Di sebalik arus pembangunan yang kian pesat, tersembunyi suatu khazanah alam yang amat berharga iaitu industri pembuatan dan eksport arang kayu bakau.

Perusahaan pembuatan arang kayu bakau di Kuala Sepetang telah menjadi sumber pendapatan utama penduduknya sejak 1930-an lagi.

Tradisi itu tidak menghairankan kerana pesisiran perkampungan nelayan itu dikelilingi 40,711 hektar hutan paya bakau.

Setelah hampir lapan dekad, arang kayu bakau Kuala Sepetang dianggap antara yang terbaik di Asia. Malah, ia masih mendapat permintaan yang tinggi hingga ke pasaran antarabangsa.

Kegunaan arang kayu bakau yang semakin mendapat permintaan di negara ini bagaikan membawa tuah kepada seorang peniaga dan juga pembekal, Mohd. Khairol Awang @ Ramli, 42, yang mampu menjana pendapatan lumayan.

“Setiap bulan saya bersama empat rakan mampu menjana pendapatan RM20,000. Arang kayu bakau ini mendapat permintaan yang tinggi di Lembah Klang, Kelantan, Terengganu dan Pahang.

“Kita memerlukan sebanyak 50 tan bekalan arang kayu bakau sebulan untuk dipasarkan kepada pelanggan,” ujarnya yang berasal dari Subang Jaya, Selangor.

Jadi, saya akan melakukan tempahan satu bulan lebih awal daripada Muhammad Isyraf Mohd. Nor yang merupakan pengusaha arang kayu bakau, Syarikat Aromatic Avenue Sdn. Bhd. (Aromatic Avenue) di Kuala Sepetang.

Pemuda yang berusia 23 tahun itu berkata, dia mula menceburi bidang itu selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Tasik, Taiping, Perak dengan membantu perniagaan yang dirintis oleh bapanya, Mohd. Nor Ahmad, 56, pada tahun 2009.

“Saya mendalami perusahaan arang kayu bakau ini kerana ia berpotensi besar pada masa depan.

“Pada awalnya, saya bekerja sebagai pekerja biasa bagi mengenali selok-belok perusahaan daripada awal proses pengambilan kayu bakau sehinggalah menjadi arang,” katanya ketika ditemui K2 di Taiping, Perak baru-baru ini.

Permintaan tinggi

Jelasnya, ia merupakan latihan yang penting buat dirinya untuk memahami situasi pekerja dari bawah sehingga ke peringkat pengurusan organisasi.

Dia yang juga merupakan Pengarah Eksekutif, Aromatic Avenue berkata, arang amat penting terutamanya dalam bidang kosmetik, perubatan serta pertanian sejak tiga tahun kebelakangan ini.

“Kita mendapat permintaan yang tinggi terutama dari luar negara seperti Jepun dan Korea Selatan.

“Bagaimanapun, pengeluaran arang kayu bakau perlu mematuhi sistem kuota yang ditetapkan Jabatan Perhutanan Perak sejak Rizab Hutan Matang di pantai utara Perak diwartakan sebagai Hutan Simpan pada tahun 1908.

Muhammad Isyraf berkata, jabatan yang menguruskan hutan paya bakau berkenaan sejak 1902 itu menetapkan setiap pelesen kayu arang hanya dibenarkan untuk menebang kira-kira 0.023 kilometer persegi (km²) pokok bakau bagi setiap dapur yang dimiliki.

Bagi kilangnya, dia dibenarkan menebang kayu bakau di beberapa tempat di sekitar Matang, Kuala Sepetang, Selinsing dan Terong.

Katanya, sejurus diteroka, Jabatan Perhutanan juga akan melakukan penanaman semula anak pokok bakau di kawasan terbabit dan ia tidak boleh diganggu.

Pokok itu perlu dibiarkan membesar secara semula jadi dalam tempoh tiga tahun.

Menurutnya, menerusi rancangan tiga tahun itu, Jabatan Perhutanan Perak telah membahagikan kawasan hutan paya bakau berkenaan kepada tiga kawasan iaitu Kuala Sepetang, Kuala Trong dan Sungai Kerang.

“Kalau tidak disebabkan kuota yang ditetapkan jabatan perhutanan itu, mungkin banyak lagi pokok bakau yang akan ditebang setiap tahun demi memenuhi permintaan terutama dari luar negara.

“Tapi kami faham peraturan itu adalah bagi memastikan kitaran hutan paya bakau terbabit terpelihara. Berniaga, berniaga juga tapi alam sekitar kena dijaga,” tegasnya.

Ujarnya, permintaan kayu arang dari luar negara agak tinggi terutama dari Jepun dan Korea Selatan dan harganya secara pukal boleh mencecah sehingga RM3,000 setan.

Hampir 70 peratus daripada pengeluaran arang kayu bakau di Kuala Sepetang diimport ke dua negara Asia Timur itu, manakala selebihnya untuk pasaran tempatan.

Misalnya di Jepun, dengan teknologi yang lebih moden dan canggih, kayu arang dikomersialkan secara meluas dalam pelbagai industri lain.

“Antaranya sebagai salah satu bahan yang digunakan untuk penghasilan ubat gigi, sabun dan alat kosmetik.

Kapasiti pengeluaran

“Saya juga difahamkan ada antara produk berkenaan yang menggunakan arang kayu bakau dari Kuala Sepetang diimport kembali ke negara ini,” jelasnya memiliki Diploma Keusahawanan daripada University for International and European Studies, Belanda.

Menurutnya, syarikatnya mempunyai sembilan lesen pengusaha di bawahnya dengan sebanyak 27 relau atau dapur di mana setiap satu lesen mempunyai tiga dapur yang dibenarkan oleh Jabatan Perhutanan Perak untuk memproses kayu bakau sebagai arang di kawasan seluas 0.60km².

“Setiap satu dapur boleh menghasilkan 11,000 kilogram (kg) sehingga 12,000kg arang yang telah dibakar selama 30 hari.

“Kapisiti pengeluaran yang mampu kita hasilkan adalah sebanyak 250 tan sebulan bersamaan 3,000 tan setahun di Kuala Sepetang,” ujarnya yang berasal dari Taiping.

Salah seorang pekerja kilang arang kayu bakau terbabit, Nurul Ilyani Mohd. Azhar, 35, menerangkan, bukan semua spesies bakau sesuai dijadikan kayu arang.

Dia yang berpengalaman hampir lapan tahun berkata, hanya pokok bakau daripada jenis minyak (Rhiziphora apiculata) dan kurap (Rhizophara mucronata) sahaja boleh digunakan manakala yang lain kurang sesuai.

Proses pembakaran kayu bakau di dalam dapur atau relau dibahagikan kepada tiga peringkat dan memakan masa antara 30 hingga 40 hari.

Ia bukan mudah seperti mengambil ranting kayu dan dibakar sehingga menjadi arang sepertimana kita biasa buat untuk membakar ayam dan sebagainya.

Bukan mudah

Untuk peringkat pertama proses pembakaran api dimulakan dengan menyalakan kayu api dengan suhu antara 100 hingga 120 darjah Celsius selama 10 hari. Pada peringkat ini, kandungan kelembapan dan air di dalam kayu akan diasingkan dengan teliti.

Peringkat kedua pula, suhu dinaikkan sehingga 250 darjah Celsius selama 14 hari sebelum dapur berbentuk iglu itu ditutup sepenuhnya selama lapan hingga sembilan hari lagi untuk proses penyejukan.

Di sepanjang tempoh itu atau peringkat ketiga, proses penyejukan merupakan masa paling kritikal dan perlu dikawal rapi bagi memastikan arang di dalam relau tidak terbakar menjadi abu.

Memasak arang bukan suatu kerja yang mudah kerana pembakaran perlu dikawal 24 jam sehari bagi memastikan tiada kebocoran pada dinding relau.

Sekiranya terdapat kebocoran, kayu yang ada sebanyak 12 tan di dalam relau boleh terbakar hingga menjejaskan kualiti kayu arang tersebut iaitu arang yang dihasilkan akan menjadi terlalu masak dan ringan.

Justeru, pemantauan yang teliti bagi setiap peringkat amat penting kerana sedikit kesilapan boleh menyebabkan relau terbakar dan runtuh.

Sekiranya perkara tersebut berlaku, pihak syarikat terpaksa menanggung kerugian sehingga RM50,000 bagi satu relau.

Selain pembakaran di relau yang memakan masa yang panjang, kerja-kerja mengangkut kayu bakau merentasi laut dan sungai dari tapak penebangan ke kilang arang juga merupakan antara tugas yang mencabar.

Tambah Nurul Ilyani yang juga merupakan Eksekutif Operasi, biasanya hanya pokok bakau yang berukuran lilit lapan inci ke atas dipilih untuk ditebang.

Sesudah ditebang, batang pokok tadi dibelah menjadi keratan kecil sepanjang kira-kira empat meter setiap satu.

Ia kemudian dibawa ke kilang dengan menggunakan tongkang dan selepas itu batang kayu bakau disiat kulitnya.

Kayu bakau tersebut akan dimasukkan secara menegak ke dalam dapur tanah liat dan bata berbentuk iglu yang mempunyai diameter 6.7 meter.

Tambahnya, setiap dapur boleh memuatkan kira-kira 1,200 hingga 1,400 batang kayu bakau seberat 40 tan kayu bakau pada satu-satu masa.

Setelah hampir lapan dekad, arang kayu bakau Kuala Sepetang dianggap antara terbaik di Asia. Aromatic Avenue Sdn. Bhd. antara pengusaha yang mengeskport arang ke luar negara seperti Jepun dan Korea Selatan.