Bagi Laura Tuominen, pengalaman menyelam yang tidak dapat dilupai adalah bukannya di Laut Merah atau Carribbean tetapi ketika berkesempatan menyelam menyelusuri gua bawah air di Budapest, Hungary.

Jika diikutkan sebelum ini, ibu kota Hungary itu lebih terkenal di seluruh dunia dengan spa dan mandian air panas.

Sejak kebelakangan ini, kebanyakan pengunjung, terutamanya peminat sukan air lebih tertarik untuk mengunjungi gua Janos Molnar.

Ditemui pada abad ke-19 oleh seorang ahli farmasi berasal dari Hungary, gua tersebut memiliki pemandangan cukup indah dikelilingi air membiru yang sangat jernih.

Memiliki kepanjangan kira-kira tujuh kilometer, gua yang sebelum ini hanya untuk ekspedisi saintifik telah dibuka kepada orang awam khususnya penyelam berkelayakan pada tahun 2015.

“Kami seperti berada di bawah Budapest. Ia pengalaman yang sangat luar biasa dan mengujakan,” ceria suara Tuominen, 39 tahun ketika bercerita mengenai pengalamannya menyelam di gua Janos Molnar.

Dia merupakan salah seorang daripada sekumpulan penggemar aktiviti menyelam yang menjadikan Janos Molnar sebagai lokasi wajib jika berkunjung ke Hungary.

Memakai sut penyelam lengkap dengan tangki silinder gas di belakang sebagai sokongan pernafasan, kumpulan Tuominen yang dianggotai empat lagi penyelam turut dibantu oleh sekumpulan anggota pusat menyelam Hungary bagi mengelak sebarang risiko berlaku.

“Ia adalah satu-satunya gua bawah air di Budapest yang bukan sahaja dibuka kepada penyelam, malah turut menjadi tumpuan ahli pengkaji gua.

“Terletak di lokasi bandar dan kawasan peranginan, kewujudan Janos Molnar memang sangat istimewa dan jarang ditemui di tempat lain,” kata Attila Hosszu yang membuat kajian semenjak dibuka kepada orang ramai.

Pedalaman

Tambah Hosszu, memandangkan gua itu terletak di kawasan bandar, ia menjadikan perjalanan pengunjung lebih mudah memandangkan mereka tidak perlu mengangkat peralatan jauh ke pedalaman semata-mata untuk menyelam seperti gua-gua lain.

Menurut laman web rasmi Janos Molnar, gua itu telah terbentuk beribu-ribu tahun lalu. Dipercayai Budapest pernah berdepan dengan gempa bumi yang teruk hingga mengakibatkan berlaku perubahan geologi pada permukaan atas dan bawah tanah kawasan tersebut.

“Anda boleh melihat stalaktit dan stalagmit yang indah di gua-gua Mexico tetapi ia mungkin mengambil masa beberapa hari hanya untuk tiba di sana.

“Namun, jika anda menghadapi kekangan masa dan bercadang untuk menelusuri gua dalam masa satu hari, gua Janos Molnar adalah destinasi terbaik untuk anda,” tutur Irina Litvinenko, 38, seorang pengunjung dari Rusia.

Sementara itu, seorang pemandu kumpulan penyelam, Zoltan Bauer berkata, kebanyakan pengunjung adalah dalam kalangan penyelam amatur yang berhasrat untuk melihat landskap bawah laut yang menakjubkan itu.

“Yang pasti, hanya terdapat beberapa hidupan laut yang tinggal di bawah gua ini dan tidak sama dengan pemandangan laut yang dikelilingi ikan berwarna-warni.

“Oleh itu, pengunjung yang datang bukan semata-mata berhasrat untuk melihat keindahan seperti dalam laut, sebaliknya berminat untuk menyelami keadaan dan bentuk dalaman gua yang unik,” katanya yang telah bertugas di Janos Molnar sejak hari awal pembukaan.

Meneroka

Bersetuju dengan Bauer, Letvinenko berkata, aktiviti di dalam gua bukan sekadar berkisar tentang pemandangan indah semata-mata, sebaliknya ia mampu memberi pengalaman meneroka gua yang sangat luar biasa.

“Sebelum ini, menyelam di dalam gua dianggap sukar dan hanya disertai oleh golongan yang gemarkan aktiviti lasak memandangkan lokasi gua kebanyakannya jauh.

“Namun, apabila saya berpeluang memasuki Janos Molnar, barulah saya tahu bahawa berada di dalamnya mampu mencipta ketenangan yang luar biasa. Mungkin, berada di dalam gua bukan suatu kebiasaan bagi sesetengah orang,” katanya.

Demi memelihara ekosistem gua dan kawasan sekitarnya, pihak pengurusan Janos Molnar telah mengehadkan bilangan penyelam kepada hanya 30 orang sehari.

Selain itu, pemeliharaan turut dilakukan melalui caj yang dikenakan antara 60 hingga 140 euro (RM190-RM665) mengikut kadar kedalaman yang dipilih.

Katanya, buat masa ini, mereka menetapkan had masa maksimum 150 minit bagi setiap penyelam. Namun, perbincangan sedang dilakukan untuk menghentikan had masa tersebut. – AFP