Menyandang jawatan sebagai seorang penjawat awam dalam sektor perkhidmatan kesihatan di ibu negara, siapa sangka Katy memiliki sisi berbeza di sebalik kerjaya profesionalnya.

Mempunyai raut wajah cantik dan susuk tubuh menarik, wanita berusia 30 tahun itu mengakui, dia menjalani kehidupan penuh noda dengan memuaskan nafsu lelaki pada malam harinya.

Bagaimanapun, ia bukan dilakukan bagi mencapai kepuasan peribadi sebaliknya untuk hidup dilimpahi nikmat kemewahan harta.

Menyusun butir bicara, Katy berkata, dia terjerumus ke lembah maksiat itu demi melangsaikan hutang pembiayaan pendidikan yang diambil semasa menuntut di sebuah institusi pengajian swasta.

Lelaki kaya

Menurut anak sulung daripada lima adik-beradik itu, ia merupakan tindakan paling bodoh yang pernah dibuat kerana pinjaman tersebut bukanlah untuk dirinya, sebaliknya bagi membiayai yuran pengajian kekasih yang menuntut di universiti sama.

“Saya datang daripada keluarga yang agak berada jadi wang memang tidak menjadi masalah. Saya membuat pinjaman tersebut tanpa pengetahuan ayah dan ibu untuk membantu menyara pengajian teman lelaki,” ceritanya.

Nasib bagaimanapun tidak menyebelahi Katy apabila bapanya jatuh bankrap dan diisytiharkan muflis ketika dia berada di tahun akhir pengajian.

“Semua harta milik kedua-dua ibu bapa saya disita. Kemewahan hidup kami dirampas begitu sahaja dalam sekelip mata.

“Saya berasa seolah-olah hilang tempat bergantung apabila belanja saya dan adik-beradik turut disekat sementelah kami terbiasa dimewahkan dengan wang ringgit,” katanya.

Bagai jatuh ditimpa tangga, wanita yang berasal dari selatan tanah air itu turut ditinggalkan teman lelakinya.

Tertekan dengan keadaan sekeliling, Katy mengadu hal tersebut kepada seorang kenalan yang kemudian mencadangkan agar dia mengikutnya menjalankan kerja sebagai call girl yang menyasarkan lelaki-lelaki kaya.

Buntu mencari jalan penyelesaian kepada masalah tersebut, Katy bersetuju untuk membuat kerja terkutuk itu tanpa berfikir panjang bagi mendapatkan wang tambahan.

Bermula daripada seorang pelanggan kaya, Katy mula terbuai dengan kemewahan yang kembali dikecapi hingga hanyut jauh dalam keseronokan itu.

“Walaupun gaji yang diterima agar tinggi, ia tidak cukup untuk memenuhi kehendak saya, apatah lagi saya perlu berdandan dan berhias cantik untuk pelanggan.

“Kalau saya melakukan kerja ini, saya dapat bayaran lumayan selain diberi hadiah jam tangan, beg, pakaian, kasut dan alat solek berjenama mahal tanpa perlu usik sesen pun daripada gaji saya,” ceritanya.

Penyakit kelamin

Katy memberitahu, meskipun hutang pembiayaan pendidikan untuk teman lelakinya berjumlah hampir RM100,000 sudah dilangsaikan, dia masih tidak dapat meninggalkan kehidupan tersebut kerana sudah terbiasa hidup mewah.

“Lagipun, dengan wang inilah saya menyara adik-adik yang masih belajar, jadi mana mungkin saya boleh berhenti daripada melakukan kerja tersebut buat masa ini,” ujarnya.

Katy mengakui, pekerjaannya sedikit sebanyak memberi pengalaman yang menginsafkan.

“Saya sedar ajal boleh menjemput bila-bila masa sahaja. Malah, sebelum ini, saya pernah dibelenggu kebimbangan kalau-kalau dijangkiti penyakit kelamin kerana kerap bertukar-tukar pasangan.

“Begitu pun, semua itu masih tidak menyedarkan dan membuka pintu hati untuk berubah. Entahlah, mungkin saya dibutakan dengan harta dan wang ringgit,” tuturnya kesal.

Di lubuk hati wanita itu, dia sentiasa berharap agar suatu hari diberi petunjuk dan hidayah untuk berubah ke jalan yang lebih baik.

“Sebagai seorang wanita, saya tidak terkecuali daripada menyimpan hasrat untuk berkahwin dan memiliki keluarga sendiri. Saya mahu berhenti melakukan pekerjaan ini supaya dapat menjalani kehidupan normal,” ujarnya.