkahwinan dengannya disebabkan persepsi negatif serta salah faham mengenai beberapa isu.

“Hidayah itu milik Allah dan Dia menghadirkan seseorang untuk membimbing saya menuju ke jalan yang diredai-Nya tanpa disangka-sangka,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Ibu Pejabat Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim), Jalan Ipoh, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Muhammad Roger, 43, kini merupakan Ketua Pegawai Eksekutif, Inspirasi Mualaf iaitu sebuah syarikat yang menyalurkan keuntungannya untuk membantu golongan mualaf yang tidak berkemampuan di negara ini.

Menyorot dugaan yang dilaluinya sejak memeluk Islam, pemuda itu mengakui ujian duniawi datang menyapa silih berganti dalam pelbagai bentuk dan rupa.

Keluarga yang beragama Kristian tidak dapat menerima penghijrahannya dan mula mengasingkan diri kerana mempunyai tanggapan yang salah mengenai Islam.

Tempuh ujian

Malah, anak bongsu daripada dua beradik itu hilang punca pendapatan sehingga kehilangan tempat tinggal serta kenderaan dan akhirnya diisytiharkan muflis dalam beberapa bulan sahaja.

Lebih memeritkan dalam tempoh yang sama isterinya mula jatuh sakit sehingga tidak dapat bangun dipercayai angkara perbuatan sihir.

“Saya bertanya pada diri, adakah ini Islam yang sebenar sehingga membebankan umatnya? Saya kehilangan segala-galanya, tidak terurus dan kesempitan.

“Ketika itu, fikiran begitu kusut sekali. Saya hanya mampu berdoa dan berzikir supaya diberikan ilham untuk menyelesaikan semuanya,” katanya.

Muhammad Roger memberitahu, Allah telah mengubah hidupnya 360 darjah setelah dirinya dipertemukan dengan seorang jemaah di sebuah masjid.

Jemaah itu memintanya untuk menunaikan solat sunat dua rakaat dan meminta doa kepada Allah sebelum mendirikan solat fardu.

“Sejak saya amalkan pesanannya, hidup saya berubah sedikit demi sedikit. Semua urusan dipermudahkan dan saya dipertemukan dengan ramai orang yang menghulurkan bantuan dengan pelbagai cara,” ujarnya.

Keadaan isteri semakin pulih, hutang semakin berkurang selain keluarga semakin reda dengan penghijrahannya.

Malah, pemuda itu bercerita, dengan ujian yang menimpa dirinya bertalu-talu dia semakin dekat dengan Allah dan minatnya terhadap bidang dakwah semakin bercambah.

Inspirasi

Muhammad Roger memberitahu, dia telah diperkenalkan dengan New Muslim Care iaitu sebuah organisasi dakwah antarabangsa bagi membantunya memahami Islam dengan lebih mendalam.

Menerusi organisasi itu, dia menghadiri kuliah setiap minggu yang dijalankan dalam bahasa Inggeris dan mula berdakwah secara aktif.

Bagaimanapun, setelah dua tahun berkecimpung dalam organisasi berkenaan, dia mengambil keputusan untuk berhenti dan mahu menjalankan dakwah menerusi pendekatan yang berbeza.

Dia menjadikan pengalaman hidup yang dilaluinya sebagai inspirasi kepada mualaf lain untuk tidak berputus asa mengharungi ujian.

Sekitar Jun 2016, Inspirasi Mualaf iaitu sebuah syarikat yang menjual baju-T telah ditubuhkan bagi membantu mualaf, fakir miskin dan ibu tunggal di negara ini.

“Saya dan isteri bermula dengan modal kosong tetapi Allah permudahkan segala-galanya. Dia hadirkan seseorang yang menawarkan percetakan 100 helai baju-T siri pertama tanpa menggunakan modal dan membayar kembali setelah mendapat keuntungan.

“Alhamdulilah, berkat kebergantungan kepada Allah, kami telah berjaya menjual kira-kira 5,000 helai baju-T dan sebahagian keuntungan tersebut digunakan untuk menjalankan dakwah serta membantu golongan sasaran,” jelasnya.

Syarikat berkenaan diusahakan dengan isterinya sahaja tanpa bantuan kakitangan yang lain dan beroperasi secara kecil-kecilan.

Inspirasi Mualaf juga bertindak menjalinkan kerjasama dengan Takaful Ikhlas, Perkim dan beberapa pejabat zakat negeri termasuk Selangor, Pulau Pinang serta Kedah.

Bantuan

Perkhidmatan yang diberikan menerusi Inspirasi Mualaf merangkumi tiga aspek iaitu bantuan keperluan asas, pembangunan hidup serta dakwah.

“Pertama, kita bantu mereka dengan menyediakan keperluan asas terlebih dahulu seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal. Kita akan merujuk kes-kes yang terlibat kepada pihak yang berkenaan untuk diambil tindakan.

“Kemudian, kita akan memastikan mereka dapat membangunkan hidup kembali dengan mencari pekerjaan yang bersesuaian dengan bakat dan potensi diri,” ceritanya.

Muhammad Roger berkata, usaha berkenaan tidak terhenti di situ sebaliknya pihaknya akan mendekatkan diri mualaf berkenaan untuk mengenali Allah menerusi kelas-kelas agama yang dianjurkan Perkim dan majlis agama Islam.

Sehingga kini Muhammad Roger berkata, pihaknya telah menyelesaikan kira-kira 100 kes mualaf yang menghadapi pelbagai masalah seperti murtad, dibuang keluarga, kehilangan tempat tinggal dan pekerjaan serta masalah peribadi.

Muhammad Roger bercerita, sebaik dia mendapat maklumat mengenai sesuatu kes yang diberikan oleh rakan-rakan, dia dan isterinya akan turun padang untuk melihat sendiri tahap kesusahan yang dilalui seterusnya mengambil tindakan lanjut.

Muhammad Roger mengakui terdapat cabaran yang perlu ditempuhi sepanjang berkecimpung dalam Inspirasi Mualaf termasuklah dana yang amat terhad, kekurangan tenaga kerja dan salah faham daripada sesetengah pihak.

Dia tidak pernah tunduk dengan cabaran tersebut dan baginya menjadi satu kepuasan apabila suaranya dalam menambah baik perkhidmatan jabatan yang menguruskan mualaf didengari.

Dia sering dijemput beberapa pihak untuk membentangkan kertas kerja dengan memberikan pandangan serta cadangan yang boleh dilakukan dalam membantu pembangunan mualaf di negara ini.

Selain itu, dia juga sering menerima undangan untuk menyampaikan ceramah daripada pelbagai pihak bagi berkongsi pengalaman penghijrahannya.

Menurut Muhammad Roger, sasaran jangka panjangnya adalah untuk melihat nasib komuniti mualaf di negara ini terbela seterusnya dapat hidup dalam keadaan harmoni.

Muhammad Roger Arnold dan Roslaili Abdul Rahim menubuhkan Inspirasi Mualaf iaitu syarikat yang menjual baju-T bagi membela nasib mualaf, fakir, miskin dan ibu tunggal di negara ini.