Saban hari, serangan demi serangan yang dilancarkan menguatkan lagi rasa fobia terhadap orang Islam dan ia menekan umat Islam apabila berdepan dengan masyarakat.

Menggunakan jihad sebagai umpan, kumpulan itu bukan hanya memenangi hati orang dewasa untuk menyertai mereka tetapi turut memikat remaja belasan tahun.

Pada 6 November lalu, Kosmo! melaporkan, seorang pelajar lelaki tingkatan enam sebuah sekolah di Pasir Puteh, Kelantan yang ditahan kerana dipercayai terlibat dalam rancangan melancarkan serangan ke atas pesta arak di Solaris Damansara, Kuala Lumpur baru-baru ini dikatakan turut berhajat untuk berjihad di Syria dan Filipina selepas tamat persekolahan.

Pengganas

Satu sumber memberitahu, remaja berkenaan mula berjinak dengan kumpulan pengganas sejak berusia 12 tahun melalui internet.

Tertuduh turut melakukan uji kaji bagi mencipta bom untuk tujuan serangan tersebut.

Muhamad Hafizi Mat Jusoh, 19, yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia itu mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki dua butir bom buatan sendiri.

Menurut pendakwah bertauliah, Ustaz Muhammad Abdullah al-Amin, jihad boleh berbentuk apa sahaja dan bukannya berperang semata-mata.

"Antara bentuk jihad yang boleh dilakukan ialah membangunkan pendidikan, ekonomi dan kesenian bagi tujuan mengagungkan Allah SWT.

"Ulama-ulama dahulu berjihad dengan membawa ilmu bagi memberi manfaat kepada manusia. Sebagai contoh, Ibnu Sina tokoh ilmuan perubatan dan al-Khawarizmi pakar dalam bidang matematik," katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Tambah Muhammad Abdullah, mereka yang berfikiran sempit sahaja merasakan peperangan sebagai jalan jihad utama, sedangkan Islam sukakan kedamaian dan kesejahteraan sejagat.



KOMUNIKASI bersama anak-anak penting untuk mengetahui kecenderungan mereka. - Gambar hiasan

Mengulas mengenai pahala berjihad, beliau memberitahu, setiap langkah kita Allah akan memberikan ganjaran kebaikan.

Terangnya lagi, salah tafsir al-Quran dan hadis dengan mengambil huraian tidak lengkap boleh menjerumuskan diri kepada jihad yang terpesong.

Justeru, beliau menasihatkan orang ramai agar mendapatkan pandangan ulama muktabar (ulama yang dikenali) untuk mendapatkan penjelasan dalam apa jua perkara berkaitan Islam.

"Kita perlu belajar agama dengan guru bertauliah betul dan ulama diiktiraf bagi mengelakkan fahaman ekstrem atau terpesong daripada ajaran Islam sebenar.

"Siasat latar belakang guru sama ada bertauliah atau tidak bagi melayakkannya mengajar serta memberi ceramah," jelasnya.

Komunikasi

Sementara itu, Pensyarah Program Pembangunan Sumber Manusia, Fakulti Sains Kognitif dan Pembangunan Manusia, Universiti Malaysia Sarawak, Prof. Madya Dr. Zaiton Hassan berkata, usia remaja merupakan waktu yang seseorang ingin mencuba pelbagai perkara tanpa menghiraukan risiko.

"Pada usia ini mereka (remaja) sangat bertenaga, bermotivasi tinggi dan mudah terpengaruh tetapi dek kerana pemikiran yang masih belum matang, kurangnya ilmu serta pengalaman menyebabkan terjerumus ke arah keburukan.

"Oleh itu, kumpulan-kumpulan pengganas ini lebih tertarik kepada remaja untuk mempengaruhi mereka agar menyertai perjuangan atas nama jihad.

"Apabila sudah berada di dalam kumpulan tersebut, sudah menjadi terlalu obses dan membina dinding untuk tidak menerima sebarang nasihat, malah berasa lebih berani kerana merasakan Tuhan ada bersama mereka," terangnya.

Sehubungan itu, keluarga dan orang terdekat memainkan peranan penting untuk bertanyakan khabar serta melihat perubahan perilaku remaja.

Tutur Zaiton, komunikasi dalam keluarga itu penting kerana dengan bertanyakan khabar atau berbincang mengenai sesuatu perkara akan menyerlah kecenderungan terhadap sesuatu.

Ibu bapa perlu melihat perkembangan anak dan bersembang dengan mereka tentang aktiviti yang sedang dilakukan.