Itulah bait-bait puisi bertajuk Senyum yang ditulis di dalam senaskhah buku kumpulan puisi berjudul Mimpi di Patagonia.

Kumpulan puisi yang terkandung dalam buku tersebut adalah hasil karya sasterawan dan pejuang bahasa Dr. Lim Swee Tin.

Kefasihan Swee Tin dalam berbahasa Melayu bukanlah sesuatu yang asing walaupun dia tidak mempunyai darah keturunan Melayu.

Dilahirkan pada tanggal 26 September 1952 di Kampung Balai, Bachok, Kelantan, Swee Tin adalah anak kacukan Cina dan Thai.

Bapanya, Lim Swee Poh berasal dari Fujien, China, manakala ibunya, Hut Anak Peremuan Ehdi adalah berketurunan Thai yang sudah menetap di Kelantan sejak beberapa generasi.

“Saya dibesarkan dalam suasana sungguh harmoni di kampung yang mempunyai penduduk daripada pelbagai bangsa. Penerimaan orang Melayu terhadap keluarga kami baik sekali dan kami turut berjiran dengan orang Melayu.

“Ayah saya mempunyai nama Melayu dan di kampung orang memanggilnya dengan nama Yusof. Saya juga turut mempunyai nama Melayu dan dikenali sebagai Hassan,” katanya ketika ditemui K2 di Taman Rekreasi Air Putrajaya baru-baru ini.

Tambahnya, dia juga sering makan dan tidur di rumah ibu angkat kepada emaknya yang juga merupakan orang Melayu.

Jelas Swee Tin, beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Tawang yang terletak kira-kira satu kilometer dari rumahnya.

Ceritanya, untuk sampai ke sekolah, dia perlu melalui kawasan berpaya dan kubur tentera Jepun.

“Ayah saya seorang yang memandang ke hadapan. Pada ketika itu, ada juga sekolah Cina tetapi ayah tetap menghantar saya mendapatkan pendidikan di sekolah Melayu.

“Ayah menjelaskan, dia sengaja memilih untuk saya dihantar ke sekolah Melayu. Baginya, negara ini adalah negara Melayu dan bahasa Melayu akan digunakan dan dia hendak saya menguasai bahasa Melayu dengan baik,” katanya yang merupakan anak ketiga daripada tujuh beradik.

Kali pertama

Kecintaan Swee Tin yang akan menjangkau usia 67 tahun beberapa hari lagi terhadap bahasa Melayu bermula ketika beliau darjah lima setelah berpindah ke Sekolah Kebangsaan Machang.

Di sekolah baharunya itu terdapat sebuah perpustakaan dan beliau sering ke situ untuk membaca.

Sewaktu di perpustakaan sekolah tersebut, beliau telah membaca sebuah buku yang mempunyai pantun.

“Apabila kali pertama membaca pantun, saya mula menggemarinya. Saya boleh katakan pantun adalah kegilaan pertama saya terhadap kesusasteraan Melayu.

“Saya rasa pantun itu sesuatu yang sangat indah. Dengan hanya empat rangkap sahaja ia telah mengupas isi hati penulis secara tepat dan mendalam. Sejak daripada itu saya mula mengarang pantun secara suka-suka,” jelasnya.

Dalam pada itu, perasaan untuk mendalami kesusasteraan Melayu semakin menebal setelah melanjutkan pelajaran ke Sekolah Menengah Kebangsaan Machang.

Pada waktu itu, Swee Tin didedahkan dengan karya-karya Sasterawan Negara, Usman Awang di dalam buku teks.

“Sajak-sajak yang dihasilkan Usman Awang begitu dekat dengan jiwa saya. Ada dua perkara yang terkesan di hati saya ketika membaca sajak-sajak tulisannya.

“Pertama, saya nak jadi terkenal seperti Usman Awang dengan menghasilkan karya-karya yang hebat. Kedua, saya membayangkan bahawa dengan menjadi pengarang sepertinya, karya-karya saya akan dibukukan dan dibaca oleh murid-murid seperti mana yang saya lakukan ketika itu,” katanya yang merupakan bapa kepada tiga cahaya mata.

Tambahnya, pengaruh Usman Awang juga menjadi titik tolak untuk dia terlibat secara serius dalam bidang kesusasteraan.

Setelah tamat pengajian peringkat menengah, Swee Tin ditawarkan untuk mengikuti pengajian tingkatan enam di Sekolah Menengah Sultan Abdul Halim di Jitra, Kedah.

Bagaimanapun, atas faktor kewangan, beliau terpaksa menolak tawaran itu sebaliknya memilih untuk menyambung pengajian di Sekolah Menengah Sultan Ismail Petra di Kota Bharu, Kelantan, namun tidak menamatkan pengajiannya.

Kepuasan

Beliau kemudian menjadi guru sementara di Kelantan selama setahun setengah.

Pada tahun 1972, beliau mendapat tawaran untuk masuk ke Maktab Perguruan Persekutuan Pulau Pinang dan bidang yang diambilnya adalah pengajian Melayu dan Matematik.

Setelah tamat pengajian di maktab pada tahun 1974, beliau kemudiannya pulang ke Kelantan untuk mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Yahya Petra.

Ketika berada di maktab, beliau aktif menulis dan pada tanggal 14 Oktober 1973, hasil karyanya yang berjudul Seorang Anak Kecil telah disiar di akhbar Mingguan Malaysia.

“Saya gembira apabila hasil karya disiarkan dan selepas itu saya semakin aktif menulis.

“Pada waktu itu, saya perlu menghantar surat kepada Utusan bagi membolehkan karya saya disiarkan. Apabila ia disiarkan, ia memberi satu kepuasan yang tersendiri kepada saya,” katanya.

Galian Swee Tin untuk mendalami bahasa Melayu tidak terhenti di situ. Pada tahun 1988 hingga 1992, beliau telah melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Pengajaran Bahasa Malaysia sebagai bahasa pertama di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, Selangor.

Bagi Swee Tin, untuk mendalami ilmu adalah sepanjang hayat dan pada tahun 1996 sehingga 1999, beliau melanjutkan pengajian di UPM bagi mendapatkan Ijazah Sarjana dalam bidang Kesusasteraan Melayu sebelum ditawarkan untuk menjadi pensyarah di situ.

Pada waktu yang sama, ketika menjadi pensyarah, Swee Tin menyambung pengajiannya ke peringkat Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang yang sama.

Sementara itu, ketika diminta mengulas buku pertama yang dihasilkannya olehnya, Swee Tin menjelaskan, EVA adalah buku pertama yang diterbitkannya.

Naskhah itu diterbitkan pada tahun 1981 dan karya yang dicetak didalamya lebih kepada koleksi sajak.

Sepanjang terlibat dalam bidang tersebut, Swee Tin telah menghasilkan lebih daripada 88 buah buku.

Antara karyanya termasuklah Akrab, Menyusur Musim, Seorang Anak Kecil, Masih dan banyak lagi.

Anugerah

Dalam pada itu, sepanjang terlibat dalam bidang kesusasteraan, Swee Tin telah mendapat beberapa anugerah.

Antara anugerah yang diperolehnya adalah Anugerah Puisi Putra II pada tahun 1983, Hadiah Sastera (2002), S.E.A Write Award (2000) yang merupakan penghargaan tertinggi bidang kesusasteraan di Asia Tenggara oleh Kerajaan Diraja Thailand dan banyak lagi.

Jelas Swee Tin, isterinya Selina Lee banyak memberi sokongan terhadapnya sepanjang terlibat dalam memartabatkan kesusasteraan Melayu.

Selain kesusasteraan, Swee Tin juga amat meminati bidang budaya.

Beliau sendiri ada menulis buku tentang budaya menora dan dikir barat.

“Penulisan berkaitan budaya seperti ini harus dibukukan agar ia terus kekal.

“Sekiranya ia tidak dibukukan, saya pasti kesenian budaya ini akan hilang begitu sahaja jika tidak ada yang memperjuangkannya,” katanya.

Swee Tin sendiri mempunyai kemahiran untuk mementaskan persembahan menora.

Tegasnya, sejak kecil lagi dia sudah didedahkan dengan persembahan menora.

“Keluarga saya merupakan antara pengamal persembahan menora di Kelantan. Sejak kecil saya belajar untuk melakukan persembahan ini.

“Saya juga telah mempersembahkan persembahan menora di Pasar Seni dan Pusat Pelancongan Malaysia (Matic), Kuala Lumpur untuk tontonan pelancong,” jelasnya.

Keunikan dan kehalusan bahasa Melayu mendorong
Dr. Lim Swee Tin mendalami bidang kesusasteraan Melayu.