Sekitar pukul 4 petang, sebuah bas berwarna hijau putih menuju ke pekarangan pintu masuk taman buaya yang dikelilingi ladang sawit itu.

Sebaik sahaja pemandu bas mematikan enjin, suasana bising memecah kesunyian ketika pengunjung melangkah masuk ke ruang utama taman buaya itu.

Ng Siew Hiah yang menyambut kehadiran pengunjung tempatan seramai 40 orang itu terus meletakkan seekor anak buaya berukuran kira-kira 1.5 meter yang dipikulnya di atas sebuah meja tanpa rasa takut.

“Jangan takut. Dia (buaya) tidak boleh gigit kerana saya sudah ikat mulutnya dan tiada masalah kerana ia masih kecil.

“Buaya ini jinak. Baru berusia dua tahun dan saya hanya bagi minum susu,” kata pemilik taman buaya itu sambil memberikan penerangan ringkas mengenai syarat dan peraturan semasa berada dalam kawasan tersebut.

Katanya, para pengunjung tidak perlu risau kerana taman itu lengkap dengan ciri-ciri keselamatan seperti tempat berjalan kaki yang beratap dan berpagar serta televisyen litar tertutup (CCTV).

Wanita berusia 52 tahun itu menambah, pengunjung boleh melihat buaya daripada jarak 30 meter dari pagar dan jangan sesekali menghulur tangan jika tiada makanan mahu diberi.

Taman seluas 10 hektar yang diusahakan sejak tahun 1920 oleh bapa dan datuknya itu kini mempunyai 1,000 ekor buaya tembaga.

 

Pengalaman

Menurut Siew Hiah, taman buaya itu dibuka kepada orang ramai sejak lapan tahun lalu.

“Pada zaman datuk dan bapa saya lagi mereka sudah membela buaya tembaga kerana di Johor hanya terdapat spesies tembaga. Namun, taman itu tidak dibuka kepada orang ramai pada masa itu.

“Ini kerana semasa di bawah penjagaan mereka, sistem keselamatan kurang di perketatkan. Hanya pagar dan kolam yang ada,” ujar anak kelapan daripada sembilan orang adik-beradik itu.

Menceritakan pengalaman berjinak-jinak dengan buaya, wanita itu menjelaskan, pada awalnya dia tidak pernah terfikir untuk meneruskan legasi keluarganya tersebut.

Segala-galanya berubah selepas kematian bapanya enam tahun lalu.

Siew Hiah yang tidak menyukai buaya terpaksa memberanikan diri untuk mengenali dan memahami haiwan pemangsa itu setelah diberi tanggungjawab menguruskan taman tersebut.

“Sebenarnya, saya tidak pernah sukakan buaya. Saya tidak pernah sekalipun masuk ke dalam taman ini apatah lagi memegangnya kerana pada masa itu abang yang banyak membantu bapa,” tuturnya.

Walaupun pada awalnya Siew Hiah tidak suka pada buaya-buaya peliharaan bapanya itu, dia tetap akur kerana hanya dia yang dipertanggungjawabkan untuk menguruskan taman buaya tersebut.

Jelas wanita berketinggian 151 meter itu, pengalaman pertama memberanikan diri turun ke kolam buaya adalah satu cabaran yang sangat sukar.

Perasaan takut bercampur sedih tidak dihiraukan ketika itu demi memikirkan wasiat yang telah diamanahkan oleh bapanya.

Dalam pada itu, Siew Hiah memberitahu, sebelum bapanya menghembuskan nafas terakhir, dia meletakkan beberapa syarat agar penambahbaikan dibuat pada taman buaya tersebut.

“Pada masa itu, saya memberitahu bapa agar digantikan jambatan pejalan kaki lama dengan dua jambatan lebih kukuh dan dipasang bumbung untuk berteduh jika mahu saya menguruskan taman ini.

“Jalan tanah merah pula perlu disimen agar tidak lecak ketika hujan manakala kawasan kosong dibina petak kolam. Yang peliknya, bapa akur saja dengan permintaan saya,” katanya yang dibantu tujuh orang pekerja itu.

Menurut Siew Hiah, dia banyak belajar cara-cara menguruskan buaya dengan pekerja lama bapanya iaitu Mohd. Dul Endau.

Siew Hiah mengakui, tanpa tunjuk ajar Mohd. Dul atau dikenali sebagai Pak Mat, dia tidak akan pandai menguruskan buaya seperti hari ini.

Katanya, Pak Mat banyak mengajarnya untuk memahami dan mengenali buaya. Antaranya melihat mata buaya untuk kesihatan, waktu sesuai untuk mengambil anak-anaknya dan cara pemakanan.

Siew Hiah berjaya menguruskan taman itu dan kini dia mempunyai sebuah kolam seluas 12,140.6 meter persegi, 81 kolam simen dan lapan kolam pembiakan.

Lebih menarik, buaya-buaya yang cacat seperti dilahirkan tanpa ekor, mulut sumbing dan tiada kaki depan diasingkan bagi mengelakkan mereka daripada dimakan oleh buaya yang normal.

“Pada awal saya mengambil alih taman ini, buaya-buaya itu hanya 300 ekor tetapi kini semakin bertambah. Malah, ada antara buaya di sini berumur 160 tahun,” tuturnya.

Ujarnya, buaya-buaya dewasa di taman tersebut telah dipasangkan mikrocip sebagai pengenalan diri selain mudah dikesan jika terlepas.

“Jika buaya ini mati, mikrocip itu akan dikeluarkan untuk bukti kematiannya,” jelasnya.

Cerita Siew Hiah lagi, taman buaya itu kini dikunjungi pelancong-pelancong tempatan dan luar negara.

Sementara itu, menyentuh tentang cara-cara penjagaan buaya, Pak Mat berkata, buaya-buaya tersebut diberi makan dengan mencampakkan seekor demi seekor ayam.

 

Disambar

“Sebanyak 50 ekor ayam diberikan setiap kali waktu makan dan perkara penting adalah perlu berhati-hati kerana mereka suka menyambar. Saya juga pernah disambar tangan ketika beri makanan tetapi nasib baik sempat mengelak.

“Kami hanya beri sekali seminggu tetapi ada buaya yang berumur 50 tahun ke atas sudah kurang makan dan mampu bertahan selama enam bulan jika tidak diberi makanan,” jelasnya.

Katanya, lebih 900 kilogram ayam dibeli untuk bekalan sebulan kepada buaya-buaya tersebut.

Selain itu, buaya merupakan haiwan yang tidak mudah dijangkiti penyakit.

Malah, jika mereka bergaduh sesama sendiri dalam air, anggota badan yang tercedera akan segera sembuh melainkan bergaduh di daratan, ia boleh mengakibatkan kematian.

Oleh sebab itu, usia mereka panjang dan selalunya mati kerana tua atau dipanah petir sahaja.

Seorang pengunjung, Muhammad Nabil Saifuddin berkata, jumlah buaya yang mencecah ribuan di taman itu menarik minat saya untuk datang.

“Sebaik mendengar jumlah buaya yang terlalu banyak,saya berasa gerun untuk datang.

“Namun, perasaan takut itu lenyap selepas saya mendapat tahu pihak pengurusan menekankan ciri-ciri keselamatan kepada pengunjung.

Jelasnya, taman itu sangat menarik kerana pengunjung bukan sahaja datang melihat buaya tetapi pekerja-pekerja banyak berkongsi sejarah dan perwatakan buaya.

“Ilmu yang saya dapat adalah buaya ini mempunyai lidah dan jari serta kaki depan ada empat manakala belakang ada lima,” ujarnya.