Biarpun perkahwinannya belum berantakan, namun hampir setiap hari Sarah akan makan hati dengan sikap suami yang gemar melayari laman sembang termasuk aplikasi khusus mencari jodoh.

Hakikatnya, kata Sarah, dia sendiri bertemu jodoh dengan suaminya menerusi laman Messenger Facebook sehingga membawa mereka ke gerbang perkahwinan.

Begitu pun, selepas mendirikan rumah tangga, ibu kepada dua orang cahaya mata itu tidak lagi aktif seperti dahulu di laman sembang untuk menambah kenalan baharu dan berbual dengan lelaki lain di laman sosial.

“Selepas berkahwin, saya tidak lagi bersembang dengan lelaki lain di mana-mana platform laman sosial kerana sedar mengenai status saya sebagai isteri orang,” kata Sarah.

Namun, berbeza pula dengan suaminya apabila masih aktif mencari kenalan dalam kalangan wanita di laman sosial di beberapa media sosial popular seperti Facebook dan Instagram.

Marah dan sedih

Menurut Sarah, dia tidak kisah jika suaminya mempunyai akaun media sosial, namun perlu tahu keperluannya sehingga tidak lupa statusnya sebagai suami orang.

Isteri mana yang tidak makan hati apabila suami sendiri galak bersembang dengan wanita lain sehingga menyentuh perihal yang tidak sepatutnya.

“Saya pernah membaca perkara yang dibualkan suami dengan beberapa kenalan wanitanya di laman sembang Facebook.

“Apa yang mereka bualkan termasuklah perkara di atas katil seperti hubungan seks sehingga membuatkan saya marah dan sedih,” kata Sarah.

Ekoran itu, mereka suami isteri bertengkar sehingga suaminya mengaku bersalah dan terus menutup akaun Facebook miliknya.

Sangkaan Sarah bahawa suaminya benar-benar telah berubah ternyata meleset. Dalam diam, rupanya lelaki itu telah membuka akaun lain dengan menggunakan identiti rahsia supaya tidak diketahui.

Perkara tersebut terbongkar apabila Sarah ternampak mesej yang tertera dalam telefon pintar suaminya yang ketika itu sedang nyenyak tidur. Mesej berkenaan adalah daripada laman Messenger Facebook.

Pada masa sama, Sarah juga mendapati suaminya turut memiliki akaun Instagram tanpa pengetahuannya. Memandangkan akaun Instagram lelaki itu diletakkan dalam mod privasi, Sarah meminta seorang rakan wanitanya di pejabat untuk menjadi pengikut Instagram suaminya.

Paranoid

Ternyata, kebanyakan kenalan suaminya di Instagram ialah wanita-wanita muda dan seksi dari dalam dan luar negara.

Dakwa Sarah, dia sendiri tidak tahu mengapa suaminya bersikap sebegitu atau mungkin ia lumrah bagi seorang lelaki terhadap wanita?

“Saya pernah meminta penjelasan daripada suami, namun dia mengatakan ia sekadar untuk berbual dan tidak lebih daripada itu,” katanya.

Namun, sebagai wanita bergelar isteri, sudah tentu dia memiliki sifat cemburu dan tidak suka jika suaminya berhubung dengan wanita lain.

Bukan itu sahaja, Sarah juga mendapati suaminya turut memiliki akaun mencari kenalan iaitu Tinder. Sebagai lelaki yang telah berkahwin dan memiliki anak, Sarah berasakan suaminya tidak perlu memiliki aplikasi-aplikasi mencari kenalan tersebut.

Katanya lagi, sebelum ini dia banyak terbaca kisah keruntuhan rumahtangga akibat kehadiran orang ketiga lebih-lebih lagi selepas berkenalan melalui laman sosial.

Disebabkan perkara tersebut jugalah, Sarah dan suaminya sering berbalah, malah lelaki itu mengatakan Sarah terlalu paranoid kerana selalu bersikap curiga terhadap suami sendiri.

“Memang benar saya curiga. Ini kerana, suami ibarat ketagih untuk bersembang dengan mana-mana wanita dalam laman sosial sehingga lupa saya isterinya,” ujar Sarah.

Menurutnya, dia masih boleh lagi bersabar dengan perangai suaminya, malah tidak putus-putus berdoa agar rumah tangga yang dibina akan kekal terpelihara.

Sarah yakin, suaminya akan berubah suatu hari nanti dan menjadi suami dan ayah yang bertanggungjawab.

Sarah pendam rasa dan kecewa kerana sikap suaminya yang gemar melayan ramai wanita tidak dikenali menerusi laman sosial sehingga menyentuh perihal tidak senonoh.