Pada awalnya, dia beranggapan akan bekerja dalam bidang yang berkaitan dengan penyenggaraan kenderaan bermotor sebaik menamatkan pengajian kelak.
Bagaimanapun, persepsi itu berubah selepas beberapa bulan menuntut ilmu di peringkat diploma di Kolej Automotif Antarabangsa (ICAM).
Ternyata, ICAM yang kini dinaiktaraf sebagai Universiti Automotif Malaysia DRB-Hicom (DHU) sangat berbeza berbanding kolej-kolej kemahiran yang lain.
“Mula-mula dahulu, saya berbelah bahagi untuk menyambung pelajaran dalam bidang kejuruteraan automotif. 
“Pada anggapan saya, saya akan bekerja sebagai mekanik atau seumpamanya sebaik menamatkan pengajian nanti.
“Namun, ayah meyakinkan saya bahawa peluang pekerjaan lebih terjamin jika kita belajar di sebuah universiti yang ada pengkhususan tertentu.
“Tambahan pula, universiti ini milik DRB-Hicom yang sememangnya sudah dikenali dalam bidang automotif di dalam dan di luar negara,” kata anak kedua daripada tiga adik-beradik kelahiran Kuantan, Pahang itu.
Kini, Nurfariza Hanim tidak teragak-agak untuk menyambung pelajaran di peringkat ijazah. 
Pelajar semester pertama Ijazah Pentadbiran Perniagaan (Kepujian) Pengurusan Rantaian Bekalan, Fakulti Perniagaan itu memberitahu, kaedah pengajaran dan pembelajaran di universiti tersebut lebih sistematik serta efisien. 
Misalnya, fokus para pelajar jurusan perniagaan tidak hanya terarah kepada penjualan automotif tetapi meliputi pelbagai aspek seperti logistik dan teknikal.
Situasi itu meningkatkan tahap kebolehpasaran graduan, sekali gus menjamin masa depan mereka sebaik menamatkan pengajian kelak.
Pada Februari 2016, ICAM melakar sejarah tersendiri apabila secara rasminya bertukar status menjadi DHU.
DHU dirasmikan oleh Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah manakala anakandanya, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah menjadi Canselor pertama universiti itu.
Ia ditubuhkan tepat pada masanya untuk memenuhi keperluan pendidikan yang lebih tinggi dalam bidang teknikal seperti kejuruteraan automotif berbanding kejuruteraan mekanikal, elektrik dan elektronik. 
Kini, DHU berdiri teguh dan memberi kesan yang besar, sekali gus membantu para pelajar mendapat banyak manfaat dalam kerjaya.
Ditubuhkan pada April 2010, ICAM bermula dengan tiga program diploma di kampus sementara di Pekan yang terkenal sebagai Bandar Diraja itu.

Berkembang pantas

Institusi pendidikan dan latihan itu diwujud bagi melahirkan tenaga kerja mahir serta pakar yang merangkumi seluruh rantaian bekalan industri automotif.
Selain pengajaran teori di dalam kelas, pelajar turut menjalani latihan praktikal supaya mereka terdedah kepada amalan kerja industri automotif dan boleh memasuki pasaran pekerjaan tanpa perlu menjalani banyak latihan tambahan.
DHU berkembang pantas dengan menawarkan sembilan program diploma dan tiga program ijazah serta terbaharu, Sekolah Siswazah yang menawarkan program Sarjana serta Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang kejuruteraan teknologi serta pengurusan.
Seorang lagi pelajar tahun pertama Ijazah Pentadbiran Perniagaan (Kepujian) Pengurusan Rantaian Bekalan, Fakulti Perniagaan, Muhammad Sufi Syahmi Zaili, 20, berkata, minat yang mendalam dalam bidang automotif menjadi pendorong untuk dia melanjutkan pelajaran di universiti itu.
“Saya memang meminati bidang automotif. 
“Bagaimanapun, saya memilih untuk belajar dalam jurusan perniagaan berbanding kejuruteraan kerana melihat peluang pekerjaan yang lebih meluas.
“Tambahan pula, DRB-Hicom memang sudah terkenal dengan kecemerlangan mereka dalam bidang industri automotif di dalam dan di luar negara.
“Mereka mempunyai banyak syarikat subsidiari dan menjalin kerjasama yang baik dengan beberapa syarikat gergasi swasta. Jadi, sudah tentu peluang kami untuk mendapatkan pekerjaan lebih terbuka.
“Jadi, saya tidak perlu terlalu memikirkan tentang perkara itu. Apa yang perlu saya lakukan ialah belajar bersungguh-sungguh agar mendapat keputusan yang cemerlang,” kata anak keenam daripada tujuh adik-beradik yang berasal dari Kuala Lumpur itu.
Sementara itu, Pensyarah Kewangan dan Perbankan Islam, Fakulti Perniagaan dan Pengurusan, Noor Faezah Basary berkata, melahirkan pelajar berkemahiran tinggi yang memenuhi keperluan pihak industri merupakan cabaran utama bagi golongan pendidik.
Namun, ia bukan satu masalah besar kerana mereka mempunyai kaedah terbaik untuk memastikan setiap pelajar mendapat pendidikan yang sepatutnya.
“Kebanyakan pelajar di universiti ini berasal dari kawasan luar bandar dan mempunyai taraf pendidikan yang sederhana. 
“Sudah tentu mereka menghadapi sedikit kelemahan kerana bahasa Inggeris menjadi bahasa pengantar dalam sesi pengajaran dan pembelajaran.
“Penguasaan berbahasa Inggeris juga sangat penting kerana bahasa ini menjadi medium komunikasi dalam bidang automotif.

Kelas intensif

“Bagaimanapun, kami bekerja keras untuk memastikan semua pelajar dapat menguasai bahasa ini, sekali gus memahami subjek yang diajar seperti mengadakan kelas intensif untuk pelajar-pelajar lemah,” katanya.
Noor Faezah menambah, pelajar DHU mempunyai masa depan yang cerah kerana mereka seakan-akan sudah dijanjikan peluang pekerjaan sebaik menamatkan pengajian kelak.
Selain berpeluang mengisi kekosongan tempat di semua syarikat subsidiari DRB-Hicom, mereka juga boleh bekerja dengan syarikat-syarikat automotif gergasi yang lain.
“Sebagai sebuah universiti swasta, sudah tentu kos pengajian sedikit tinggi. Namun, para pelajar ditawarkan biasiswa dan jaminan kerja.
“Ini antara kelebihan pelajar DHU berbanding pelajar di universiti lain,” katanya.
Dalam pada itu, Timbalan Dekan, Fakulti Perniagaan (Operasi dan Teknologi Maklumat), Samsudin Shafii berkata, program yang ditawarkan DHU bukan dibuat secara ‘tangkap muat’.
“Kami membuat kajian yang mendalam dan mendapatkan pandangan serta nasihat daripada pihak industri sebelum sesuatu program itu ditawarkan.
“Ia bersifat holistik untuk memenuhi standard dan piawaian yang ditetapkan oleh pihak industri. 
“DRB-Hicom sendiri mempunyai banyak anak syarikat yang berkaitan dengan bidang automotif terutamanya Perusahaan Otomobil Nasional Sdn. Bhd. (Proton),” katanya.
Samsudin menambah, pelajar dibekalkan dengan ilmu yang berguna untuk menceburi bidang keusahawanan selain bekerja dengan syarikat-syarikat automotif negara.
Bagaimanapun, mereka perlu berani untuk mencuba dan mengetahui kaedah-kaedah yang betul berbekalkan ilmu yang diperoleh semasa menuntut di universiti.