“Saya agak gementar tetapi dalam masa yang sama sudah tentu saya gembira.

“Saya tidak rasa yang generasi muda tahu cara memasak dan memakan daging paus lagi. Saya mahu lebih ramai masyarakat yang merasaikan keenakan makanan ini sekurang-kurang sekali seumur hidup,” kata Hideki Abe, pemburu ikan paus dari Ishinomaki kepada AFP sebelum kapalnya berlepas.

Para nelayan di Jepun sudah bersiap sedia untuk kembali belayar bagi memburu ikan paus secara komersial untuk kali pertama selepas lebih tiga dekad tidak melakukan aktiviti berkenaan.

Lima buah kapal nelayan meninggalkan Kushiro di utara Jepun pada awal pagi Isnin lalu. Pada masa yang sama, tiga buah kapal penangkap ikan paus meninggalkan Shimonoseki di selatan-barat Jepun.

Kuota

Paus pertama berjaya dibawa ke darat dua jam kemudian iaitu dua paus kelabu jenis minke. Salah satu daripada dua ekor paus itu memiliki lebih daripada lapan meter panjang.

Kedua-dua haiwan laut itu dibawa naik ke atas trak untuk diletakkan di dalam sebuah gudang yang menjadi tempat pengumpulan paus bagi melalui proses pembersihan sebelum meraikan kejayaan penangkapan haiwan mamalia berkenaan.

“Mulai hari ini saya mahu para penangkap paus menangkap haiwan itu mengikut kuota yang telah ditetapkan untuk kebaikan kebangkitan semula industri ikan paus,” kata Menteri Perikanan, Takamori Yoshikawa pada majlis pelepasan kapal di Shimonoseki, lapor agensi berita Kyodo.

Menurut kerajaan Jepun, aktiviti menangkap ikan paus komersial hanya akan dilakukan di perairannya dan di zon ekonomi eksklusif mengikut kuota dan kaedah yang diguna pakai Suruhanjaya Ikan Paus Antarabangsa (IWC).

Kementerian perikanan telah menetapkan had penangkapan paus iaitu 52 ekor jenis minke, 150 Bryde dan 25 sei yang kesemuanya berjumlah 227 ekor setahun.

Pada Disember tahun lalu, Jepun telah memutuskan untuk menarik diri daripada menyertai IWC selepas mencuba kali terkahir untuk meyakinkan suruhanjaya itu bagi membenarkan mereka menangkap paus dengan kuota tertentu.

IWC ditubuhkan pada tahun 1946 bagi memulihara dan menguruskan populasi ikan paus di seluruh dunia.

Pemburuan ikan paus secara komersial diharamkan oleh IWC pada 1986 selepas beberapa spesies haiwan berkenaan diancam kepupusan.

Jepun yang mula menganggotai IWC sejak 1951 memaklumkan bahawa keputusan itu dibuat sebagai menghormati budaya negaranya yang mengamalkan makan daging ikan paus.

Negara-negara yang melakukan pemburuan terhadap paus seperti Jepun, Norway dan Iceland menganggap penyertaan mereka di dalam IWC adalah bersifat sementara sehingga semua negara boleh bersetuju dengan kuota penangkapan paus ditetapkan namun sebaliknya, ia menjadi larangan kekal.

Sejak tahun 1987, Jepun telah membunuh antara 200 hingga 1,200 paus setiap tahun di bawah pengecualian larangan bagi tujuan penyelidikan saintifik.

Namun, para pengkritik mengatakan aktiviti itu hanyalah untuk menutupi kegiatan Jepun yang memburu paus untuk dimakan kerana ikan paus yang dibunuh untuk penyelidikan biasanya akan berakhir di meja makan.

Kuota penangkapan tahun lalu yang dikatakan untuk program saintifik dan pengumpulan data telah membawa kepada penangkapan 333 ikan paus dan menurut laporan IWC, 122 daripadanya adalah ikan paus bunting.

Lapor agensi berita Xinhua, pemburuan paus telah mencetuskan kritikan pihak antiikan paus dan kumpulan alam sekitar

Budaya

Menurut data kerajaan, sejak pemburuan ikan paus disekat, masyarakat Jepun dikatakan telah kehilangan selera makan.

Penggunaan domestik daging ikan paus adalah kira-kira 200,000 tan metrik setahun pada tahun 1960-an.

Ia merupakan sumber protein penting tetapi telah merosot hingga kurang daripada 5,000 tan metrik setiap tahun dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Di negara Matahari Terbit ini, memakan ikan paus disifatkan sebagai budaya tempatan lazim sungguhpun ikan itu diancam kepupusan.

Daging paus yang dilapah digunakan bagi memenuhi permintaan restoran dan sumber minyak bagi kegunaan baja, lampu dan sabun.

Harga satu hidangan ikan paus bermula AS$40 (RM165).

Justeru, tidak hairanlah Jepun pernah dilabelkan sebagai negara pembunuh paus dunia.

Sungguhpun dikritik hebat seluruh dunia, wakil rasmi Jepun dalam kenyataannya kepada BBC News membidas kembali dengan menyatakan bahawa aktiviti memburu paus adalah budaya yang telah wujud sejak sekian lama di negara berkenaan dan mereka tidak memerlukan orang asing untuk menyatakan apa yang boleh dan tidak boleh mereka makan.

Pemilik restoran makanan Jepun di Minamiboso yang terletak di timur Tokyo, Ichihara, 42, berkata, sama ada daging paus mentah dihiris, digoreng atau direbus itu adalah sebahagian daripada cara masyarakat Jepun menikmati ikan paus.

Nutrien

Ibu mertuanya, Yachiyo pula berkata, daging paus adalah makanan yang ideal dimakan oleh semua golongan termasuklah kanak-kanak.

Daging paus dipercayai mampu meningkatkan nutrien penting dalam tubuh manusia.

Maka, tidak hairanlah apabila banyak sekolah menghidangkan makanan tengah hari daripada sumber isi ikan paus.

Malah, cara itu juga dikatakan sebagai mengajar anak-anak apa yang orang terdahulu makan.

Kata ahli lembaga Pendidikan Yamaguchi, untuk menjadikannya lebih menarik, daging ikan paus biasanya dijadikan nuget goreng dan boleh dimakan dengan sos soya-halia.

Kini, kata Ichihara akan lebih ramai masyarakat dapat menikmati ikan paus di rumah.

“Saya bimbang jika kami tidak boleh memakan ikan paus di Jepun tetapi sejak berita ini diterima, saya tidak bimbang lagi,” katanya yang turut menyediakan susyi berasaskan sotong dan hidupan laut lain.

Pada Disember tahun lalu, Jepun telah memutuskan untuk menarik diri daripada menyertai IWC selepas mencuba kali terakhir untuk meyakinkan suruhanjaya itu bagi membenarkan mereka menangkap paus dengan kuota tertentu.