Selain mengunjungi masjid untuk tujuan melakukan ibadat solat dan sebagainya, kewujudan Koperasi Kariah Masjid juga dilihat mampu menjana pertumbuhan ekonomi ahli kariah. Bagi mendapatkan gambaran jelas mengenai Koperasi Kariah Masjid itu, ikuti wawancara yang dijalankan wartawan Kosmo! Ahad, MOHAMMAD SHAHEMY AZMI, dengan Presiden Angkasa, Datuk Abdul Fattah Abdullah di Saloma Bistro, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Bagaimana Angkasa dapat membantu dalam menjana ekonomi khususnya dalam masyarakat Melayu?

Abdul Fattah Abdullah: Seperti yang diketahui, Angkasa merupakan koperasi puncak yang menaungi semua jenis koperasi asas, menengah dan atasan di negara ini. Di bawah Angkasa terdapat lebih 13,000 buah koperasi berdaftar dengan 90 peratus daripada jumlah itu merupakan koperasi yang dibentuk oleh masyarakat Melayu. Untuk tugas utama, Angkasa memainkan peranan sebagai payung untuk menyatupadukan koperasi dan mewujudkan jaringan bagi merancakkan koperasi. Selain itu, Angkasa turut memainkan peranan untuk memberikan bantuan kepada pembangunan koperasi melalui tiga agensi iaitu Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Maktab Koperasi Malaysia dan Angkasa sendiri. Dalam konteks pembahagian tugas, SKM diberi tanggungjawab untuk pendaftaran koperasi, menguruskan bajet dan peruntukan kewangan yang diberikan pihak kerajaan. Maktab Koperasi Malaysia pula berperanan untuk memberi pendidikan dan latihan atau kursus kepada anggota koperasi, manakala Angkasa pula membantu merangsang dan membantu pergerakan koperasi dengan mewujudkan jaringan sama ada dalam dan luar negara.

Semua masjid di seluruh negara diseru untuk menubuhkan Koperasi Kariah Masjid bagi tujuan menambah fungsi dan mengimarahkan masjid. Boleh Datuk jelaskan perkara tersebut?

Semua sedia maklum bahawa masjid juga berperanan sebagai platform untuk menyatupadukan masyarakat selain menjadi tempat untuk beribadah. Pada zaman Rasulullah SAW, masjid memainkan banyak peranan iaitu sebagai pusat kecemerlangan, pusat pentadbiran, kehakiman, keagamaan termasuk pusat ekonomi. Seperti di Masjidilharam di kota suci Mekah, terdapat banyak kedai dan gerai dibuka di luar kawasan pekarangan masjid. Selain sebagai pusat ibadah, kota suci Mekah juga menjadi pusat perdagangan. Dalam konteks ini, masyarakat Islam perlu menjadikan masjid sebagai platform untuk menggerakkan ekonomi mereka. Secara tidak langsung, ia dapat mengukuhkan perpaduan dalam kalangan kariah setempat.

Apakah yang diharapkan melalui penubuhan Koperasi Kariah Masjid di masjid-masjid seluruh negara?

Melalui penubuhan Koperasi Kariah Masjid, kita mengharapkan masyarakat Islam boleh menggunakan koperasi sebagai tempat untuk mengumpulkan segala sumber. Sebagai contoh, ia boleh dijadikan sebagai sumber untuk mengumpul modal kerana dalam sesuatu kariah itu, komunitinya terdiri daripada pelbagai latar belakang pendidikan dan kepakaran. Secara tidak langsung, perkara tersebut dapat mengumpul kepakaran dalam kalangan ahli kariah yang pelbagai. Sebagai contoh, jika dalam kalangan kariah itu mempunyai guru, dia boleh membantu untuk membuka kelas tuisyen dan memberi manfaat kepada masyarakat. Jika terdapat doktor, sebuah koperasi yang menjalankan perniagaan kesihatan boleh dibuka di masjid untuk keperluan anggota kariah.

Bagaimana Koperasi Kariah Masjid ini boleh menjana ekonomi ahli-ahli koperasi?

Angkasa tidak memberi peruntukan kewangan kepada koperasi, namun jika perlu, kita akan aturkan mereka untuk mendapatkan kemudahan melalui Koperasi Pembiayaan Syariah Angkasa sebagai anak syarikat untuk membantu mereka. Koperasi Kariah Masjid boleh dijadikan platform untuk membantu kariah menjana pendapatan sampingan mereka melalui bantuan perniagaan. Sebagai contoh, jika seseorang itu mempunyai kemahiran menghasilkan sesuatu produk, pihak koperasi akan membeli barangan mereka untuk dipasarkan dan ia sekali gus membantu kariah tersebut dari segi pemasaran produk. Koperasi Kariah Masjid amat berpotensi menjana pendapatan dalam kalangan ahli kariah. Ia juga boleh memberi pulangan kepada masjid dalam melaksanakan program-program di masjid. Keuntungan yang diperoleh melalui koperasi akan dibahagikan sebagai dividen kepada anggota kariah yang mempunyai saham. Saya menekankan bahawa Koperasi Kariah Masjid ini sebagai satu bentuk jihad ekonomi secara berjemaah dengan membantu antara satu sama lain. Saya percaya Tuhan akan lebih merahmati dan meredai sesuatu pekerjaan itu jika digerakkan secara berjemaah berbanding secara individu.

Apakah jenis barangan atau produk yang diketengahkan melalui penubuhan Koperasi Kariah Masjid tersebut?

Pelbagai produk boleh diketengahkan bergantung kepada persekitaran komuniti yang ada di situ. Sebagai contoh seperti perkhidmatan peruncitan, hartanah, pemborongan, kesihatan, pelancongan, dialisis dan pendidikan. Semua jenis perkhidmatan ini bergerak mengikut potensi kepakaran yang ada pada seseorang ahli koperasi itu. Perkhidmatan lain yang turut boleh dijalankan adalah seperti perkhidmatan kelas mengaji al-Quran dan agama, tuisyen, tadika dan taska. Koperasi Kariah Masjid juga boleh menawarkan perkhidmatan peruncitan dengan membuka sebuah kedai runcit untuk membekalkan barangan keperluan harian kepada kariah.

Setakat ini, berapakah jumlah Koperasi Kariah Masjid yang telah ditubuhkan?

Saya menjangkakan sejumlah 500 buah Koperasi Kariah Masjid telah ditubuhkan daripada sejumlah 6,300 buah masjid di seluruh negara. Impian Angkasa untuk melihat kesemua masjid di Malaysia untuk mempunyai koperasi sendiri mungkin agak mustahil untuk dilaksanakan dalam masa terdekat ini. Bagaimanapun, kita mensasarkan sebanyak 1,000 Koperasi Kariah Masjid berjaya ditubuhkan menjelang tahun 2020. Pada masa yang sama, kita harus terus memperkasakan koperasi yang sedia ada selain memastikan koperasi yang ditubuhkan bertahan untuk masa-masa seterusnya.

Apakah cadangan atau program terkini yang telah dirangka sepanjang tahun 2017?

Terbaharu, kita telah mewujudkan Konsortium Koperasi Kariah Masjid Bhd. atau Konsormas sejak Ogos tahun lalu untuk menggabungkan Koperasi Kariah Masjid dalam menjayakan program-program pembangunan koperasi dari segi ekonomi, sosial dan budaya untuk menjana serta meningkatkan perolehan selain mewujudkan peluang-peluang pekerjaan. Beberapa projek Konsormas juga telah dijalankan melalui peruntukan sebanyak RM1 juta yang diluluskan oleh Angkasa seperti Projek Halal Mart, membekal peralatan keperluan umat Islam dan projek ternakan tenusu. Selain itu, Angkasa juga telah memperkenalkan konsep serupa di luar negara seperti di Kemboja, Indonesia dan Timor Leste dengan tujuan untuk memberi manfaat bersama. Pengenalan terhadap sistem koperasi ini diharap dapat memberi dimensi baharu terhadap negara luar termasuk dalam kalangan negara-negara bukan Islam.

Apakah harapan Datuk melalui pelaksanaan mewujudkan Koperasi Kariah Masjid ini nanti?

Jadikan Koperasi Kariah Masjid ini sebagai jihad ekonomi umat Islam yang digerakkan secara berjemaah bagi menebus maruah ekonomi umat Islam. Saya berharap penubuhan koperasi ini akan menyatupadukan ahli koperasi terutama kariah masjid dalam menyumbang pembangunan ekonomi selain turut menyatupadukan masyarakat berbilang kaum dengan mengetepikan perbezaan politik demi satu matlamat iaitu untuk memberi perkhidmatan kepada komuniti.