Minggu lalu, tular di media sosial tentang pendedahan seorang wanita cantik yang mendakwa menjalani pembedahan plastik semata-mata mahu memuaskan hati teman lelakinya.

Bintang YouTube, Berry Ng, 22, membuat pendedahan bahawa dia sudah menjalani 30 pembedahan plastik bagi mengubah struktur wajah dan juga tubuhnya.

Memetik laporan akhbar China Press, Berry sudah mula menjalani pembedahan plastik seawal usia 17 tahun.

Dia mahu kelihatan seperti model Barat kerana menganggap dirinya tidak secantik mereka.

“Ketagihan untuk menjalani pembedahan plastik bermula apabila saya ternampak iklan di sebuah pusat kecantikan yang menawarkan tiga suntikan wajah pada harga HK$799 (RM418).

“Ia satu tawaran menarik dan harganya berpatutan memandangkan saya merupakan seorang pelajar sekolah pada waktu itu,” ujarnya.

Begitu pun, selepas selesai disuntik, perunding kecantikan di situ memujuk Berry supaya mengambil pakej suntikan lain dan memberikan harga istimewa kepadanya.

Ketagih

Terpengaruh dengan pujukan, Berry kemudian mula berani menyuntik wajahnya dengan pelbagai jenis suntikan.

Ketagihannya menjadi bertambah teruk apabila dia berusia 20 tahun.

Berry mula berkenalan dan menjalinkan hubungan cinta dengan seorang jejaka yang tidak didedahkan namanya.

Menurut Berry, lelaki itu sering mengejeknya dan memberikan komen negatif terhadap wajahnya.

“Dia tidak pernah menganggap saya cantik dan sering mengejek wajah saya.

“Sekiranya dia pernah walau sekali pun memberitahu bahawa saya cantik di matanya, saya pasti tidak akan menjalani pelbagai pembedahan plastik yang menyakitkan,” tutur Berry.

Mengimbau kembali, Berry berkata, teman lelakinya sering mengejek bentuk mata, hidung serta saiz payudara Berry.

“Saya sanggup menjalani pelbagai pembedahan termasuklah memancungkan hidung serta pembedahan kelopak mata.

Menyesal

“Selepas berbuat demikian, teman lelaki saya masih tidak berpuas hati dan memberitahu bahawa dia tidak sukakan saiz payudara saya yang terlalu kecil.

“Oleh itu, saya sanggup memasukkan silikon pada payudara bagi memuaskan hatinya,” luahnya.

Berry juga menaikkan tulang pipi, mengubah bentuk dahinya supaya lebih bulat serta menyuntik bibirnya supaya lebih mungil.

Selepas menjalani pelbagai pembedahan, Berry terpaksa berehat lama bagi membolehkan badannya pulih.

Ketika itu, ibunya kesal dengan tindakan anaknya yang sanggup menyakitkan badan sendiri semata-mata mahu memuaskan hati teman lelakinya.

“Ibu memberitahu bahawa dia kesal dengan saya. Dahulu, saya sudah cantik namun kini telah ‘rosak’ akibat terlalu banyak menjalani pembedahan plastik,” ujarnya.

Selepas menyedari kebodohannya, Berry akhirnya memutuskan hubungan dengan lelaki tersebut.

Dia kemudian berkongsi kisahnya menerusi satu video di YouTube, bertujuan untuk memberikan pengajaran dan nasihat kepada wanita lain di luar sana.

“Apa yang diperkatakan oleh teman lelaki terhadap teman wanitanya sebenarnya memberikan kesan besar dalam kehidupan.

“Contohnya, teman lelaki yang tidak sukakan bentuk hidung kekasihnya akan membuatkan wanita itu rasa rendah diri lalu sanggup memperbodohkan diri dan menjalani pembedahan plastik,” ujar Berry.

Jelasnya, dia amat menyesal kerana terlalu ikutkan kehendak teman lelakinya.

Wanita itu menambah, dia sanggup melakukan apa sahaja untuk mendapatkan wajahnya yang asal dan berikrar tidak akan menjalani pembedahan plastik lagi.

Berry Ng dari Hong Kong jalani 30 pembedahan plastik bagi mengubah struktur wajah dan tubuh hanya kerana mahu memuaskan hati teman lelakinya.