Jika tidak diganggu dan keadaan kesihatannya mengizinkan, bapa kepada tiga orang cahaya mata itu boleh terus menjahit berjam-jam lamanya.

Dia tidak kisah bersengkang mata sehingga pukul 2 pagi demi menyiapkan tempahan pelanggan sebelum bangun semula untuk menikmati juadah sahur bersama keluarganya pada pukul 5 pagi.

Roslan mewarisi kemahiran membuat songkok daripada arwah bapanya, Sarbaini Jamil yang berkelana dari Bukit Tinggi, Sumatera, Indonesia pada tahun 1945 setelah menerima pelawaan datuk saudaranya untuk mengambil alih perniagaan songkok yang dipelopori sejak tahun 1936.

Pada tahun itu, pendudukan Jepun di Tanah Melayu baru sahaja berakhir. Datuk saudara Roslan meninggal dunia kira-kira tiga bulan selepas kedatangan Sarbaini yang gigih mendalami ilmu pembuatan dan perniagaan songkok yang beroperasi di lot kedai bernombor 51D di Jalan Yam Tuan, Seremban, Negeri Sembilan.

Sejak itu, Sarbaini setia berkecimpung dalam bidang tersebut selama lebih enam dekad sebelum menghembus nafas terakhir pada 26 November 2010 ketika berumur 91 tahun.

Belajar menjahit

Mengimbau kenangan lalu, anak keenam daripada 10 adik-beradik itu bercerita, hanya dia seorang berminat belajar menjahit dan berjaya menguasai kebolehan membuat songkok pada usia 15 tahun.

“Paling rumit ialah jahitan bercorak yang dipanggil bunga merak pada bahagian dalam songkok.

“Ia dibuat secara manual dengan cara memusing-musingkan tapak kain pada mesin jahit mengikut lakaran corak yang mengambil masa kira-kira 30 minit.

“Sebenarnya lebih mudah menggunakan mesin jahit berkomputer tetapi hasilnya tidak sehalus dan sekemas buatan tangan,” ujarnya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

“Seingat saya, ketika saya berusia 13 tahun, kami sudah mula menggunakan mesin jahit elektrik tetapi kuasa motornya tidak secanggih sekarang dan masa yang diperlukan lebih lama.

“Dalam hal ini, gabungan beberapa jenis kain seperti kain kapas, kain satin dan kain baldu menjadi komponen penting songkok serta tarbus. Ia akan menyebabkan pengguna berasa selesa untuk memakainya.

“Selain songkok yang ditempah mengikut ukuran dan kehendak pelanggan, saya juga menyediakan stok songkok siap. Ada juga pengusaha pusat beli-belah meminta saya membekalkan songkok kepada mereka tetapi saya tidak menang tangan untuk membuatnya.

“Katakanlah, jika bekalan songkok habis semua pada malam hari raya nanti, saya sanggup menjahitnya andai ada yang ingin membeli kerana tidak sanggup menghampakan pelanggan,” ujarnya yang mampu menjahit 10 hingga 20 buah songkok sehari.

Dalam pada itu, isteri Roslan, Lindawati Syamsir Jamil, 53, menjadi tulang belakang perniagaan songkok itu daripada aspek pemasaran.

Dia turut bertanggungjawab membuat sendiri kotak-kotak untuk mengisi songkok dan tarbus yang telah siap.

Katanya, buat masa ini anak-anaknya yang masing-masing berusia 17, 21 dan 23 tahun tidak mempunyai kemahiran membuat songkok seperti suaminya.

Karnival

Namun, mereka ringan tulang untuk membantu melakukan jahitan tepi kain dan membantunya menyiapkan kotak songkok.

Lindawati Syamsir turut gigih berulang-alik dari Negeri Sembilan ke Kuala Lumpur dengan menaiki tren pada setiap hari untuk menyertai karnival jualan di sebuah pusat beli-belah di ibu kota sepanjang Ramadan ini.

Menurutnya, menjelang Aidilfitri, permintaan songkok dan tarbus Roslan dari serata tempat boleh melonjak melebihi 500 buah termasuk dihantar melalui kiriman pos.

“Baru-baru ini, kami ada menghantar secara pos sebuah songkok yang ditempah seorang individu di Bank Negara Malaysia (BNM).

“Namanya seperti biasa didengar. Rupa-rupanya pelanggan itu ialah Gabenor BNM, Datuk Muhammad Ibrahim.

“Selain itu, antara orang kenamaan yang pernah menempah songkok daripada kami ialah ketua jurulatih badminton perseorangan lelaki negara, Datuk Misbun Sidek.

“Ada juga pelanggan menghantar gambar Allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang segak bertarbus dan mahu tarbus serupa dibuat untuknya,” ujarnya.

Lebih membanggakan Lindawati Syamsir Jamil, songkok turut diminati pelancong asing dari Jepun dan Eropah yang membelinya untuk dijadikan cenderamata kenang-kenangan.

Katanya, peranan pelengkap baju Melayu dan samping itu kini lebih meluas dan dipakai individu tanpa mengira bangsa dalam istiadat khas seperti penyampaian anugerah, pangkat serta majlis rasmi.

Lindawati menambah, terdapat lebih 50 jenis pilihan kain baldu dengan aneka warna ditawarkan kepada pelanggan antaranya daripada material tafeta dan benang baldu yang harganya lebih murah serta biasanya ditempah pelajar sekolah.

“Selain itu, terdapat juga songkok yang diperbuat daripada fabrik kain jean, songket dan batik.

“Songkok baldu berwarna hitam paling banyak mendapat permintaan tetapi pembuatan songkok boleh dipelbagaikan mengikut cita rasa serta kecenderungan fesyen individu,” ungkapnya.

Berdasarkan saiz, songkok dan tarbus dibuat bermula daripada sekecil-kecil saiz 16 yang muat dipakai bayi berusia lima bulan sehingga saiz 25 yang merupakan ukuran kepala terbesar.

Pernah juga Roslan membuat songkok sebesar tapak tangan dan bersaiz gergasi untuk dijadikan hiasan.

Sepanjang menyambung legasi pembuatan songkok warisan itu, insiden kedai mereka yang terletak di Pasar Besar Seremban terbakar pada September tahun lalu menjadi perkara yang paling berbekas dalam hati mereka sekeluarga.

Rezeki

“Ketika itu, semua barang termasuk stok kain dan barang jualan seperti songkok, tarbus, kopiah, telekung serta baju musnah terbakar. Mesin jahit lama milik bapa mertua turut hangus dijilat api. Hanya sebuah labu sayung terselamat dalam kebakaran yang menyebabkan kerugian mencecah RM60,000 itu.

“Kami tidak berasa bernasib malang kerana rezeki adalah kurniaan Allah. Apa yang penting, kemahiran yang dimiliki menjadi modal untuk kami terus berniaga,” ujarnya optimis.

Bagi seorang guru di Maahad Ahmadi Gemencheh, Negeri Sembilan, Mohamad Shukri Abdul Kudus, 30, songkok buatan tangan Roslan selesa dipakai, berkualiti selain tidak mengembang dan terletak kemas di atas kepala.

“Hampir setiap hari saya memakai songkok sama ada ke sekolah atau menghadiri majlis tertentu. Boleh dikatakan setiap tahun saya pasti akan membeli songkok baharu, namun songkok lama tidaklah dibuang kerana ia masih boleh digunakan,” tuturnya.

Roslan Sarbaini merupakan generasi ketiga yang mengusahakan perniagaan songkok dan tarbus buatan tangan di Seremban, Negeri Sembilan yang diwarisi daripada bapanya.