Itu merupakan antara kalimah yang diungkapkan seekor beruang kecil berwarna coklat bernama Pooh kepada temannya, Christopher Robin saat mereka tersesat di sebuah hutan.

Babak tersebut popular menerusi satu naskhah filem fiksyen hasil buah tangan penulis Inggeris, AA Miilne.

Namun, hal itu berbeza dengan Presiden Republik Indonesia, Joko Widodo (Jokowi). Berdiam tanpa berbuat apa-apa tidak pernah wujud dalam kamus hidupnya, apatah lagi sejak dilantik menjadi presiden sejak 2014 lalu.

“Ibu menteri (Presiden) juga perlu rehat yang secukupnya ya? Namun begitu saya agak kurang menikmatinya kerana pada hari Sabtu dan Ahad juga perlu bekerja serta mempunyai banyak aktiviti,” ujarnya tersenyum.

Tambahnya, dirinya bukanlah sebuah mesin namun itu semua bukan alasan untuk beliau tidak melakukan apa-apa aktiviti terutama yang melibatkan rakyat serta masyarakat.

Jokowi menyampaikan keluhan kecilnya itu pada 4 November lalu pada majlis pembukaan Indonesia Healthy Summit 2018 di Tangerang, Banten yang dihadiri ratusan pegawai kesihatan daerah.

Turut hadir, Gabenor Banten, Wahidin Halim; Ketua Daerah Tangerang, Ahmad Zaki Iskandar dan Menteri Kesihatan, Nila Moeloek.

Dengan menunggang motosikal, Jokowi menyapa para penduduk Tengerang yang sudah menantinya dari pagi kerana tidak sabar-sabar menemuinya.

Aktiviti padat

Sebenarnya, pada hujung minggu 3 dan 4 November lalu itu, Jokowi telah dijadualkan menghadiri pelbagai acara dimulakan dengan perasmian pembukaan Rapat Kerja Nasional Relawan Pengusaha Muda Nasional (Repnas) di Hotel Fairmont, Jakarta.

Pada majlis tersebut, Jokowi meminta dan merayu agar para pengusaha dan usahawan yang hadir untuk memulakan penghijrahan.

“Hijrah yang dimaksudkan bukanlah hanya perpindahan semata-mata. Mulai dari sekarang, mari kita sama-sama berhijrah daripada tidak produktif kepada lebih produktif dan daripada pemarah kepada seorang penyabar.

“Lebih daripada itu, kita juga harus berhijrah daripada sendirian kepada berpersatuan, daripada bersifat monopoli kepada kompetensi serta individualistik kepada kolaboratif,” katanya semasa menyampaikan ucapan perasmian.

Jokowi turut meluangkan masa melawat Pameran Indonesia Motorcycle Show (IMOS) 2018 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Jakarta.

Beliau tampil segak dengan mengenakan jaket merah terang dan bertulisan ‘Bulls Syndicate, Motorcycle Worshiper’ pada belakang baju sambil mencuba beberapa model motosikal yang dipamerkan.

Di situ, dua buah model motosikal yang dicubanya ialah keluaran India, Royal Enfield. Motosikal berwarna hitam dan putih itu mempunyai gaya rekaan klasik tersendiri.

Namun begitu, Jokowi langsung tidak mempunyai hasrat untuk membeli mana-mana model motosikal tersebut sebaliknya hanya bertujuan mencuba.

Menurut Jokowi, dia menghadiri pameran tersebut untuk melihat sendiri kemajuan pengeluaran motosikal negara itu yang sudah menghasilkan lebih daripada 6.5 juta buah motosikal dengan 600,000 daripadanya dieskport ke pasaran luar.

Usai mencuba beberapa motosikal, kembara bermotosikal diteruskan ke makam Sultan Maulana Hasanuddin di kawasan Banten Lama.

Kunjungan ziarah selama lebih sejam itu dipenuhi beberapa aktiviti termasuklah bertemu dengan petugas-petugas makam dan sembahyang berjemaah.

Seterusnya, perjalanan diteruskan ke Serang, Banten dengan menghadiri acara Deklarasi Dukungan Keluarga Besar Tabagus Chasan Sochi.

Menerusi acara tersebut, Jokowi dalam ucapannya sekali lagi menasihati penduduk desa untuk mula berhijrah.

“Marilah kita mula berhijrah daripada kebencian kepada kebenaran, daripada mengeluh kepada mensyukuri nikmat dan daripada bersangka buruk kepada bersangka baik terhadap sesiapapun apatah lagi sesama Muslim, sesama bangsa tanah air,” katanya.

Walaupun jam sudah menunjukkan pukul 6.30 petang, namun kembara tetap diteruskan ke Pesantren Raudhatul Ulum Cidahu, Pandeglang, Banten sambil diiringi hujan rahmat yang turun membasahi bumi.

Mengakhiri kembara pada hari pertama, Jokowi tiba di hotel di ibu kota pada pukul 10.30 malam untuk beristirahat sebelum memulakan perjalan pada hari kedua.

Singgah pasar

Seawal pukul 6 pagi, Jokowi dan rombongan kembara telah keluar dari Hotel Atria dan bertolak menuju ke pasar Anyar.

Motosikal yang ditungganginya adalah jenis ‘custom’ rekaan bengkel Katros Garage dari Kawasaki W175 berwarna hijau dengan nombor pendaftaran B 3450 INA.

Program tersebut turut disertai Menteri Perindustrian, Airlangga Hartarto dan Ketua Daerah Tangerang, Arief Wismansyah.

Setibanya di pasar tepat pukul 6.30 pagi, Jokowi disambut mesra lebih daripada 100 peniaga dan pengusaha sejurus singgah ke premis perniagaan mereka sambil beramah mesra.

Pelbagai premis disinggahi presiden termasuklah yang menjual buah-buahan, sayur-sayuran, beras, tauhu, petai, daging, ayam dan lain-lain hasil pertanian.

“Selain bertemu dengan peniaga, saya juga sempat bertanya mengenai harga pasaran dan jualan yang ditawarkan kepada pelanggan dan ternyata ia jauh lebih murah serta masih terkawal,” ujarnya.

Usai melawat pasar Anyar, Jokowi dan rombongan meneruskan perjalanan menuju ke Balaikota, Tangerang, lokasi tempat orang ramai beriadah serta melakukan aktiviti sihat.

Di sepanjang perjalanan dan bahu jalan, penduduk dan rakyat tidak melepaskan peluang untuk menunggu dan melambai presiden nombor satu republik Indonesia tersebut.

Pada acara tersebutlah, Jokowi mengakui bahawa dirinya bukanlah mesin. Namun begitu katanya, biar sesibuk manapun dengan pelbagai acara, beliau tetap akan mencuri masa untuk bersenam serta beriadah.

“Jelas pada masa sekarang semua orang mempunyai gajet masing-masing hingga tidak ada masa untuk melakukan aktiviti sihat bersama keluarga mahupun kenalan.

“Namun, sesibuk manapun jadual dan aktiviti saya sebagai seorang presiden dan juga bapa kepada tiga orang anak, aktiviti riadah dan sukan tetap akan saya lakukan,” ujarnya.

Seterusnya, selepas selesai makan tengah hari di salah sebuah warung, perjalanan diteruskan ke sebuah kampung di Lapangan Progi, Pagedangan, Banten.

Menurutnya, dana kerajaan Persekutuan yang diberikan untuk pembangunan infrastruktur di desa tersebut perlu digunakan secara optimal terutama bagi anak-anak muda menerusi peluang kerja yang ditawarkan.

Lokasi terakhir kunjungannya sekali gus menjadi destinasi penutup Jokowi minggu itu ialah mengunjungi Pondok Pesantren Darul Hikmah Pamulang, Tangerang. Walaupun pada saat itu hujan turun agak lebat, namun ia tidak menjadi alasan untuk kembara tidak diteruskan.

Kunjungan Jokowi selesai pada pukul 9.30 malam. Maka, hujung minggu yang seharusnya digunakan untuk istirehat pun berlalu. Sedar tidak sedar, sudah pun menjelang minggu yang baharu bagi seorang presiden.

Presiden Republik Indonesia, Joko Widodo menyeru rakyatnya untuk melakukan perubahan diri ke arah kebaikan dalam kembara bermotosikal hujung minggu di sekitar Banten bulan lalu.