Lanjutan daripada itu, pada tahun yang sama, Nadhir Ashafiq bersama rakan kongsinya Goh Chee Hau, 31, telah berjaya menubuhkan sebuah laman web yang dikenali sebagai TheLorry.com (TheLorry) yang menyediakan kemudahan kepada para pengguna untuk membuat tempahan sewaan lori.

Bisnes tersebut berkembang dan mencapai kejayaan sehingga dua anak muda Malaysia itu memasuki senarai Forbes 30 individu terkaya di bawah usia 30 tahun di Asia bagi kategori industri, pembuatan dan tenaga pada dua tahun lalu.

Terbaharu pada tahun lalu, Nadhir Ashafiq telah terpilih memasuki senarai Asia Tatler 2018 yang menyenaraikan pemimpin-pemimpin muda yang disifatkan sebagai pencorak masa depan Asia.

“Penyenaraian itu satu pengiktirafan besar yang menaikkan semangat saya untuk terus berjuang mengembangkan perniagaan aplikasi perkhidmatan pengangkutan dan logistik ini. Saya membangunkan perniagaan ini meliputi laman web dan aplikasi tempahan lori sewa asalnya adalah bagi memudahkan orang ramai menyewa kenderaan itu.

“Sejak diperkenalkan empat tahun lalu, kini kami mempunyai 7,000 pemandu lori yang berdaftar dengan perkhidmatan TheLorry. Sejujurnya, ada banyak lagi visi saya untuk meningkatkan bisnes ini,” kata pemuda berjiwa besar itu kepada K2 ketika ditemui di Puchong, Selangor baru-baru ini.

Nadhir Ashafiq yang merupakan pengasas bersama TheLorry berkata, syarikat itu mempunyai empat cawangan di Asia Tenggara iaitu Malaysia, Indonesia, Singapura dan Thailand.

Pada tahun 2016, syarikatnya berjaya meraih perolehan modal sebanyak AS$1.5 juta dolar (RM6.6 juta).

“Dari mula ditubuhkan sehingga tahun lalu, syarikat ini telah menerima modal sebanyak RM12 juta daripada pelabur-pelabur persendirian yang berminat dengan pelan perniagaan kami,” kata graduan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dan Ijazah Sarjana Kewangan daripada Universiti Curtin, Perth, Australia.

Mengulas mengenai konsep yang ditawarkan TheLorry, dia berkata, ia seakan-akan sama dengan perkhidmatan e-hailing seperti GrabCar, tetapi TheLorry memberikan perkhidmatan logistik dan menempah lori sewa termasuk pengangkutan untuk pemindahan rumah atau pejabat.

Membaca

Menceritakan latar belakangnya, anak kelahiran Shah Alam Selangor itu berkata, sejak di bangku sekolah lagi dia sangat meminati bidang keusahawanan dan pelaburan.

Malahan ketika masih bersekolah, dia telah membaca buku-buku nukilan tokoh-tokoh perniagaan antarabangsa seperti Donald Trump, Motley Fool dan Robert Kiyosaki.

Selepas beberapa ketika minatnya berkembang kepada buku-buku yang lebih kompleks seperti Alchemy of Finance dan The Intelligent Investor.

Minatnya terhadap bidang keusahawanan dan pelaburan juga dipupuk dengan sering melayari laman web Neopets.com.

Nadhir Ashafiq juga mula berniaga secara kecil-kecilan sewaktu di sekolah dan universiti seperti menjual kad Pokemon, burger, gelang USB dan lain-lain.

Impak positif

Katanya, sebelum membangunkan TheLorry, pada awalnya dia pernah bekerja di ABDA Group iaitu sebuah firma logistik udara dan ditugaskan untuk mengetuai bahagian penghantaran dan logistik antarabangsa.

Biarpun mendapat gaji yang lumayan tetapi ia tidak memberikan kepuasan pada dirinya yang meminati bidang keusahawanan.

“Pada masa itu, saya merasakan diri ini tidak dapat memberi sebarang impak positif kepada syarikat, diri sendiri dan masyarakat.

“Pergi kerja pukul 9 pagi, balik 5 petang, itu bukan kerjaya yang saya mahukan. Dengan dunia teknologi sekarang, bagi saya seorang pemuda harus ke hadapan,” katanya yang telah meninggalkan pekerjaannya itu pada Januari 2014 sebelum merancang untuk menceburi bisnes perintis (startup).

Meskipun keputusan untuk meninggalkan kerjaya makan gaji, tidak begitu diterima oleh keluarga, bapa kepada dua orang anak itu bertekad untuk meneruskan keputusan tersebut.

“Sebenarnya semasa bertugas di ABDA Group, saya ada membuat beberapa kajian mengenai industri logistik di Malaysia seperti Pos Laju, DHL dan juga TNT.

“Saya berpendapat pada masa itu, industri logistik juga masih beroperasi secara tradisional dan manual, tidak efisien serta melibatkan pengurusan kos yang tidak berkesan,” tutur pemuda berketinggian 180 sentimeter itu.

Nadhir Ashafiq memulakan langkah dengan kesedaran bahawa industri logistik masih mempunyai ruang untuk penambahbaikan.

Lalu Nadhir Ashafiq bersama rakan sekerja lamanya, Chee Hau menetapkan visi untuk membangunkan satu produk berasaskan teknologi yang dapat menyelesaikan masalah logistik.

Kata anak sulung daripada enam orang adik-beradik itu, kemudian lahirlah TheLorry iaitu sebuah laman web khas yang menawarkan perkhidmatan logistik seperti Unpakt di Amerika Syarikat.

Namun, menurutnya sebelum menubuhkan TheLorry, dia sebenarnya telah gagal dalam membina satu aplikasi lain iaitu Glokalise yang menyediakan laman sosial untuk pelancong, pekerja asing dan pelajar di luar negara.

Turun padang

“Sebenarnya, startup pertama saya bina bukanlah TheLorry tetapi aplikasi Glokalise.

“Ia tidaklah semudah yang saya sangkakan. Ia tidak memberikan kejayaan seperti yang diharapkan,” ujarnya

Menurut Nadhir Ashafiq, untuk memastikan TheLorry tidak menjadi seperti startup pertama, dia mengambil keputusan untuk turun padang dan merasai sendiri pengalaman menjadi kelindan lori selama beberapa bulan.

Dengan cara itu dia dapat menyelami perasaan dan pemikiran pemandu dan kelindan lori selain keinginan pelanggan yang menggunakan perkhidmatan logistik.

Dia turut merasai sendiri pengalaman mengangkat peti sejuk ke tingkat empat di sebuah rumah pangsa dengan menaiki tangga.

“Apabila turun padang, saya berpeluang melihat sendiri kerenah pelanggan dan cara menanganinya.

“Selain itu, ia juga membuka peluang untuk berjumpa dengan pemilik syarikat-syarikat logistik dan pengusaha lori sewa. Daripada situ, saya dapat pelajari dan memahami masalah yang sering dihadapi,” ujarnya.

Nadhir Ashafiq menjelaskan, pada mulanya agak sukar baginya untuk meyakinkan syarikat-syarikat logistik dan pengusaha lori sewa agar menyertai platform yang ditawarkan oleh TheLorry.

Namun setelah kisah tentang platform ini tersiar di portal Amanz dan akhbar Kosmo! ketika awal perniagaan, ditambah pula dengan beberapa rekod perkhidmatan yang baik, ia memudahkan Nadhir Ashafiq dan rakan kongsinya meyakinkan prospek mereka.

Kini TheLorry tidak lagi hanya bertumpu kepada segmen pelanggan individu tetapi juga telah berkembang ke segmen komersial yang terdiri daripada pelanggan dalam kalangan pengedar, peruncit dan syarikat korporat.

“Kami bercadang untuk meluaskan lagi pasaran ke Asia Tenggara seperti Filipina dan Vietnam. Kami berazam untuk menjadi syarikat logistik dan pengangkutan paling gah di Asia Tenggara,” katanya.

TheLorry.com berhasrat meluaskan lagi pasarannya ke Filipina dan Vietnam serta mahu menjadikan syarikat logistik itu antara yang gah di Asia Tenggara.