Dia yang datang bersama anak perempuannya, Laila (bukan nama sebenar) kelihatan tenang, namun wajahnya sedikit kusut.

“Tiada niat untuk membuka pekung di dada atau mendedahkan masalah rumah tangga sendiri, namun saya cukup buntu dan berharap agar dapat menemui penyelesaian secepat mungkin,” tutur Salleh perlahan.

Menurut anak kelahiran sebuah negeri di selatan tanah air itu, perkenalannya dengan isteri, Fina (bukan nama sebenar) bermula sejak di bangku sekolah menengah.

“Kami berbeza kelas, namun saya mengenalinya dan dia juga mengenali saya. Pada mulanya, kami hanya kawan biasa dan persahabatan tersebut putus seketika apabila masing-masing melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi.

“Pada tahun 2014, kami bertemu kembali pada majlis perkahwinan salah seorang teman baik saya dan saya akui cukup terpesona melihat kecantikan Fina,” cerita Salleh.

Selepas yakin Fina masih belum berpunya, Salleh memberanikan diri untuk mengurat gadis kecil molek itu dan cukup teruja apabila Fina melayannya dengan baik.

Selepas hampir setahun berpacaran, Salleh dan Fina akhirnya berkahwin pada awal tahun 2016.

Hidup bahagia

Sama seperti pasangan lain, Salleh akui kehidupannya cukup bahagia dan lebih terurus. Lebih setahun kemudian, Fina melahirkan bayi perempuan mereka, Laila dan Salleh merasakan hidupnya semakin lengkap.

Begitu pun, tidak lama kemudian, Salleh mengesan perubahan pada sikap Fina.

Fina yang bertugas sebagai seorang penjawat awam sering pulang lewat atas alasan terpaksa bekerja lebih masa.

Salleh mula rasa curiga lalu meminta untuk memeriksa telefon bimbit isterinya itu.

“Saya terkejut apabila terjumpa mesej-mesej berbaur cinta antara Fina dengan Ashraf (bukan nama sebenar) yang merupakan rakan karib saya semenjak di universiti.

“Bayangkan, isteri saya curang dan saling bertukar foto-foto lucah bersama teman baik saya sendiri. Hati saya memang sudah hancur kerana saya tidak menyangka isteri yang cukup dikasihi sanggup berlaku curang.

“Terus saya bertanya kepada diri, apa lagi yang kurang pada saya kerana apa sahaja kemahuan Fina sudah saya turuti,” keluh Salleh.

Lelaki bertubuh kurus itu kemudian meminta penjelasan daripada isterinya dan Fina mengakui kesilapannya.

Dia bagaimanapun menangis dan berjanji tidak akan menghubungi Ashraf lagi kerana terlalu sayangkan Salleh.

Termakan janji manis Fina, Salleh mula lembut hati dan memaafkan isteri kesayangannya itu.

Sangkanya, Fina benar-benar berubah, namun Salleh diduga sekali lagi dengan kecurangan Fina dan Ashraf kira-kira lima bulan kemudian.

“Kami bertengkar dan Fina meraung-raung meminta supaya saya memaafkannya sekali lagi.

“Sejujurnya, saya mula tawar hati, namun kesungguhan Fina membuatkan saya masih mahu meneruskan perkahwinan ini.

“Lagipun, saya terfikirkan anak kami yang masih kecil dan tak sanggup rasanya meruntuhkan perkahwinan kami semasa Laila masih kecil dan perlukan perhatian,” tuturnya.

Tidak lama selepas insiden itu, Salleh dinaikkan pangkat dan ditukarkan ke salah sebuah cawangan syarikatnya di utara tanah air.

“Saya mengajak Fina untuk berpindah dengan saya, namun wanita itu tetap berkeras atas alasan tetap mahu bekerja di ibu kota. Saya tidak mahu mengeruhkan keadaan dan bersetuju untuk meneruskan hubungan jarak jauh,” ujar Salleh.

Bawa teman lelaki

Begitu pun, perangai buruk isterinya itu semakin menjadi-jadi apabila Salleh tiada di sisi. Salleh mendapat tahu bahawa Fina sudah semakin berani membawa Ashraf pulang ke rumah dan tidur bersama lelaki itu.

Beberapa bulan kemudian, Fina hamil anak Ashraf, menjadikan Salleh cukup berang.

“Oleh kerana terlalu marah, saya pulang ke ibu kota dan membelasah Ashraf sepuas hati saya. Fina pula diceraikan dengan talak satu.

“Biarpun wanita itu meraung-raung, saya sudah tidak peduli kerana pada mata saya, Fina amat jijik kerana tergamak tidur bersama teman baik saya sendiri,” luah Salleh sayu.

Lelaki itu meraup wajah dan matanya merenung Laila yang sedang bermain di tempat permainan kanak-kanak di kafe tersebut.

“Kini, Lailalah kekuatan saya. Siapa sangka kehidupan saya yang dahulunya indah hancur berkecai angkara kawan baik sendiri.

“Saya akui hidup terasa sunyi dan kosong, namun saya betul-betul sudah tawar hati terhadap perempuan,” ujarnya mengakhiri perbualan.

Salleh kesal isteri yang dikasihi sanggup berlaku curang dengan rakan baiknya sendiri sehingga mengandung anak luar nikah.