Hasil imbasan pada otak individu yang kurang tidur didapati, bahagian minda yang menggalakkan interaksi sosialnya tertutup selain cenderung menjauhi orang lain kerana berasa seperti terancam.

Kajian yang dilakukan oleh dua saintis tidur dari University of California, Berkeley, Amerika Syarikat itu disiarkan dalam jurnal Nature Communications baru-baru ini.

Bahkan, lebih menarik lagi kajian oleh Eti Ben Simon dan Matthew Walker itu mendapati, individu yang tidak mendapat tidur secukupnya mencetuskan aura penolakan oleh orang lain dan boleh menjangkitkan rasa kesepiannya itu kepada orang lain.

Ini menjadikan individu yang kurang tidur berpotensi berasa sepi yang mencengkam apabila bukan sahaja dek rasa terasing yang tercetus dalam dirinya akibat kurang tidur bahkan orang lain juga enggan menghampirinya.

Lebih buruk lagi, ia mampu membentuk jaringan antisosial dalam masyarakat.

 

Kurang bersosial

“Kurang tidur menyebabkan anda kurang kemahuan untuk bersosial. Di sisi yang lain, orang sekitar pula bagai mempunyai penolakan terhadap anda. Ia sekali gus menghimpit lagi rasa keterasingan impak daripada kekurangan tidur.

“Kitaran ini mungkin merupakan penyumbang signifikan kepada faktor krisis kesihatan awam iaitu perasaan keseorangan,” kata Walker.

Kajian tersebut dilakukan dengan menggunakan pengimejan otak pengimejan resonans magnet kefungsian (fMRI), simulasi video dan aplikasi online.

Pengkaji telah melakukan kajian terhadap 18 individu yang sebahagiannya kurang tidur.

Apabila individu kurang tidur ditunjukkan dengan klip video seseorang cuba berjalan menghampirinya, mereka akan menghentikan video ketika kedudukan orang itu 18 hingga 60 peratus lebih jauh berbanding mereka yang mendapat tidur secukupnya.

Untuk menilai reaksi awam terhadap individu kurang tidur pula, menerusi aplikasi online, lebih 1,000 orang dipertontonkan dengan klip video individu-individu kurang tidur yang berjalan menghampiri mereka tanpa menyedari mereka itu kurang tidur.

Masyarakat awam itu kemudian dikehendaki memberikan skala tahap kesepian individu terbabit dan kemahuan mereka untuk bersosial dengan individu-individu itu. Hasilnya, golongan ini dikesan sebagai orang yang sepi dan tidak tertarik untuk didekati.

Untuk melihat sejauh mana rasa kesepian itu berjangkit pula, pengkaji meminta pemerhati-pemerhati itu meletakkan kadar kesepian mereka sendiri selepas melihat individu-individu itu. Hasilnya, mengejutkan apabila pemerhati-pemerhati yang sihat itu turut dirundung rasa sepi hanya dengan menonton klip video mereka selama 60 saat.

“Masalah ini secara keseluruhannya tidak terjadi jika anda mendapat tidur malam yang mencukupi iaitu tujuh hingga sembilan jam tetapi ia akan berlaku jika anda tidak cukup tidur,” ujarnya.

 

Emosi negatif

Mengulas mengenai kajian itu, pakar psikiatri daripada kumpulan doktor media sosial MedTweetMY, Dr. Ahmad Rostam Md. Zin berkata, masalah kekurangan tidur atau tidur kurang berkualiti sememangnya berkait rapat dengan banyak masalah kesihatan mental seperti kemurungan, bipolar dan sebagainya.

“Kurang tidur juga merundung simptom-simptom mood dan emosi yang lain. Jadi, tidak hairanlah kalau kurang tidur mengakibatkan anda kurang mahu bersosial,” katanya ketika dihubungi.

Mengenai rasa kesepian individu kurang tidur boleh menjangkiti orang lain, Rostam tidak menolak hal itu memandangkan mood atau emosi negatif sememangnya boleh berjangkit.

“Konsepnya sama seperti melihat orang menguap. Kajian sosial menunjukkan ia boleh menjangkiti orang lain walaupun tidak secara kekal. Apabila kita keluar daripada situasi itu, mood akan kembali seperti biasa,” katanya.

Bagi mendapatkan tidur yang mencukupi, Rostam menyarankan amalan hygiene sleep.

Antara amalan itu ialah menghindari kafein sebelum tidur serta memelihara sirkulasi berjaga-tidur dengan membiasakan terdedah kepada suasana terang pada waktu siang dan bergelap pada waktu malam.