Mereka meluahkan isi hati tatkala berada dalam keadaan kesedihan, ketakutan, kekhuatiran, kemarahan atau kegembiraan.

Namun, perkara itu semakin berubah semenjak pengasas Facebook, Mark Zuckerberg membina laman sosial itu.

Orang ramai menjadikan media sosial termasuk Facebook sebagai tempat meluahkan perasaan dan berbicara perkara-perkara yang membuang masa.

Ada juga yang menjadikan medium itu untuk merendah-rendahkan orang lain.

Kelakuan yang dikenali sebagai sindrom tall poppy (STP) itu akan mengurangkan kekecewaan mereka dengan diri mereka sendiri.

STP berkaitan dengan perasaan dan tingkah laku manusia yang tidak boleh melihat orang lain berdiri lebih tinggi daripada mereka.

Adab

Orang yang berjaya akan diperlekeh dan dilemparkan kecaman-kecaman yang tidak berasas di media sosial meskipun tiada kena mengena dengan kejayaan yang mereka capai.

Golongan STP lebih merasa puas jika dapat menyebarkannya kepada orang lain.

Namun demikian, mereka yang mempunyai kepercayaan diri yang tinggi dan yakin dengan kelebihan yang dimiliki selalunya terhindar dari menghidap STP ini.

Dekan Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Zaid Ahmad berkata, jangan menggunakan kelemahan diri untuk menidakkan kelebihan orang lain.

“Latihlah diri kita sebagai orang dewasa untuk melihat kelebihan yang dimiliki oleh seseorang. Allah itu Maha Adil, setiap orang mempunyai kelebihan masing-masing.

“Bimbinglah diri supaya menjadi seorang yang berhemah dan bertanggungjawab di alam siber. Latihlah diri untuk mengagumi dan meraikan kelebihan rakan-rakan dan percaya bahawa mereka juga mempunyai kelebihan yang tersendiri,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Tambahnya, media sosial sepatutnya menjadi medan buat orang ramai termasuk penuntut universiti mahupun majikan-majikan dan usahawan sebagai tempat untuk meraih ilmu, berkongsi maklumat, bahkan meraih pendapatan. Malangnya, ia telah disalahgunakan.

Umpatan dan kejian merupakan tatapan harian bagi sebahagian daripada kita apabila membuka Facebook. Inilah realiti dan paling parah,” tegasnya.

Bersempena kedatangan Ramadan, orang ramai disarankan agar memelihara adab ketika menulis di media sosial.

Seperti mana masyarakat perlu menahan diri daripada makan dan minum, begitu juga mereka harus menahan diri daripada melakukan perkara-perkara tidak berfaedah.

Dosa senyap

Allah telah mengisyaratkan mengenai penyebaran informasi dalam al-Quran maksudnya:

“Dan apabila datang kepada mereka suatu berita tentang keamanan ataupun ketakutan, mereka terus menyiarkannya. Dan kalau mereka menyerahkannya kepada Rasul dan Ulil Amri di antara mereka, tentulah orang-orang yang ingin mengetahui kebenarannya (akan dapat) mengetahuinya daripada mereka (Rasul dan Ulil Amri).

Dalam surah an Nisa’ ayat 83 menyatakan: “Jika bukan kerana kurnia dan rahmat Allah SWT kepada kamu, tentulah kamu mengikut syaitan, kecuali sebahagian kecil saja (di antaramu).”

Sementara itu, Pendakwah Bebas, Ustaz Muhammad Luqman Makhtar berkata, para sahabat nabi pasti lebih terkejut melihat betapa mudahnya media sosial melahirkan masyarakat yang melakukan dosa dalam senyap.

“Akhlak dan bahasa sesetengah orang Islam dalam media sosial pada hari ini sungguh dahsyat, ia sudah menjadi seperti lumrah kehidupan.

“Sebab itulah ajaran Islam yang dibawa Rasulullah dan al-Quran itu relevan sepanjang zaman. Jika kita benar-benar menjiwai maksud Islam yang dianuti, semua pihak wajib menjaga diri agar tidak memangsakan saudara Muslim lain dengan kejahatan lidah dan tangan di mana sahaja kita berada sama ada alam nyata atau maya,” jelasnya.

Tambah Luqman, Ramadan adalah bulan untuk menggandakan pahala, jadi fikirkan bagaimana kebaikan itu dapat dilakukan supaya mendapat pahala yang berlipat ganda.

“Apa-apa pun semuanya berpusat pada keimanan setiap apa yang dikata atau ditulis. Jangan lupa ada yang merekodkannya,” ujarnya yang merupakan lulusan Sarjana Muda Ilmu Wahyu dalam pengkhususan Usul Fiqh, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.