Sesekali timbul rasa kesal dalam dirinya kerana terlalu mengikut kata hati sehingga merosakkan diri sendiri.

Andai dapat diundurkan waktu, Izzat (bukan nama sebenar), 27, ingin menjadi seperti dirinya yang dahulu, seorang yang sihat, ceria dan hidup seperti insan normal yang lain.

Namun, selepas terjebak dengan penagihan dadah, kehidupan yang dilalui tidak ubah seperti berada di dunia khayalan yang penuh dengan ilusi.

Menurut Izzat, dia mula terjebak dengan penagihan dadah selepas terlalu kecewa kerana putus cinta dengan Lin (bukan nama sebenar) 26, iaitu wanita yang amat dia sayangi.

Selama 10 tahun menyulam cinta, Lin yang dikenalinya sejak di bangku sekolah menengah itu akhirnya memilih untuk menikahi seorang lelaki yang juga merupakan pengurus di tempat kerjanya.

Putus cinta

Alasan tiada jodoh antara mereka berdua yang diberi wanita itu sememangnya sukar untuk diterima Izzat memandangkan hubungan mereka jarang bermasalah.

“Cuma dia (Lin) ada menunjukkan perubahan sikap selepas beberapa bulan dia mendapat tawaran bekerja di salah sebuah syarikat kewangan.

“Pada masa itu, saya anggap mungkin dia terlalu sibuk dengan kerja,” ujar pemuda berasal dari sebuah negeri di selatan tanah air itu.

Namun, segala-galanya terjawab selepas Lin tiba-tiba meminta untuk memutuskan hubungan dengan Izzat tanpa sebarang alasan kukuh.

Tidak berapa lama kemudian, wanita itu menikah dengan pengurus tempat kerjanya.

Perkahwinan Lin dengan lelaki tersebut membuatkan Izzat berasa sangat sakit hati. Oleh kerana terlalu marah dan geram, pernah terlintas di fikirannya untuk membunuh bekas teman wanitanya itu dengan apa cara sekalipun asalkan dirinya puas.

Namun, niat jahat itu hanya dipendam sahaja sehingga membuatkan emosi Izzat terganggu. Perasaannya pada masa itu bercampur baur antara marah, sedih dan reda dengan apa yang berlaku.

Sejak itu, Izzat mula berubah sikap menjadi liar dengan sering berkunjung ke kelab malam selepas diajak rakan sekerjanya.

Dakwa Izzat, rakan di tempat kerjanya itu telah mengajaknya ke kelab malam semata-mata untuk berhibur selepas melihatnya sering murung dan tidak bersemangat.

“Memang saya bodoh pada waktu berkenaan kerana terlalu mengikut kata hati dan tersalah pilih kawan,” ujarnya.

Pengaruh rakan

Daripada situ jugalah, Izzat telah diperkenalkan dengan dadah jenis syabu yang dikatakan boleh menyebabkan dirinya berasa tenang dan khayal.

Memang benar seperti yang diberitahu. Sejak mula mengambil syabu atau istilah lainnya dipanggil methamphetamine, Izzat mengakui dirinya berubah menjadi seorang yang ceria dan ramah.

Sejak daripada itu, Izzat mula selesa dengan syabu dan mula ketagih untuk mengambilnya tak kira masa asalkan ia mampu memberi rasa nikmat padanya.

Akibat pengambilan dadah tersebut, Izzat menjadi tidak terurus dan akan berasa resah lebih-lebih lagi jika dia terputus bekalan.

“Sebahagian besar duit gaji habis digunakan untuk membeli dadah.

“Keadaan saya memang sudah teruk dan boleh dikategorikan sebagai ketagihan melampau,” katanya.

Izzat turut mendakwa, jika ketagihannya berada pada tahap yang sukar dikawal, dia boleh menjadi seorang yang agresif dan mengalami halusinasi.

Bohong jika Izzat tidak mempunyai langsung niat untuk berubah dan kembali menjadi seperti yang dahulu.

Namun semuanya terletak pada keazaman dan dia mengakui agak sukar untuk meninggalkan terus najis dadah tersebut.

“Saya akui semua ini adalah atas kesilapan sendiri kerana terlalu mengikut perasaan dan bergaul dengan individu yang tidak sepatutnya.

“Saya pernah berusaha untuk berubah dan pasti akan berubah suatu hari nanti dengan bantuan. Tolong doakan saya,” kata Izzat menutup bicara.

Izzat terjebak dengan penagihan dadah selepas terpengaruh dengan ajakan rakan bagi menghilangkan kesedihan gara-gara wanita yang amat dia sayangi berkahwin dengan lelaki lain.