Kejayaan menempatkan diri dalam kelompok lapan pasukan terbaik pada kejohanan itu sudah membuktikan betapa Malaysia juga mampu menyaingi pasukan-pasukan handalan di rantau Asia.

Lebih manis, kejayaan itu telah membuka mata ramai pihak betapa kelibat skuad muda negara kini mula diintai scouting atau ejen pencari bakat kelab-kelab di luar negara.

Nama-nama seperti Safawi Rasid, Adam Nor Azlin, Irfan Zakaria, Nor Azam Abdul Azih, Akhyar Rashid, Syazwan Andik Ishak, Matthew Davies, Dominic Tan, Danial Amier Norhisham, Haziq Nadzli dan beberapa lagi pemain muda negara semakin mendapat perhatian.

Bagi dua tonggak skuad B-23 negara, Dominic Tan dan Muhammad Syameer Kutty, kedua-dua pemain itu ternyata lebih beruntung apabila dapat menimba pengalaman di luar negara sejurus tugasan mereka berakhir di China.

Pada penghujung bulan lalu, kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) melepaskan Dominic dan Syameer menyertai kelab Portugal, Vilaverdense FC secara pinjaman selama setahun. Penghijrahan itu pastinya mampu memberi impak positif apabila mereka kembali ke pangkuan JDT.

Mungkin kini sudah tiba masanya lebih ramai pemain muda negara berkelana ke luar negara. Mereka harus lebih berani mencuba nasib beraksi dengan kelab-kelab profesional di luar negara.

Jika tidak di Eropah, beraksi bersama kelab-kelab terkemuka Asia sudah mencukupi kerana langkah tersebut mampu meningkatkan keyakinan terhadap karier mereka selaku pemain profesional.

Selain dapat membantu mereka lebih berdaya saing serta meningkatkan prestasi permainan masing-masing, penghijrahan pemain muda negara dilihat dapat meningkatkan lagi kualiti Liga Malaysia (Liga M) pada masa akan datang.

Bagi bekas penyerang berbisa negara, Akmal Rizal Ahmad Rakhli, beliau melihat senario tersebut sebagai sesuatu yang cukup positif demi karier seseorang pemain itu.

“Pemain muda negara harus berani menyahut cabaran jika diberi peluang untuk mewakili kelab di luar negara. Ia merupakan tiket untuk mereka melebarkan sayap sebagai seorang pemain profesional.

“Secara peribadi, saya berpendapat pengalaman beraksi dengan kelab luar secara tidak langsung dapat meningkatkan mutu dan kualiti permainan seseorang pemain,” katanya kepada Rembat Kosmo! baru-baru ini.

Sebagai antara pemain yang pernah berkelana ke luar negara, Akmal Rizal ternyata memiliki pengalaman luas apabila dapat menimba ilmu ketika menjalani latihan bersama kelab Perancis, RC Strasbourg sebelum dipinjamkan ke FCSR Haguenau pada tahun 2000 hingga 2001.

Bagaimanapun, Akmal Rizal berkata, pemain muda negara harus lebih berhati-hati dan menyiasat dahulu latar belakang kelab luar negara sebelum membuat keputusan untuk berhijrah.

“Kita juga perlu lihat struktur sesebuah kelab itu, apa kedudukan mereka dalam liga dan seterusnya kemudahan yang dimiliki. Kalau kemudahan lebih teruk... buat apa dia pergi.

“Perkara itu menjadi elemen pertama yang perlu diambil berat oleh pemain yang mendapat tawaran ataupun yang telah bersetuju untuk mengikat kontrak dengan kelab baharu mereka.

“Kelab yang bakal disertai perlulah sekurang-kurangnya mantap dari segi kemudahan dan fasiliti termasuk sistem latihan selain aspek teknikal dan kejurulatihan yang baik, kontrak, bayaran (gaji) pemain dan lain-lain,” kata Akmal yang pernah menyarung jersi Kedah, Selangor, Kelantan, Perak dan Sarawak.

Menurutnya lagi, Jepun, Korea Selatan dan China selain Thailand seharusnya menjadi destinasi pilihan buat barisan pemain muda negara jika mendapat tawaran beraksi bersama kelab luar negara.

“Pemain perlu lihat kelab mana yang mahukan mereka. Jika kelab itu bagus, pemain tidak harus lepaskan peluang itu dan kita semua pasti gembira jika ada pemain tempatan beraksi di liga lebih tinggi.

“Elakkan untuk mewakili kelab yang kurang memuaskan dari segi fasiliti dan perkara-perkara utama lain seperti kelab Vietnam dan Indonesia kerana liga tempatan jauh lebih baik,” jelasnya yang mewakili skuad kebangsaan dari tahun 2001 hingga 2008.

Senada dengan Akmal Rizal ialah seorang lagi bekas penyerang kebangsaan, Rudie Ramli yang pernah mendapat pendedahan menjalani latihan bersama kelab gergasi Jerman, Bayern Munich ketika usianya baru mencecah 17 tahun.

“Pada pandangan saya, peluang dan ruang terbuka yang diberikan untuk beraksi dengan kelab luar negara perlulah diambil kerana ia memberikan nilai tambah kepada pemain itu sendiri.

“Bukan itu sahaja, ia juga baik buat pasukan negeri dan kebangsaan kerana apa yang dipelajari dan diperoleh ketika bersama kelab luar negara dapat diadaptasi apabila pemain itu kembali ke Malaysia,” katanya yang pernah mewakili kelab Jerman, SV Wehen pada 2001.

Ditanya adakah sindrom homesick menyebabkan ada pemain enggan berkelana ke luar negara, Rudie berkata, perkara tersebut tidak berlaku dalam kalangan para pemain negara.

“Mungkin ada beberapa pihak yang tidak tahu apa masalah yang dihadapi pemain apabila mereka beraksi di luar negara sehingga menyebabkan ramai yang menganggap pemain kita terlalu manja dan homesick,” katanya.

Rudie turut memberitahu, mutu dan kualiti Liga M ketika ini semakin mengalami transformasi sejak Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menerajui Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

“Apa yang saya lihat, sejak FAM diambil alih oleh TMJ, banyak perubahan berlaku dari peringkat umur hingga skuad kebangsaan.

“Liga kita sendiri pun menjadi lebih baik dengan kehadiran pemain import bagi kuota Asia dan Asiaa Tenggara, ditambah dengan pemain import yg lain.

“Kita juga boleh berbangga dengan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) yang dapat bersaing pada perlawanan kelayakan Liga Juara-Juara Asia (ACL), di situ saya nampak kualiti liga kita semakin bertambah baik,” katanya.

Selain Akmal Rizal dan Rudie, beberapa pemain negara yang pernah menabur bakti di bumi asing termasuklah Lim Teong Kim (Hertha Berlin), Muhammad Juzaili Samion (FCSR Haguenau), Mohd. Fadzli Saari (SV Wehen) dan Safee Sali (Pelita Jaya),

Dalam pada itu, legenda bola sepak negara, Khalid Ali mempunyai pandangannya tersendiri ketika diminta mengulas mengenai penghijrahan pemain muda ke luar negara.

“Saya melihat masalah sikap merupakan antara punca utama ketiadaan pemain negara yang mahu berhijrah ke liga luar negara. Sikap mereka yang enggan keluar dari zon selesa menjadi sebab mereka tidak mahu mengembangkan bakat meskipun memperoleh peluang.

“Masalah tidak selesa dengan liga luar negara ini sudah lama berlaku. Berdasarkan pemerhatian, pemain negara terlalu selesa dengan kehidupan di Malaysia kerana ada keluarga dan rakan-rakan di sini.

“Sekiranya berhijrah ke luar negara, mungkin mereka terpaksa kembali semula ke perkara asas apabila perlu belajar banyak perkara baharu seperti bahasa negara-negara tertentu,” katanya.

Khalid berkata, bagi meningkatkan lagi kualiti permainan pemain negara, FAM disarankan ‘mengimport’ kumpulan kejurulatihan teknikal dari luar negara seperti Sepanyol.

“Mengapa saya katakan demikian adalah kerana inisiatif itu akan lebih terarah kepada latihan dan pembangunan yang lebih menyeluruh kepada pemain-pemain tempatan.

“Bukan semua pemain diberi peluang untuk beraksi di luar negara. Menerusi kaedah itu, ia bukan sahaja dapat memberikan peluang terbuka dan berterusan kepada pemain muda, malah ia juga boleh menjimatkan kos untuk menghantar pemain menjalani latihan di luar negara,” ujarnya.

Barisan pemain muda negara harus berani keluar dari zon selesa demi pertingkat kualiti, prestasi permainan