Disebabkan itu, tidak hairanlah jika lelaki berasal dari Epirus, Greece berusia 64 tahun itu mengakui telah berjaya mengunjungi 195 buah negara sepanjang mengabdikan diri sebagai pengembara solo kira-kira 40 tahun lalu.

Menariknya, Bizas tidak mengunjungi kesemua negara tersebut hanya sekali, sebaliknya dia akan mengunjungi setiap negara itu lebih daripada dua kali.

Menceritakan lebih lanjut mengenai pengembaraannya, kata Bizas, minatnya untuk mengembara mula berputik ketika berumur 22 tahun.

“Pada waktu itu, saya merupakan seorang pelajar di salah sebuah universiti di London. Ketika cuti semester, saya menghabiskan masa untuk melakukan pengembaraan secara solo kerana ia dilihat begitu mencabar.

“Tempat pertama saya lawati ialah Bulgaria dan Turki sebelum meneruskan pengembaraan ke negara-negara berhampiran.

“Biarpun dalam keadaan kewangan yang terhad dan terpaksa tidur di kaki lima, namun saya seronok apabila berpeluang melihat keindahan alam semula jadi di negara orang,” jelasnya.

Pengembaraan kedua

Menurut Bizas lagi, disebabkan terlalu kemaruk untuk mengembara, dia mengambil keputusan untuk berhenti belajar.

“Saya kemudian meneruskan pengembaraan ke seluruh negara Asia selama dua bulan.

“Apabila keadaan kewangan mula meruncing, saya mengambil upah membuat kerja-kerja biasa di negara-negara yang dilawati sebelum meneruskan pengembaraan ke tempat lain,” jelasnya lagi.

Ujar lelaki itu lagi, dia turut melawat negara Asia Barat yang bergolak.

Biarpun begitu, sekitar pertengahan tahun 1980-an, dia menyedari perlu mencari pekerjaan yang membolehkannya melancong setiap hari tanpa perlu memikirkan masalah kewangan.

Dia kemudian dilantik menjadi ketua pemandu pelancong di sebuah agensi pelancongan. Keadaan tersebut menyebabkan Bizas semakin galak merancang pengembaraan ke negara-negara yang ingin dilawati bersama kumpulan pelancong lain.

Menurut Bizas lagi, menjelang tahun 2004, dia telah melawat seluruh 195 negara dan Timor Leste adalah destinasi terakhir.

“Saya merupakan salah seorang daripada individu yang berjaya mengunjungi Kutub Utara dan Kutub Selatan.

“Sejak hampir 40 tahun lalu, saya mengembara selama 300 hari setahun sementara 56 hari yang lain saya berehat di rumah,” jelasnya.

Budaya tradisi

Sebaik selesai melawat kesemua negara tersebut, Bizas terfikir untuk menghasilkan sebuah buku berkisarkan pengalaman pengembaraannya.

Bagaimanapun, dia mengambil keputusan untuk meneruskan pengembaraan dan melawat tempat-tempat yang pernah dikunjungi untuk kali kedua.

“Ketika melancong kali kedua, saya mengutamakan lokasi-lokasi yang menonjolkan kepelbagaian tradisi dan keindahan alam semula jadinya.

“Setakat ini saya begitu terpesona dengan keindahan Ethiopia dan gemar merakam gambar di Himba yang terletak di Namibia,” jelas Bizas yang telah pergi ke Kepulauan Solomon sebanyak empat kali.

Ternyata, Bizas begitu ketagih untuk melakukan pengembaraan apabila dia telah menyusun jadualnya untuk melawati beberapa buah negara lain iaitu Cape Verde, Maghribi, Kepulauan Bissagos di Guinea-Bissau dan Mexico sehingga tahun 2020.

“Sebenarnya sukar untuk saya membuat pilihan kerana kesemua negara mempunyai keunikan tersendiri dan kalau boleh mahu menetap di situ.

“Biarpun begitu, jika saya terpaksa memilih satu negara sahaja, saya rasakan Rusia merupakan negara yang terindah. Saya suka budaya dan bahasa yang digunakan mereka.

“Saya juga dapat membayangkan penghijrahan ke negara tersebut suatu hari nanti,” jelasnya.

Lelaki berusia 64 tahun mengabdikan diri sebagai pengembara kerana ingin mendekati keindahan alam semula jadi yang tersembunyi di serata dunia.