Entah apa silapnya, Khairi (bukan nama sebenar), 31, tiba-tiba jatuh sakit sejak setahun lalu sehingga tubuhnya kini diibaratkan seperti mayat hidup.

Matanya yang cengkung dengan tubuh badan yang kurus kering cukup menggambarkan derita yang terpaksa ditanggung lelaki itu gara-gara perbuatan khianat terkena ilmu hitam atau sihir.

“Mungkin sekarang dia (pelaku) boleh ketawa puas selepas impiannya untuk melihat saya menderita telah berjaya,” kata Khairi yang enggan mendedahkan siapa individu yang tidak berperikemanusiaan itu.

Mengimbas kembali keadaan sebelum dia jatuh sakit, Khairi yang bekerja sebagai eksekutif jualan di salah sebuah syarikat swasta di Kuala Lumpur itu menjalani kehidupan sama seperti individu lain.

Bahkan, kehidupannya yang dikelilingi ramai kawan membuatkan dia sentiasa gembira tanpa sebarang masalah besar. Ini kerana, sifatnya yang mesra dan disenangi membuatkan Khairi mudah didekati oleh rakan-rakannya.

Sakit perut

Ketika masih sihat, Khairi sama seperti kebanyakan pemuda kota lain yang begitu menitikberatkan soal menjaga penampilan.

Berbekalkan raut wajah yang tampan dengan susuk tubuh kekar membuatkan pemuda itu bukan sahaja dikenali dalam kalangan rakan di alam nyata, bahkan di laman sosial.

Bagaimanapun, menurut Khairi, pada suatu malam dia telah mengalami rasa sakit pada perut hingga membuatkan dia tidak boleh tidur. Bahkan, rasa sakit perut yang dialaminya terasa seperti dicucuk dengan jarum hingga tidak berdaya untuk berdiri.

“Doktor hanya memberitahu rasa sakit perut itu mungkin disebabkan terdapat ulser di dalam perut dan telah diberi ubat,” katanya.

Begitu pun, rasa sakit pada perut yang dirasai masih berlarutan selepas seminggu sehingga memaksa Khairi berjumpa dengan doktor sekali lagi untuk membuat pemeriksaan terperinci.

Ternyata, pemeriksaan lanjut yang dijalankan juga gagal menemui punca yang menyebabkan Khairi mengalami sakit perut, sebaliknya doktor memaklumkan bahawa lelaki itu sihat sahaja.

Hari berganti hari. Penyakit misteri yang dideritai pemuda itu menyebabkan dia hilang selera makan sehingga mengakibatkan berat badannya susut dengan mendadak.

Meronta kepanasan

Keadaan kesihatannya yang semakin merosot menyebabkan pemuda itu telah dibawa pulang ke kampung atas bantuan seorang rakannya.

Ternyata, masalah kesihatan yang membelenggu Khairi memberi kesan kepada keluarga terutama ibunya yang juga merupakan seorang ibu tunggal.

“Sebagai anak sulung, saya memegang tanggungjawab untuk menyara keluarga dan kini saya terlantar seolah-olah tidak lagi berguna,” ujar pemuda itu sayu.

Semasa di kampung, pelbagai ikhtiar telah dilakukan termasuk berubat secara tradisional, namun tidak berhasil.

Berdasarkan apa yang diberitahu oleh pengamal perubatan, Khairi dimaklumkan telah terkena ilmu sihir oleh seseorang yang dengki terhadapnya.

Andaian itu semakin kuat apabila ada waktunya, Khairi akan meracau-racau dan meronta kepanasan walaupun ketika itu suasana di kelilingnya sejuk.

Ada waktu tertentu, Khairi juga akan berasa sangat lapar dan akan makan dengan banyak. Namun ia tidak mengubah bentuk tubuhnya yang semakin susut.

Sampai satu tahap, Khairi sudah tidak berdaya lagi untuk menanggung derita yang dialaminya. Sudah banyak wang ringgit dihabiskan untuk berubat, tetapi hasilnya tetap sama.

Jika difikirkan, Khairi tidak tahu silap atau mungkin tidak sedar kelakuannya selama ini telah mengundang rasa kurang senang individu lain.

“Saya tidak menyimpan dendam kepada pihak yang telah membuat saya begini memandangkan kami saling mengenali.

“Dia tidak perlu meminta maaf dengan saya sebaliknya perlu meminta keampunan daripada Allah,” jelas Khairi yang berharap dirinya kembali pulih.

Kehidupan Khairi tidak ubah seperti mayat hidup selepas dia jatuh sakit akibat terkena ilmu hitam yang dihantar oleh seorang kenalan tanpa sebab yang diketahui.