Keadaan itu sama sekali tidak menghalang Kenny Li untuk bersama ratusan penumpang lain beratur menunggu bas ke Zhuhai, China.

Lelaki separuh abad itu ingin ke Zhuhai semata-mata untuk menikmati makanan tengah hari bersama rakan-rakannya.

“Saya merupakan antara orang pertama yang membeli tiket bas ini. Saya membeli tiket ini sejak tiga hari lalu pada harga HK$120 (RM64).

“Saya sudah tidak sabar lagi untuk menjelajah Zhuhai sambil menikmati hidangan tengah hari di sana,” katanya ketika ditemu bual agensi berita Hong Kong baru-baru.

Kenny merupakan salah seorang daripada ratusan orang terawal yang berpeluang menelusuri jambatan Hong Kong-Zhuhai-Macau (HKZM) dengan bas.

Dibuka secara rasmi pada 24 Oktober lalu oleh Presiden China, Xi Jinping, jambatan HKZM merupakan jabatan laut terpanjang di dunia dengan jarak sejauh 55 kilometer (km).

Jambatan berkenaan menghubungkan Pulau Lantau, Hong Kong ke Zhuhai dan Macau, merentasi perairan Delta Sungai Mutiara.

Pembukaan HKZM dapat mengurangkan jarak perjalanan darat dari Hong Kong ke Zhuhai sejauh 200km dengan masa perjalanan empat jam ke 55km (30 minit).

Buat masa ini, bas merupakan pengangkutan terbaik untuk mengembara merentasi jambatan bernilai AS$20 bilion (RM83 bilion) itu.

Ini kerana kenderaan persendirian yang ingin menggunakan HKZM perlu memohon permit khas dengan pelbagai kriteria ketat.

Seorang penumpang lain, YW Cheung memaklumkan, dia dan isteri sangat teruja dapat melancong ke Zhuhai dan Macau pada hari yang sama.

“Kami merancang makan di Zhuhai terlebih dahulu sebelum bergerak ke kawasan perjudian di Macau pada sebelah petang,” ujarnya.

Meskipun mengalami beberapa masalah semasa proses pembinaan seperti kelewatan, rasuah, kematian pekerja dan peningkatan kos, namun jambatan HKZM berjaya disiapkan dengan sempurna.

Jambatan HKZM dibina dengan gabungan 400,000 tan keluli yang mampu menahan gempa bumi sekuat lapan magnitud, ribut taufan dan kapal kargo.

Ia juga dilengkapi terowong dasar laut sepanjang 6.7km dengan kedalaman 40 meter bagi mudahkan kapal-kapal besar melalui Delta Sungai Mutiara.

Terowong dasar laut

Menariknya, terowong tersebut terletak di antara dua pulau buatan yang masing-masing berkeluasan 100,000 meter persegi.

Menurut laporan kejuruteraan Wired, para jurutera terpaksa menggunakan 100 keluli silinder bagi membina terowong dasar laut serta bertan-tan pasir untuk membentuk pulau.

“Tanpa terowong ini, kami perlu membina tiang jambatan lebih tinggi bagi memudahkan kapal-kapal besar lalu-lalang.

“Langkah ini dikhuatiri akan melebih had ketinggian ditetapkan kerana ia terletak berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong,” terang Wired.

Timbalan Ketua Juruteraan Jambatan HKZM, Yin Haiqing memaklumkan, konkrit yang digunakan dalam pembinaan jambatan dan terowong berkenaan mampu bertahan selama 120 tahun.

Tambahnya, jurutera menggunakan kaedah terobosan iaitu menyedut pasir dari dasar laut bagi mempercepatkan pembinaan pulau buatan.

Manfaat terbesar pembukaan jambatan itu ialah mengurangkan jarak perjalanan antara Hong Kong dan Zhuhai serta kebergantungan kepada perkhidmatan feri dan kapal kargo.

Ia juga boleh mengurangkan kos logistik penghantaran barang menerusi jalan darat meskipun terpaksa membayar tol di atas jambatan sebanyak 150 Yuan (RM90).

Situasi ini diharap dapat memberi manfaat kepada syarikat-syarikat logistik serantau menerusi peningkatan pendapatan.

“Jambatan HKZM akan mengurangkan masa perjalanan hampir dua jam dari pelabuhan Zhuhai dan pelabuhan Kwai Chung di Hong Kong,” ujar laporan Jabatan Lebuh Raya Hong Kong.

Aktiviti perniagaan

Seorang penganalisis ekonomi dan sosial, McKercher berkata, jambatan berkenaan dijangka akan menggalakkan aktiviti perniagaan serta mencipta peluang pekerjaan baharu kepada penduduk sekitar Delta Sungai Mutiara.

Ujarnya, syarikat-syarikat di rantau tersebut berpeluang melabur bagi mengembangkan perniagaan mereka disebabkan kemudahan mengakses sumber baharu.

“Usahawan Hong Kong akan mendapat manfaat kerana mereka berpeluang meluaskan perniagaan ke China atau Macau yang mempunyai tenaga kerja ramai dan murah serta keluasan tanah.

“Penduduk di Macau dan Zhuhai pula bakal mendapat manfaat menerusi peluang pekerjaan di perusahaan baharu yang bakal diwujudkan sekali gus meningkatkan pendapatan mereka,” jelasnya.

Sementara itu, Timbalan Presiden Pertama China, Han Zheng memaklumkan, jambatan HKZM dapat membantu memacu strategi lautan biru China menjadi Greater Bay Area di sekitar Delta Sungai Mutiara.

“Jambatan ini membuka lembaran sejarah baharu buat China. Kami yakin dan percaya jambatan HKZM dapat memacu pembangunan Hong Kong dan Macau,” ujarnya.

Hasil laporan seorang perunding China, dianggarkan 29,100 kenderaan akan menggunakan jambatan HKZM menjelang tahun 2030 dan 42,000 pada tahun 2037.

Penganalisis Politik, Willy Lam pula berpendapat, jambatan HKZM mampu membawa kemajuan ekonomi di sekitar Delta Sungai Mutiara yang telah lama menjadi kawasan pertubuhan baharu China.

Jelasnya, pembukaan jambatan tersebut tepat pada masanya sebagai meraikan ulang tahun ke-40 pembaharuan ekonomi China dan mengurangkan konflik perdagangan dengan Amerika Syarikat.

“China akan meraikan ulang tahun pengenalan dasar ekonomi terbuka pada Disember ini. Dasar baharu itu telah mengubah China menjadi kuasa ekonomi kedua terbesar di dunia,” katanya.

Menurut rekod, jambatan berkenaan pertama kali dicadangkan oleh seorang ahli perniagaan dari Hong Kong, Gardon Wu Ying-sheung pada akhir 1980-an.

Bagaimanapun, cadangan berkenaan ditentang hebat oleh penjajah British di Hong Kong disebabkan kebimbangan penularan pengaruh komunis dari China.

Hong Kong dijajah British pada tahun 1842, sebelum diserahkan kembali kepada China pada 1997.

Menjelang tahun 2003, China telah menyatakan sokongan kepada projek jambatan berkenaan sebelum pembinaan bermula enam tahun kemudian.

Jambatan HKZM merupakan projek infrastruktur kedua yang menghubungkan antara Hong Kong dan tanah besar China.

Bulan lalu, laluan kereta api laju yang menghubungkan antara Hong Kong dan China telah dibuka secara rasmi.

Para pengkritik menganggap pembinaan projek mega yang menghubungkan kedua-dua buah negara itu merupakan salah satu usaha Beijing mengintegrasikan kembali hubungan dengan Hong Kong.

Ketua Jurutera Jambatan HKZM, Lin Ming berkata, pasukannya tetap memastikan projek berkenaan berjaya meskipun terdapat jurang perbezaan ideologi antara Hong Kong dan China.

Kontraktor syarikat China Comunications Construction itu menambah, konflik antara kedua-dua negara hanya tinggal sejarah selepas pembinaan jambatan rentas sempadan itu.

“Kami dan jurutera dari Hong Kong bekerjasama dengan baik bagi memastikan jambatan ini siap dibina mengikut jadual walaupun terdapat sedikit kelewatan,” jelasnya.