Gaji yang diperoleh dengan jawatan sebagai seorang kerani di tengah-tengah kota metropolitan sememangnya tidak mencukupi buat Arini. Tambahan pula dengan gaya kehidupannya yang serba-serbi mewah dan terikut-ikut dengan perkembangan dunia fesyen selebriti antarabangsa.

Disebabkan itu juga, gadis yang membesar di Lembah Klang ini sanggup menggadaikan maruahnya hanya kerana mahu menuruti gelodak nafsu mudanya itu.

Menurut anak kedua daripada enam beradik ini, biarpun menjadi kupu-kupu malam menyebabkan kehidupannya bersalut dosa, namun perasaan bersalah langsung tidak pernah menjentik hatinya.

Sebaliknya, Arini berbangga apabila dapat membeli pakaian berjenama dan melancong mengelilingi dunia, selain menetap di sebuah unit kondominium mewah yang dihadiahkan oleh sugar daddynya.

“Saya membesar di sebuah rumah pangsa yang hanya mempunyai dua bilik tidur.

“Ibu merupakan pekerja di bahagian inventori dan kebersihan di sebuah pusat beli-belah sekitar Kuala Lumpur, manakala ayah pula bekerja sebagai pengawal keselamatan.

“Dengan gaji kecil yang diperoleh kedua-dua mereka dan ditambah pula dengan bilangan kami adik-beradik yang ramai, mana mungkin kesemua kami mampu hidup selesa. Semuanya hanya sekadar cukup-cukup makan,” jelasnya.

Serah tubuh

Menurut Arini, sebaik tamat Sijil Pelajaran Malaysia, dia nekad untuk keluar bekerja. Tambahan pula minatnya di dalam pelajaran sudah lama terkubur.

Nasibnya begitu baik apabila dia ditawarkan bekerja sebagai seorang kerani di sebuah syarikat swasta yang terletak tidak jauh dari kediaman keluarganya.

“Pada waktu itu, gaji sebanyak RM1,500 yang diberikan sudah cukup besar buat saya.

“Wang yang diperoleh bukan digunakan untuk saya sahaja, sebaliknya ia turut diberikan kepada kakak yang sedang menuntut di menara gading, selain menampung perbelanjaan sekolah adik.

“Bagaimanapun, sebaik memasuki tahun kedua bekerja, saya rasakan gaji yang diterima tidak mencukupi. Lebih-lebih lagi selepas saya sudah mula pandai bergaya dan berpeleseran di kelab malam bersama bekas teman sekolah,” jelasnya.

Kebetulan rakannya memperkenalkan Arini dengan seorang ahli perniagaan yang dikenali sebagai Riduan, 45.

“Riduan tidak mempunyai rupa yang tampan, tetapi dia merupakan seorang lelaki yang boleh memberikan saya kemewahan.

“Disebabkan itu, saya tidak kisah menyerahkan tubuh kepadanya sewaktu pertama kali bertemu. Ternyata umpan yang dipasang menjadi apabila Riduan sanggup menghadiahkan saya sebuah unit kondominium mewah di tengah-tengah bandar,” jelasnya.

Biarpun begitu, Arini perlu bersia sedia pada bila-bila masa jika Riduan mahukan belaiannya.

Sesal

“Saya tidak kisah dengan syarat yang diberikan. Tambahan pula sejak di bangku sekolah saya sering terlanjur bersama bekas-bekas teman lelaki.

“Jadi itu bukanlah satu masalah besar buat saya. Apa yang pasti poket saya penuh dengan wang.

“Beberapa orang rakan satu pejabat pernah bertanya daripada mana saya mendapat duit untuk berbelanja besar dan mendiami sebuah kediaman mewah dengan gaji kecil. Saya hanya menyatakan itu semua hasil daripada harta yang ditinggalkan oleh arwah nenek,” jelasnya.

Cerita gadis bertubuh genit ini lagi, sepanjang tiga tahun hidup bersama Riduan, dia pernah beberapa kali menggugurkan kandungan.

“Saya tidak pernah mengambil apa-apa pil mencegah kehamilan dan saya tidak takut menggugurkan janin. Tambahan pula saya sendiri tidak tahu siapa bapa kepada bayi yang dikandungkan itu.

“Nama sahaja menjadi perempuan simpanan dan pemuas nafsu untuk Riduan. Tetapi saya sebenarnya masih lagi meniduri lelaki-lelaki yang ditemui di kelab malam tanpa pengetahuannya untuk mendapatkan wang yang lebih banyak,” jelasnya.

Menurut Arini lagi, biarpun dia akui kehidupan jijiknya itu lambat laun akan dihidu orang, namun dia tidak kisah dan tetap mahu meneruskan perbuatan terkutuk tersebut.

Baginya, tiada istilah sesal dalam kamus kehidupannya. Sebaliknya dia hanya mahukan kemewahan dan keseronokan sebagai seorang gadis yang membesar di kota.

Kedaifan hidup ketika kecil mendorong seorang gadis yang berasal dari Lembah Klang untuk menjadi pelacur dan perempuan simpanan hanya kerana inginkan wang dan kehidupan mewah.