Begitu pun, siapa sangka tindakan seorang lelaki dari Korea Selatan yang memuat naik video dirinya sedang mengulang kaji pelajaran tanpa sebarang bunyi berjaya mencetuskan fenomena, seterusnya menjadikan dia cukup popular di YouTube.

Lelaki tersebut yang menggunakan nama Bot No Jam telah memuat naik video dirinya sedang mengulang kaji pelajaran dalam keadaan yang cukup senyap.

Siapa sangka, video tersebut sudah ditonton lebih 66,000 kali sejak April lalu.

Video Bot No Jam yang sedang mengulang kaji pelajaran itu bukanlah video yang unik memandangkan ia hanya memaparkan lelaki itu duduk di meja belajarnya sambil mencatat nota.

Percaya atau tidak, kesemua video yang dimuat naik berdurasi hampir tujuh jam itu semuanya senyap tanpa sebarang bunyi.

Video pertama yang dimuat naik oleh lelaki berkaca mata itu ialah pada bulan Jun tahun lalu bertajuk Study With Me.

Begitu pun, dia hanya mula aktif memuat naik video jenis sama pada April lalu.

Dalam video tersebut, dia hanya duduk di atas sebuah kerusi hitam dan betul-betul fokus terhadap pelajarannya.

Tiada bunyi

Lelaki itu juga langsung tidak bangun daripada kerusinya sepanjang tempoh tersebut.

Sehingga kini, Bot No Jam sudah memuat naik sehingga 12 video jenis sama yang kesemuanya menjadi sensasi di internet.

Warga Korea Selatan menganggap lelaki itu sebagai bintang YouTube baharu dari negara tersebut dan menganggap video yang dimuat naik Bot No Jam cukup menarik.

Seorang pengguna YouTube yang hanya memperkenalkan diri sebagai Kim Maeyol menulis, dia suka melihat Bot No Jam belajar dalam kesemua video-videonya.

“Dia sangat comel. Video-video yang dimuat naik juga amat menenangkan kerana ia senyap tanpa sebarang bunyi,” tulisnya pada ruangan komen pada salah satu video lelaki itu.

Seorang lagi pengguna, Forrest Mikhail pula menulis, dia rasa seronok kerana merasakan bahawa video-video Bot No Jam seolah-olah menemani dia mengulang kaji pelajaran.

“Rasa seronok apabila saya mempunyai teman setiap kali mengulang kaji pelajaran,” tulisnya.

Video-video Bot No Jam juga tidak langsung dipotong atau diubah suai kerana penonton boleh melihat lelaki itu bersin atau batuk di dalam video-video tersebut.

Ternyata, video mengulang kaji pelajaran Bot No Jam mencetuskan fenomena apabila peminat lelaki itu mula mewujudkan sebuah akaun Twitter dengan nama Everything About Bot No Jam.

Wajah kacak

Dalam tempoh dua bulan, akaun tersebut telah mendapat 4,200 pengikut.

Ujar Bot No Jam, dia merupakan seorang pelajar yang tekun dan cukup suka mengulang kaji pelajaran.

“Idea untuk mewujudkan akaun YouTube yang menunjukkan saya mengulang kaji pelajaran timbul selepas saya sering digelar robot kerana terlalu suka duduk di meja belajar untuk mengulang kaji pelajaran,” ujarnya.

Dia juga sama sekali tidak menyangka video-video tersebut mendapat perhatian lalu menjadikannya sensasi internet.

Begitu pun, ada antara peminatnya yang mendakwa populariti yang diraih lelaki tersebut adalah kerana wajahnya yang kacak dan bukannya kandungan video yang menarik.

Lelaki tampan dari Korea Selatan menjadi tular di laman sosial selepas memuat naik video dia mengulang kaji pelajaran dalam keadaan yang cukup senyap.