Lebih perit, runtuhnya rumah tangga yang dibina berpunca akibat kecurangan si isteri apabila sanggup berpaling tadah dengan kekasih yang didakwa sebagai kenalan lamanya.

Bukan niat untuk membuka pekung di dada, namun bagi Amir (bukan nama sebenar), 36, kesetiaan yang dicurahkan kepada isteri hanya sia-sia apabila cinta dan kasih sayang yang dipegang erat akhirnya terlerai.

Menurut lelaki bertubuh sederhana itu, dia dan isteri, Ika (bukan nama sebenar), 33, telah lima tahun mendirikan rumah tangga atas dasar suka sama suka selepas berkenalan pada satu majlis perkahwinan kenalan mereka suatu ketika dahulu.

Tidak dinafikan, Ika mempunyai pesona yang menarik apabila memiliki raut wajah yang cantik dan bentuk tubuh yang langsing.

“Ibarat kata, saya begitu bertuah kerana berjaya memiliki hati Ika dan memperisterikan wanita yang berasal dari Utara itu,” tutur Amir.

Sepanjang meniti alam ru­mah tangga, kehidupan Amir dan Ika sama seperti pasangan suami isteri lain. Kasih sayang yang dicurahkan oleh lelaki itu kepada isterinya melebihi segalanya.

Sedangkan lidah lagi tergigit, adakalanya hubungan mereka ada juga pasang surutnya, namun situasi itu ibarat rencah dalam memberi rasa kepada suasana alam rumah tangga.

Dari segi kerjaya, Amir merupakan seorang mekanik, manakala Ika pula merupakan seorang pegawai tinggi dalam sektor awam.

Sambung belajar

Biarpun memiliki jurang dalam kerjaya, perkara tersebut bukanlah penghalang untuk kedua-dua mereka saling menerima kelebihan dan kekurangan dalam diri masing-masing.

Namun, segalanya berubah apabila Ika mengambil keputusan untuk menyambung pengajiannya ke sebuah universiti di England selama setahun.

Bagaimanapun, Amir tidak ditinggalkan keseorangan, sebaliknya dia turut mengikut Ika pergi ke luar negara biarpun cuma selama tiga bulan sahaja.

“Saya terpaksa pulang ke Malaysia kerana perlu bekerja memandangkan kos sara hidup di sana tinggi,” tutur Amir yang masih belum dikurniakan cahaya mata sepanjang berkongsi hidup bersama Ika.

Dakwa lelaki itu lagi, sepanjang tempoh berjauhan dengan isterinya, dia tidak mengesyaki apa-apa perkara buruk yang dilakukan oleh wanita tersebut sehinggalah dia pulang ke Malaysia selepas tamat pengajian selama setahun.

Selepas pulang ke Malaysia, perangai Ika mula berubah kerana lebih bersikap dingin, malah dia seolah-olah cuba mengelak apabila cuba diajak ‘bersama’.

Namun, Amir tidak terlalu memikirkan perkara tersebut walaupun dia sedar perubahan pada sikap isterinya. Lebih jelas apabila Ika sering marah-marah walaupun cuba berkaitan hal kecil sahaja.

Ditakdirkan tuhan, suatu hari ketika Amir berada di bengkel tempatnya bekerja, dia telah didatangi seorang wanita tidak dikenali yang mengadu tentang perihal suaminya telah diganggu wanita lain.

Lebih mengejutkan, wanita tersebut mendakwa suaminya itu kini mempunyai hubungan sulit dengan seorang wanita yang diberitahu adalah Ika.

“Pada mulanya saya tidak mempercayai tentang perkara tersebut, namun selepas ditunjukkan gambar mesra antara Ika dengan seorang lelaki, luluh hati saya melihatnya,” jelas Amir.

Bukan itu sahaja, wanita itu turut menunjukkan gambar paparan skrin perbualan antara suaminya dengan Ika yang berbau nada-nada cinta antara mereka berdua.

Penceraian

Tidak hanya berdiam diri, Amir tekad untuk mengetahui perkara sebenar dan bertanyakan hal tersebut kepada Ika yang turut disertai isteri kepada kekasihnya.

Kerana enggan memanjangkan masalah, Ika tidak mengambil masa lama untuk mengakui kebenaran tentang perkara tersebut.

Dakwa Ika, dia tiada niat untuk menduakan suaminya, namun mengakui telah jatuh cinta dengan layanan lelaki tersebut yang dikenali sewaktu berada di England.

Bahkan, Ika sendiri meminta supaya dia dilepaskan dengan cara baik, memandangkan kekasihnya itu juga dalam proses penceraian bersama isterinya.

“Kalau itu yang dia mahukan, saya hanya mampu berdoa supaya dia bahagia dengan keputusan yang diambil.

“Tipu kalau saya tidak sayangkan perkahwinan ini, namun saya percaya segala yang berlaku pasti ada hikmah di sebaliknya,” tutur Amir menutup bicara.