Rusa hutan liar pula berkeliaran di sempadan antara Finland dan Rusia. 

Kucing liar lynx adakalanya melepasi kubu komunis di pergunungan Albania dan Macedonia Utara. 

Di seluruh Eropah, spesies-spesies terancam itu kini ‘membuat rumah’ di atas tanah yang pernah digelar Iron Curtain iaitu garisan sempadan yang membahagikan benua itu pada era Perang Dingin dahulu. 

Selama beberapa dekad, sempadan yang merentasi benua Eropah itu adalah simbol permusuhan kejam antara Timur dan Barat serta antara blok kuasa sosialis dan kapitalis.

Tembok Berlin turut terbina dalam garisan pemisah yang dinamakan Iron Curtain ini. 

Sebelum keruntuhan Tembok Berlin pada 28 tahun lalu, Jerman misalnya telah terbahagi kepada dua iaitu Republik Persekutuan Jerman di Barat manakala Republik Demokratik Jerman (GDR) di Timur. 

Ramai rakyat yang kehilangan nyawa ketika cuba menyeberang garisan itu. Mereka dibunuh oleh pasukan penembak tepat atau menjadi mangsa periuk api di zon tersebut yang sesiapapun tidak boleh melepasinya. Ia dikawal tentera kedua-dua negara sepenuhnya. 

Garisan pemisah yang dikawal rapi ini juga dikenali sebagai ‘jalur maut’.

Tetapi, siapa sangka, kawasan yang tidak boleh dilintasi manusia ini telah berubah menjadi syurga bagi tumbuhan dan haiwan.

Kini, banyak kawasan di sekitar sepanjang Tembok Berlin telah menjadi suatu rantau yang digelar Jajaran Hijau Eropah (European Green Belt). 

Koridor hijau sepanjang 12,500 kilometer (km) ini menghubungkan pelbagai taman negara dan tempat perlindungan hidupan liar dari Lautan Artik ke Laut Adriatik, bahkan turut merentasi sehingga ke Laut Hitam. 

Seiring perubahan iklim yang memberi kesan kepada corak penghijrahan haiwan, ia juga menjadi jalan keluar penting bagi spesies haiwan yang berhijrah ke utara untuk mencari kawasan yang lebih sejuk. 

Pendedahan ini telah dibuat oleh sekumpulan pemerhati burung yang berani.

Dokumentasi

“Ketika berusia 14 tahun, saya mula merakam spesies burung di kawasan itu,” kata Kai Frobel ketika ditemui BBC News baru-baru ini.

Dia yang juga seorang ahli ekologi berkata, majoriti spesies burung yang jarang ditemui seperti whinchat, nightjar dan corn bunting boleh didapati di garis pemisah tersebut.

“Burung-burung berkembang biak di kawasan jalur kematian itu,” katanya yang dibesarkan di kawasan Jerman Barat pada tahun 1970-an.

Frobel adalah orang pertama yang mendokumentasikan secara terbuka lokasi hidupan liar yang mengagumkan ini, sekali gus menjadikan dia sebagai seorang pejuang pemuliharaan alam sepanjang hayat.

Hari ini dia bekerja untuk sebuah organisasi alam sekitar Jerman, Bund yang mula membeli dan melindungi tanah di sekitar barat sempadan itu sejak tahun 1980-an.

Selepas keruntuhan Tembok Berlin pada tahun 1989, Frobel mencadangkan jajaran bekas tembok di kawasan Jerman itu dijadikan garisan persekitaran hijau sepanjang 1,400km. 

Penyatuan semula Jerman pada tahun 1990, telah memudahkan hal itu direalisasikan namun kawasan itu hakikatnya tetap digeruni untuk ‘disentuh’ manusia.

“Pengawal hanya akan masuk ke kawasan sempadan itu sekali dalam beberapa tahun untuk melakukan rondaan, mencantas pokok renek dan membersihkan kawasan itu. Selain itu, ia tidak digunakan sama sekali,” kata Melanie Kreutz.

Kreutz yang juga ketua projek di Bund menjelaskan, tidak ada sebarang aktiviti pertanian yang dijalankan, tiada racun perosak serta tiada baja di kawasan tersebut. 

“Kawasan yang tidak didiami oleh manusia inilah tunjang kepada pembangunan ekologi hijau Jerman pada hari ini,” ujarnya.

Bergabung

Lebih daripada 80 peratus daripada kawasan di jajaran bekas Tembok Berlin itu kini menjadi kawasan hijau yang dilindungi. 

Warisan sejarahnya telah dipelihara bersama dengan tumbuh-tumbuhan dan haiwan! 
Orang ramai dapat melihat orkid liar, memerang dan bangau, selain meneroka sejarah Perang

Dingin melalui muzium, pameran dan aktiviti berbasikal.

Bukan sahaja di sekitar Tembok Berlin tetapi juga sepanjang jajaran Iron Curtain di negara-negara lain biodiversiti ini boleh ditemukan. 

Di utara, hutan-hutan Norway, Finland dan Rusia menjadi tempat perlindungan elk dan beruang manakala di hujung selatannya di pergunungan dan Tasik Balkan, kucing liar lynx dan unggas membiak dengan bebas.

Selepas berakhirnya Perang Dingin, negara-negara di sepanjang Iron Curtain secara beransur-ansur telah bergabung untuk mengekalkan koridor hidupan liar yang dikongsi bersama ini.

Jajaran Hijau Eropah ini merentasi 24 buah negara yang meliputi pelbagai habitat termasuk pantai, tasik, hutan dan gunung. 

Zon hijau ini telah menjadi habitat bagi kebanyakan spesies terancam.

Seorang pengurus pemuliharaan alam semula jadi di Metsahallitus, Aimo Saano berkata, ekosistem yang kompleks dapat diwujudkan di kawasan seperti ini.

“Umum ketahui bahawa di Eropah yang padat penduduknya, ia adalah bahaya yang jelas bagi hidupan liar.

“Tetapi, masalah ini telah dikurangkan dengan kewujudan koridor seperti ini,” jelasnya.

Kawasan tersebut juga telah membantu melindungi dan menyokong spesies seperti rusa hutan liar yang sangat terancam. 

Pada tahun 1990-an, populasi rusa hutan liar semakin berkurangan di Karelia iaitu sebuah lokasi di Rusia yang bersempadan dengan Finland.

Di hujung selatan Jajaran Hijau Eropah iaitu di rantau Balkan, setelah tamat Perang Dingin, berlaku pula beberapa siri peperangan berdarah yang berlarutan. 

Setelah kejatuhan kerajaan Yugoslavia, sesetengah pihak mula melihat perlindungan hidupan liar sebagai keutamaan.

Bantahan

Pengurus projek di EuroNatur, Sandra Wigger berkata, fokus utama di kawasan tersebut adalah perlindungan alam sekitar yang merentasi Balkan.

“Ia juga mengenai pembangunan setempat serta kerjasama serantau kerana masing-masing mahu melupakan sejarah peperangan masa lampau.

“Masih terdapat kawasan luas yang tidak tercemar dan ia agak jauh dari bandar. Ini bermakna kita benar-benar mempunyai kepelbagaian biodiversiti yang terpelihara di sini,” kata Wigger. 

Siapa sangka, garisan sempadan berdarah, Iron Curtain yang memisahkan benua Eropah antara blok Barat dan Timur pada era Perang Dingin kini menjadi ‘syurga’ bagi hidupan liar yang terancam dan jarang ditemui.