Menurut statistik ter­sebut, lima negeri mencatatkan kes kehamilan remaja ter­tinggi iaitu Sabah de­ngan 3,084 kes diikuti Sarawak (2,910), Selangor (1,461), Johor (1,319) dan Pahang 940 kes.

Ia menunjukkan bahawa masalah sosial dalam kalangan remaja di negara ini begitu parah sekali seolah-olah pelbagai langkah yang diambil langsung tidak memberikan kesan.

Lebih menyedihkan, Malaysia dikejutkan dengan pasangan remaja yang tidak bertanggungjawab bertindak cuba menjual bayi kembar luar nikah mereka pada harga RM15,000 menerusi laman web jual beli terkemuka.

Gadis yang dipercayai bekas pelajar tahfiz berusia 20 tahun dan pasangannya yang berumur 18 tahun difahamkan berbuat demikian semata-mata kerana wang.

Kedua-dua remaja tersebut dikatakan tidak mampu menjaga sepasang bayi lelaki berusia empat bulan selain mahu lari daripada tanggungjawab.

Dalam sekelip mata, iklan tersebut menjadi tular menerusi media sosial dan mencetuskan pelbagai reaksi netizen.

Seorang pengguna media sosial, Nur Azura Roslan, 25, berkata, tindakan pasangan remaja terbabit melampaui batas kemanusiaan. Ia menunjukkan bahawa keruntuhan moral dalam kalangan remaja begitu membimbangkan.

“Saya beranggapan pasangan ini tidak dapat berfikir dengan waras dan terlalu tamak. Mereka sanggup menjual bayi yang tidak berdosa semata-mata untuk mendapatkan wang dengan mudah sedangkan mampu bekerja.

Tegas

“Ia melampaui batas kemanusiaan dan fenomena ini seharusnya tidak dipandang ringan kerana memberi impak negatif terhadap institusi kekeluargaan di negara ini,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Dalam pada itu, Nur Azura mengakui, kerajaan perlu lebih bertegas membanteras masalah sosial yang berlaku bagi mengelakkan kes jual beli anak berterusan.

Sementara itu, Pengarah Pusat Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr. Fauziah Mohd. Saad berkata, tindakan pasangan remaja terbabit menjual bayi kembar mereka adalah tidak wajar.

“Tindakan ini benar-benar di luar nilai kemanusiaan. Terma ‘jual’ tidak sesuai dengan manusia kerana itu bertentangan dengan norma-norma sejagat.

“Sekiranya barang kita boleh gunakan terma jual tetapi ini manusia. Ia amat bertentangan dengan hak-hak asasi yang kita perjuangkan selama ini,” jelasnya.

Fauziah berkata, pasangan remaja berkenaan tidak menghadapi masalah psikologi sebaliknya terjebak dalam kesusahan hidup sehingga sanggup menjual bayi kembar mereka.

“Ia tidak berkait rapat dengan masalah psikologi sebaliknya mereka mungkin menghadapi tekanan kewangan yang begitu serius sehingga mengambil keputusan yang begitu drastik semata-mata untuk mendapatkan wang.

“Mereka tahu hukum- hakam agama tetapi tidak mempraktikkannya dalam kehidupan sehingga menghasilkan anak luar nikah,” katanya lagi.

Bagaimanapun, Fauziah mencadangkan supaya pasangan tersebut mendapat sesi kaunseling secara berkala bagi memastikan mereka benar-benar insaf. Malah menurut Fauziah, ibu bapa memainkan peranan penting dalam mengawal dan memantau pergerakan anak-anak mereka supaya tidak terjebak dalam pergaulan bebas.

Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, wujudnya permintaan masyarakat terhadap anak-anak kecil tanpa mengira status menyebabkan kes jual beli bayi terus berlaku.

“Sekiranya tiada permintaan, perkara sebegini tidak akan berlaku. Oleh itu, perubahan perlu bermula daripada masyarakat itu sendiri terlebih dahulu,” ujarnya.

Emosi

Tambah Mohammad Shatar, remaja yang terdedah dengan perkembangan teknologi menyumbang kepada faktor kebebasan bersosial sehingga pada akhirnya melahirkan anak luar nikah.

Jelas Mohammad Shatar, anak-anak luar nikah akan menerima kesan terutamanya dari segi psikologi.

“Emosi mereka tidak akan stabil apabila menerima cacian dan penghinaan orang sekeliling. Keadaan ini secara tidak langsung akan mempengaruhi perwatakan mereka.

Justeru, menurut Mohammad Shatar, pendidikan agama memainkan peranan penting dalam membentuk akhlak remaja supaya sentiasa kembali kepada fitrah asal mereka.

“Undang-undang sedia ada sebenarnya sudah mencukupi sekiranya semua pihak berganding bahu membantu pihak berkuasa untuk segera bertindak terhadap mereka yang terbabit dalam jual beli bayi termasuklah membanteras pembuangan bayi yang semakin membimbangkan,” katanya.