Wanita Orang Asli suku kaum Bateq itu agak pemalu semasa mula-mula disapa. Dia lebih banyak melemparkan senyuman kosong selain tangannya ligat menceraikan putik pisang daripada dalam jantung pisang yang dicelur air panas.

Jelas kelihatan urat-urat di tangannya, selain gelang-gelang berwarna-warni yang dipakai di kedua-dua pergelangan tangan. Perhiasan itu kadangkala disingsingnya ke atas bagi memudahkan kerja ‘meracik-racik’ jantung pisang itu dengan tangan.

Pandangannya hanya dihalakan ke bawah sepanjang ditemu bual kira-kira setengah jam.

“Saya sudah berada di sini sejak dilahirkan kira-kira 20 tahun lalu. Dahulu kawasan Kuala Koh ini adalah hutan tebal. Walaupun cuaca siang (hari siang) masih terasa sejuk angin bukit.

“Sekarang pada waktu siang cuaca amat panas, kami membina pondok di pinggir hutan untuk berteduh. Kadang-kadang masuk lebih jauh ke dalam Hutan Simpan sebelum keluar ke kampung pada waktu malam,” ujarnya sambil tangan sibuk meramas-ramas pisang putik yang diracik tadi sehingga membentuk bulat seakan-akan bebola ikan.

Persepsi

Ina yang sudah berkahwin sejak setahun lalu dan belum dikurniakan zuriat itu memberitahu, dia sudah terbiasa dengan persepsi masyarakat luar tentang kehidupan mereka yang seolah-olah menolak kemajuan.

“Sudah secara turun-temurun lagi kami percaya bahawa kami dilahirkan hanya sebagai penjaga tanah ini dan bukan sebagai pemiliknya. Jadi kehidupan kami bergerak (separa nomad) dari satu tempat ke satu tempat.

“Malah, saya sendiri biasa bergerak dalam kumpulan kecil di dalam hutan antara Kelantan, Terengganu dan Pahang. Jadi, kami mengetahui keadaan sebenar di dalam ‘rumah’ kami ini yang semakin sempit akibat ‘kemajuan’.

“Kami diminta tinggal di penempatan sedangkan jiwa kami meronta untuk bebas berada di rumah sebenar kami,” ujarnya kecewa dengan keadaan hutan yang banyak digondolkan syarikat-syarikat pembalakan.

Putik pisang yang digumpal bulat-bulat itu kemudian diletakkan di dalam pinggan sementara dia memasak nasi untuk makan tengah hari.

Krisis kesihatan yang melanda masyarakat suku Bateq di Kampung Kuala Koh mula dikesan pada awal Jun lalu hingga mengorbankan 15 nyawa dipercayai akibat wabak measles atau demam campak.

Terdahulu pada sekitar Disember tahun lalu dan Mac tahun ini, sebilangan penduduk Orang Asli Bateq juga dilaporkan mengalami masalah penyakit kulit misteri yang bersisik dan gatal.

Suku Bateq adalah daripada puak Negrito atau Semang dan sehingga ke hari ini hanya terdapat kira-kira 1,500 yang masih tinggal dalam hutan di Taman Negara. Sikap pemalu serta cara hidup yang separa nomad menyukarkan orang luar mendekati mereka.

Kini, melalui usaha Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), sebahagian masyarakat suku Bateq sudah tinggal di rumah-rumah yang disediakan di perkampungan terancang.

Dalam pada itu, seorang wanita yang agak berusia, Kuntum Pisang, 55, berkata, meskipun dunia kini semakin moden, masyarakatnya tetap menjadikan hutan sebagai tempat sumber makanan.

“Dahulu kami memburu di hutan dan sungai. Tumbuhan hutan juga banyak yang boleh dimakan, kini keadaan berbeza apabila pembalakan memusnahkannya.

“Suku ini juga faham keperluan kerajaan yang mahu kami tinggal secara tetap di kampung ini bagi memudahkan kebajikan kami. Sejak kampung kami dilanda wabak campak ini kami mengalu-alukan serta bersedia untuk divaksinkan.

“Masyarakat bersedia menerima suntikan vaksin bagi mengelak penularan wabak ini. Penduduk menafikan kenyataan pihak tertentu bahawa kami tidak memberi kerja sama dan lari ke hutan kerana takut membuat rawatan,” ujarnya yang berkain batik merah jambu semasa ditemu bual.

Dia berharap pihak kesihatan datang secara kerap untuk membuat rawatan kerana sebelum ini pihak tersebut hanya datang membuat rawatan biasa dan memberi ubat-ubatan kepada penduduk yang sakit kira-kira sebulan sekali.

“Ibu bapa serta orang dewasa di sini bersedia memberi kerjasama dan membenarkan anak mereka yang masih kecil mengambil suntikan imunisasi itu,” katanya.

Adat

Tinjauan ke penempatan mereka di pinggir Hutan Simpan Kuala Koh itu mendapati masyarakat di situ mula menerima tempias kemajuan dengan ada anak mudanya sudah memiliki telefon bimbit serta mengisi masa lapang dengan bermain gitar.

Menurut Guru Agama Orang Asli, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik), Mohd. Fazli Mamok, suku kaum Bateq di situ masih menebal dengan kepercayaan serta adat nenek moyang mereka.

“Biarpun kebanyakan penduduk di situ beragama Islam, namun adat kepercayaan tradisional suku kaum Bateq masih diamalkan. Ini jelas dapat dilihat apabila kematian mengejut rakan dan ahli keluarga menyebabkan penduduk panik dan terkejut.

“Kebanyakan mayat penduduk telah dikebumikan secara adat di kawasan hutan berhampiran kampung termasuklah menggantungnya di atas pokok mengikut kepercayaan mereka.

“Kebiasaannya, mereka akan meletakkan mayat di satu tempat dengan jarak antara satu kilometer dari kawasan kampung. Akibat panik, mereka bertindak luar daripada kebiasaan apabila menanam mayat melebihi jarak 10 kilometer dari kampung,” katanya.

Jelasnya, mayat itu akan diletakkan di dalam kotak yang dibuat dengan buluh di bawah sebuah pondok yang dibina beratapkan daun cucuh.Terdapat juga mayat yang digantung dan diikat atas pokok selepas mereka membuat para kayu.

“Bagaimanapun terdapat penduduk suku kaum Bateq yang semakin memahami tentang agama Islam apabila mengebumikan mayat di tanah perkuburan Islam berhampiran kampung. Selaku guru agama MAIK bagi Orang Asli, saya bertanggungjawab membantu menguruskan jenazah kaum saya sendiri di Kampung Kuala Koh.

“Sudah ramai penduduk memeluk Islam, namun mereka masih kurang didikan dan memahami tuntutan agama itu. Saya sering memberi pendedahan dan menganjurkan kelas agama dua kali seminggu di Kampung Kuala Koh,” katanya.

Wabak campak yang melanda suku kaum itu telah meragut nyawa Meknab Tebu, 63; Jais Keladi, 55; Romi Hamdan, 29; Leha Hamdan, 26; Haika Rahim, 22; Poja Jong, 21; Farah Rahim, 20; Fayah Papan, 20; Safia Papan, 18; Din Hamdan, 18; Puspa Lie, 5; Nasri Rosli, 3; Mohd. Saleh Khaizan, 1; Amir Lie, 1 dan Jelik Jong yang usianya tidak dikenal pasti.

Perancangan

Sejak kejadian itu, Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) sedang menyusun pelan untuk aktiviti membersihkan 60 kediaman keluarga Orang Asli suku kaum Bateq di Kampung Kuala Koh, Pos Lebir sebaik sahaja zon merah ditamatkan.

Pengarah Jakoa Kelantan dan Terengganu, Hashim Alang Abdul Hamid berkata, selepas krisis kesihatan melanda perkampungan Orang Asli itu, pihaknya berharap penduduk suku Bateq dapat memulakan hidup baharu dengan tinggal dalam suasana yang lebih bersih dan terjamin.

“Terdapat 16 buah rumah di bawah Program Bantuan Rumah (PBR) yang dibina Jakoa di kampung itu perlu dibersihkan semula. Selain itu, terdapat 12 rumah buluh, lima rumah kayu serta ‘haya’ atau bangsal kecil yang dibina sendiri kaum itu dan perlu dibersihkan semula.

“Jakoa juga mengalu-alukan badan bukan kerajaan (NGO) dan badan sukarela lain yang berminat untuk menyertai aktiviti itu bersama-sama.

“Kita berharap mendapat kerjasama banyak pihak dalam membantu mereka memperoleh kualiti hidup lebih baik seperti masyarakat luar. Kita akan terus berusaha memberi pendedahan terutama kepentingan penjagaan kesihatan yang sering diabaikan,” katanya.

Kepercayaan masyarakat Orang Asli suku kaum Bateq bahawa mereka sekadar penjaga tanah dan bukan pemiliknya menjadikan mereka hidup separa nomad serta mahu bergerak bebas di rumah mereka yang sebenar iaitu hutan.