Isu kecurangan pasangan merupakan salah satu punca utama rumah tangga yang dibina atas dasar cinta akhirnya runtuh.

Begitu pun, rumah tangga yang dibina Ikmal (bukan nama sebenar) dan isterinya musnah bukan di­sebabkan isterinya curang dengan lelaki lain, sebaliknya berpunca daripada hubungan songsang de­ngan kaum sejenis.

Ikmal dan isterinya, Intan (bukan nama sebenar) sudah berkahwin hampir empat tahun dan dikurniakan seorang cahaya mata lelaki berusia dua tahun. Perkahwinan mereka bukanlah atas dasar cinta sebaliknya dirancang oleh keluarga kedua-dua belah pihak.

Walaupun memiliki paras rupa yang agak cantik, Intan yang merupakan lepasan sebuah universiti luar negara masih belum berumah tangga walaupun usianya telah mencecah pertengahan 30-an. Ikmal yang lewat 30-an pula seorang yang pemalu dengan wanita dan tidak pernah mempunyai kekasih sebelum mendirikan rumah tangga.

Pada peringkat awal perkahwinan mereka, tidak ada apa yang pelik mengenai Intan. Segala keperluan makan minum, pakaian Ikmal diuruskan dengan baik.

Bagaimanapun, sepanjang tempoh perkahwinannya, Ikmal tidak pernah merasai kenikmatan apabila melakukan hubungan kelamin kerana Intan langsung tindak memberikan sebarang tindak balas.

“Saya sudah berusaha pelbagai kaedah untuk isteri merasai ke­seronokan ketika bersama, tetapi amat menghairankan dia jarang menunjukkan reaksi berahinya.

“Tidak mahu berprasangka buruk, saya beranggapan Intan seorang yang pemalu sama se­perti saya,” kata Ikmal memulakan ­bicara.

Dingin

Cerita Ikmal lagi, selepas mempunyai anak, isterinya juga sering menolak ketika diajak bersama.

“Walaupun kecewa, saya tidak memarahi Intan sebaliknya sentiasa berfikiran positif dengan beranggapan dia mungkin penat bekerja selain perlu menjaga anak,” kata­nya.

Tambah Ikmal, segalanya bermula kira-kira setahun yang lalu apabila Intan membawa pulang rakan wanitanya ke rumah. Intan menjelaskan bahawa Dayang (bukan nama sebenar) merupakan rakan baiknya semasa menuntut di universiti.

Intan juga menjelaskan bahawa Dayang tidak mempunyai tempat tinggal selepas di­ceraikan suaminya dan merayu agar Ikmal membenarkan rakannya itu me­numpang sementara di rumah mereka.

Dayang juga berperwatakan tomboi di mana dia berambut pendek seperti lelaki selain lebih gemar memakai pakaian seperti lelaki.

Selepas dipujuk Intan, Ikmal akhirnya bersetuju membenarkan Dayang menetap di rumahnya sehingga wanita itu dapat mencari rumah baharu.

“Saya juga sering pulang lewat ke rumah akibat bebanan kerja yang banyak di pejabat. Sekurang-kurangnya Dayang dapat dijadikan teman berbual oleh isteri saya,” kata Ikmal.

Jelas lelaki itu lagi, sepanjang Dayang menetap di rumahnya, Intan juga kelihatan lebih ceria selain lebih kerap ketawa berbanding sebelum ini.

“Bagaimanapun, saya mula berasa curiga apabila melihat kemesraan mereka saling tidak ubah se­perti sepasang kekasih. Mereka juga menggunakan perkataan I dan You ketika berbicara.

“Saya juga pernah melihat isteri saya berbaring di atas riba Dayang di atas sofa ketika mereka sedang menonton televisyen bersama sedangkan dia tidak pernah berbuat demikian ketika bersama saya sebelum ini,” katanya.

Ikmal berkata, tidak mahu me­layan perasaan cemburu apatah lagi memikirkan yang Dayang me­rupakan seorang wanita, dia membuang jauh prasangka buruk mengenai hubungan isterinya dengan Dayang.

“Mungkin tuhan hendak tunjukkan kecurangan dan nafsu songsang isteri saya, pada satu hari saya tiba-tiba terlintas hendak balik awal berbanding biasa.

“Takdir tuhan, pada hari sama kereta saya tidak berjaya dihidupkan menyebabkan saya menaiki teksi pulang ke rumah,” katanya.

Terbongkar

Tambah Ikmal, setibanya di rumah, dia tidak melihat kelibat isterinya, Dayang mahupun anak tunggal mereka di ruang tamu lalu masuk ke dalam biliknya untuk mencari Intan.

“Sebaik membuka pintu, saya terkejut melihat Intan dan Dayang berada di atas katil sedang berpelukan. Jijik melihat perbuatan itu, saya segera menghalau Dayang keluar dari rumah.

“Namun, Intan tanpa sebarang perasaan bersalah bertindak memarahi saya dan berkata akan mengikuti wanita itu sekiranya rakannya itu meninggalkan rumah berkenaan,” katanya..

Jelasnya, Intan juga mengaku amat cintakan Dayang selain lebih berasa ghairah ketika bersama wanita itu berbanding ketika bersamanya.

“Intan turut mengaku mereka sering melakukan perbuatan tersebut ketika belajar di luar negara,” katanya.

Ikmal berkata, terkejut dengan pengakuan isterinya, dia akhirnya bersetuju untuk bercerai setelah Intan menyerahkan hak penjagaan anak tunggal mereka kepadanya.

“Biarpun sendirian membesarkan anak saya ini, saya belum terbuka hati untuk mendirikan rumah tangga semula.

“Saya juga berharap Intan beroleh keinsafan dan kembali semula ke pangkal jalan,” katanya menutup bicara.