Lelaki berusia 35 tahun yang bersenjatakan parang itu kemudiannya telah menetak tiga beradik, Nur Ziah Fasihah Mohd. Fadzil, 2, Muhammad Firash Zaffril, 3, dan Muhammad Faqhqih Zahirulhaq, 5, hingga mengakibatkan kematian.

Ibu kanak-kanak terbabit, Zuraidah Md. Ali, 35, turut putus ibu jari kanan dan pergelangan tangan kiri hampir putus, manakala anak sulungnya, Nur Zuryn Faziera, 9, cedera pada kepala dan tangan kanan.

Selepas menetak ketiga-tiga beradik dan ibu mereka, lelaki berkenaan yang bekerja sebagai pemungut buah kelapa sawit dan merupakan rakan sekerja kepada bapa mangsa kemudian menuju ke sebuah sekolah rendah yang terletak kira-kira 80 meter dari rumah mangsa.

Tujuan lelaki tersebut ke sekolah berkenaan bagi mencari kakak sulung ketiga-tiga mangsa, Nur Zurin Faziera, 9, dengan niat mencederakannya, namun gagal berbuat demikian sebaliknya mencederakan seorang rakan sekelasnya yang dikenali sebagai Aina, 9, yang cedera pada tangan.

Seorang guru agama yang berada di pekarangan sekolah turut cedera pada pipi terkena parang lelaki itu.

Polis kemudian berjaya menangkap suspek di sekolah berkenaan.

Hasil siasatan mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan ganja selain berhalusinasi dengan mendengar bisikan sejak beberapa hari sebelum kejadian.

Halusinasi

Pakar Psikiatri dan Psikiatri Penagihan, Hospital Kuala Lumpur, Dr. Mohd. Fadzli Mohamad Isa berkata, dadah sintetik seperti syabu dan ekstasi yang dihasilkan melalui proses sintesis dengan bahan kimia dan diproses di makmal dadah dapat merangsang fungsi-fungsi sistem saraf pusat dengan menyebabkan perembesan bahan-bahan kimia (neurotransmitter) semula jadi di dalam otak.

Bagaimanapun, menurutnya, perembesan neurotransmitter seperti dopamine, serotonin dan noradrenaline selepas pengambilan dadah sintetik berlaku secara terlalu banyak dan berlebihan sehingga menyebabkan fungsi-fungsi otak berjalan secara melampau.

Jelasnya, dopamine yang terlalu banyak juga menyebabkan terjadinya gejala halusinasi sama ada secara pendengaran atau penglihatan.

“Pengguna dadah sintetik akan mendengar atau melihat bunyi atau imej-imej yang tidak dapat didengar atau dilihat oleh orang lain.

“Mereka kemudiannya akan cuba berkomunikasi dengan bunyi atau suara yang palsu ini dan akan dilabelkan sebagai bercakap seorang diri,” katanya.

Tambahnya, selain daripada menyebabkan halusinasi, dadah sintetik juga menyebabkan terjadinya delusi iaitu satu keadaan di mana seseorang itu mempunyai kepercayaan karut atau tidak logik yang tidak dapat diubah atau dijelaskan.

“Mereka percaya membabi buta terhadap pemikiran mereka itu. Delusi yang sering dihadapi oleh pengguna dadah sintetik adalah delusi bahawa mereka sedang dihukum.

“Kerap kali mereka percaya bahawa ada sesuatu atau seseorang yang mempunyai niat jahat, mengekori, meracun atau bercadang untuk membunuh mereka.

“Pengguna dadah sintetik yang mengalami delusi jenis ini akan sentiasa cuba berwaspada bagi menjaga keselamatan mereka.

“Namun, mereka juga sering cuba untuk menghapuskan ‘ancaman’ tersebut menggunakan kekerasan fizikal termasuk penggunaan senjata berbahaya,” katanya.

Jelas Fadzli, selain itu, apabila pengguna dadah sintetik yang teringin untuk mendapatkan dadah berkenaan akan mempunyai kecenderungan untuk melakukan aktiviti jenayah bagi mendapatkan sumber kewangan untuk membeli dadah tersebut.

“Mereka juga boleh menjadi agresif apabila kehendak mereka tidak dituruti, contohnya apabila ahli keluarga enggan memberikan wang untuk mereka membeli dadah.

“Kegagalan mental mereka untuk menilai kebaikan dan keburukan dengan baik menyebabkan mereka bertindak terburu-buru untuk memenuhi kehendak termasuk mencederakan orang,” katanya.

Bertindak ganas

Dalam pada itu, Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Dr. Abdul Halim Mohd. Hussin berkata, kedua-dua jenis dadah sama ada dadah semula jadi yang dihasilkan melalui tumbuhan atau dadah sintetik mempunyai kesan buruk terhadap penggunanya.

“Namun begitu, dadah sintetik mempunyai risiko buruk yang lebih tinggi kerana struktur kimianya yang boleh diubah-ubah berbanding dadah semula jadi seperti kanabis dan opium.

“Pengeluar dadah sintetik boleh meningkatkan kekuatan dadah itu dengan mengubah cara pengeluaran melalui penambahan bahan-bahan baharu untuk menghasilkan dadah sintetik yang dapat mendatangkan kesan khayal yang lebih kuat,” katanya.

Jelasnya, proses pengeluaran dadah yang boleh dilakukan di makmal-makmal ‘belakang rumah’ juga menyebabkan dadah berkenaan boleh dihasilkan di dalam negara tanpa perlu diseludup masuk sehingga menyebabkan ia semakin mudah didapati.

Tambahnya, bagi menangani masalah penagihan dadah di negara ini termasuk dadah sintetik, pihaknya berharap ibu bapa dan masyarakat turut sama memainkan peranan membendung gejala itu.

“Kita perlu anggap penagihan dadah ini seperti satu penyakit dan perlu dirawat.

“Sekiranya ada ahli keluarga yang menjadi penagih dadah, hantar dia untuk dirawat di pusat-pusat pemulihan dan bukannya membiarkan penyakit itu semakin melarat,” katanya.

Jelasnya, jika ia dibiarkan, tidak mustahil mereka yang mengalami masalah penagihan dadah terutamanya dadah sintetik akan menjadi semakin agresif.