“Jumlah bengkel membuat kasut tempahan di Jepun telah meningkat sejak beberapa tahun lalu.

“Di Tokyo terdapat sekurang-kurangnya 40 buah bengkel membuat kasut dan jumlah tersebut mungkin melebihi 100 buah jika dikira di seluruh negara,” jelas lelaki berusia 37 tahun itu yang berkemeja dan tali leher berserta apron kerjanya.

Berdasarkan sejarah, pembuat kasut kulit telah didominasi oleh pembuat dari Eropah. Namun, kemasukan artis seni dari Jepun telah menawarkan bentuk kasut yang lebih mewah sejak awal tahun 2000. Ia mula mengambil alih operasi perusahaan membuat kasut tempatan.

Fukuda sendiri turut memiliki bengkel yang terletak di kawasan Ometesando di Tokyo. Sebuah tangga yang sempit perlu dilalui sebelum tiba di ruang kerja milik Fukuda yang dipenuhi dengan bau kulit dan gam.

Tiada sebarang mesin di ruang tersebut. Kesemua kasut di bengkel Fukuda dihasilkan menggunakan tangan sepenuhnya. Daripada mengukur saiz kaki pelanggan sehinggalah kepada operasi memasarkan kasut yang telah siap.

Kualiti

“Setiap sepasang kasut mengambil masa antara 120 hingga 140 jam untuk disiapkan. Setiap tahun, kami mampu menghasilkan kira-kira 80 pasang kasut,” kata Fukuda.

Jelas beliau, dia tidak mahu terburu-buru menyiapkan kasut dalam jumlah yang banyak kerana kualiti adalah lebih penting bagi memenuhi kepuasan pelanggan.

Dia juga boleh dianggap bertuah apabila kebanyakan pelanggannya tidak menggesanya menyiapkan kasut yang ditempah pada kadar segera.

Malah, mereka juga sanggup membayar sejumlah wang yang tinggi untuk mendapatkan kasut terompah yang berkualiti tinggi iaitu kira-kira AS$4,200 (RM17,249) sepasang.

Tetapi, mengapa kasut tempahan khas dari Jepun yang menjadi pilihan? Mari Yamaguchi, tenaga pengajar berkaitan perdagangan di sekolah swasta di kawasan Harajuku, Tokyo memberitahu, kasut tempahan khas buatan Jepun mempunyai roh rakyat negara itu sendiri.

Di sekolah Yamaguchi, berpuluh pelajar muda berkumpul di ruang kerja di sebuah bengkel sambil mendengar mengenai taklimat pengeluaran kasut.

“Kaki merupakan anggota badan yang sangat istimewa. Setiap kaki adalah unik seperti setiap kepingan kulit. Apabila menghasilkan kasut tempahan buatan tangan, cabaran paling utama ialah bagi menghasilkan produk yang sempurna.

Mungkin masyarakat Jepun kerap memikirkan tentang kasut melebihi budaya-budaya lain kerana ia merupakan alat yang kerap digunakan setiap hari,” kata guru yang berusia 43 tahun itu.

Tidak seperti sekarang, masyarakat Jepun dahulu terpaksa mengembara untuk menunjukkan kemahiran mereka dan memperbaikinya.

Reputasi

Kata penerbit sebuah blog berkaitan pembuatan kasut dari Sweden, Jesper Ingevaldsson, orang Jepun telah membangunkan reputasi yang baik bagi industri kasut. Kini, perantis dari Eropah mula memandang ke Timur untuk mempelajari cara pemasaran yang berkesan.

Di bengkel milik Fukuda, terdapat lima perantis muda berada di satu ruang kerja yang turut menempatkan sebuah permainan catur yang dipercayai dihasilkan pada tahun 1920.

Seorang pelatih yang menyertai program tersebut menggunakan masa yang ada untuk membawa kreativiti minda masyarakat negara.

Clemene-Rochad, 27, merupakan perantis yang berasal dari Perancis. Dia telah menghasilkan sepasang kasut kulit buatan tangan separuh kulit dan separuh lagi diperbuat daripada kain kimono berbunga yang ditemuinya di Tokyo.

“Di Kyoto, tiada seorang pun yang pernah terfikir untuk melakukan kasut dengan rekaan unik seperti itu,” kata Fukuda. – AFP